Kehidupan berumahtangga memerlukan pemimpin yang bijak mengatur dan mengelola urusan rumahtangga, demikian juga menjaga dan memperhatikan keperluan anggota keluarga. Pemimpin ini mestilah dipatuhi arahannya, didengari suruhannya dan ditaati selama tidak memerintahkan kepada sesuatu yang membawa maksiat kepada Allah SWT. Pemimpin dalam rumahtangga adalah suami. Dan yang mengangkat seorang suami sebagai pemimpin adalah Allah SWT sendiri. Allah berfirman dalam surah An-Nisa' ayat 34 :
ٱلرِّجَالُ قَوَّٰمُونَ عَلَى ٱلنِّسَآءِ بِمَا فَضَّلَ ٱللَّهُ بَعْضَهُمْ عَلَىٰ بَعْضٍۢ وَبِمَآ أَنفَقُوا۟ مِنْ أَمْوَٰلِهِمْ
"Kaum laki-laki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita. Hal ini kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (laki-laki) atas sebagian yang lain (wanita), dan kerana mereka (laki-laki) telah menafkahkan sebahagian dari harta mereka"
Hala tuju rumahtangga terletak kepada perkongsian bijak suami dan isteri dalam melayari bahtera kehidupan. Antara kriteria yang perlu ada pada seorang suami ialah :
Pertama : Mampu Memimpin Keluarga
Diriwayatkan dari Abdullah bin Umar RA bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda,
"Setiap diri kamu adalah pemimpin, dan setiap pemimpin akan dipersoalkan tentang kepimpinannya. Ketua negara adalah pemimpin di dalam negaranya, suami adalah pemimpin bagi rumahtangganya, isteri adalah pemimpin bagi rumah suami dan anaknya. Setiap kamu adalah pemimpin dan kamu akan dipersoalkan tentang apa yang kamu pimpin"
(HR. Bukhari)
Selain mampu memimpin dalam persoalan rumahtangga, suami yang soleh mampu memimpin dalam hal ketakwaan dan keimanan. Ia mampu membimbing anak dan isterinya dalam hal ibadah dan mentaati perintah Allah.
Kedua : Mampu Bertanggungjawab Dalam Memberikan Nafkah
Jabir bin Abdillah RA meriwayatkan bahwa Rasulullah SAW bersabda,
"Mereka (perempuan-perempuan itu) berhak mendapatkan nafkah dan pakaian yang layak, yang menjadi tanggung jawab kalian (para suami)"
(H.R. Muslim)
Nafkah ialah mengeluarkan belanja atau sara hidup kepada mereka yang wajib ke atas seseorang sama ada isteri, anak dan orang-orang yang di bawah tanggungannya. Ia termasuk keperluan tempat tinggal, makanan, pakaian, pendidikan, keagamaan dan perubatan.
Nafkah juga termasuk nafkah zahir dan batin. Nafkah zahir adalah segala keperluan berbentuk material manakala nafkah batin membawa maksud apa-apa perkara yang boleh menjadikan perasaan dan batin seorang isteri bahagia dan tidak terseksa.
Ketiga : Bekerjasama Dengan Isteri Dalam Hal Pendidikan Anak Dan Urusan Rumahtangga
Suami yang soleh adalah suami yang sentiasa bekerjasama dalam hal pendidikan anak-anak dan urusan domestik rumahtangga. Kebersamaannya dalam soal menguruskan pendidikan sehingga anak-anak pun merasakan kehadiran ayah dalam pertumbuhan mereka membesar dan belajar.
Antara peranan Nabi SAW dalam menguruskan rumahtangga seperti mana disebut oleh Saidatina Aisyah RA tentang perihal Nabi SAW :
"'Apa yang Nabi SAW buat ketika berada di rumah?' Beliau pun menjawab, 'Baginda membantu kerja isterinya. Kemudian sebaik mendengar azan, Baginda pun keluar'"
(HR Bukhari)
Anak-anak akan membesar berdasarkan acuan didikan ibubapa tentang apa yang ditunjukkan contoh teladan yang baik kepada mereka. Seperti kata pepatah "bagaimana acuan begitulah kuihnya". Keluarga yang inginkan anak-anak berakhlak mulia, maka mereka perlu mempraktikkan akhlak mulia. Anak–anak mendapat pengaruh dari sikap, tingkahlaku ibubapa dan meneladani tunjuk ajar, tutur bicara dan perbuatan yang diamalkan oleh ibubapa.
Imam al Ghazali menyebut di dalam kitab Ehya Ulumu Din; "Anak-anak adalah amanah atas ibubapa, jika dia terbiasa dengan benda yang baik dia akan membesar dalam keadaan kebaikan yang ia terbiasa dengannya, dan jika dibesarkan dengan keadaan yang tidak baik, maka menderitalah dia dan dia akan binasa".
Isteri adalah amanah yang telah dipertanggungjawabkan oleh syarak kepada seorang suami melalui ikatan perkahwinan. Jika sebelum pernikahan, kehormatan seorang anak perempuan adalah menjadi tanggungjawab seorang ayah untuk memeliharanya. Namun setelah berkahwin, tanggungjawab itu telah beralih ke atas bahu seorang suami. Suami harus sedar betapa besarnya peranan dan tanggungjawab tersebut kerana ia bakal dipersoalkan di hadapan Allah SWT kelak. Justeru, suami harus bersifat qawwam dalam memimpin isteri seperti yang telah dinyatakan di dalam Surah An-Nisa' di atas.
Istilah qawwam berasal daripada perkataan arab yang bermaksud bertanggungjawab, mengambil berat, memenuhi keperluan, mengurus, prihatin, memimpin, mengawal dan membela. Setiap suami harus memiliki sifat-sifat tersebut dalam memimpin keluarga terutamanya kepada isteri dan anak perempuan. Usah abaikan mereka tanpa bimbingan agama sehingga mereka melakukan perkara-perkara yang mengundang dosa.
Isteri adalah orang kedua yang berkuasa dalam rumahtangga. Mereka adalah ibu dan pengurus rumah suaminya. Kepimpinan yang utama adalah menjaga, mengasuh dan mendidik anak-anaknya agar kelak menjadi orang yang mulia di hadapan Allah. Di samping itu, ia berperanan membina, mengatur, dan menyelesaikan urusan rumahtangga agar memberikan ketenangan dan keselesaan bagi anggota-anggota keluarga yang lain.
Hanya dengan ilmu dan kesedaran sahajalah dapat membantu peranan suami selaku bapa yang boleh menjadi ikon keluarga bagi mengukuhkan kestabilan institusi kekeluargaan. Pimpinlah mereka yang berada di bawah tanggungan kita dengan ilmu kepimpinan yang diajar oleh Allah. Luruskanlah mereka dengan cara yang ditunjuk oleh Allah. Didiklah mereka dengan panduan dari-Nya. Jangan cuba jinakkan mereka dengan harta, nanti mereka semakin liar. Jangan hiburkan mereka dengan kecantikan, nanti mereka semakin menderita. Yang sementara itu tidak akan menyelesaikan masalah. Kenalkan mereka kepada Allah yang Maha Kekal, disitulah mereka akan mudah untuk dipimpin menuju ke syurga.