Bulan Rejab merupakan pintu gerbang memasuki bulan Ramadhan. Ia merupakan salah satu bulan yang mulia dan ia termasuk di dalam bulan-bulan Haram sebagaimana yang difirmankan oleh Allah SWT menerusi surah al-Taubah ayat 36 :
إِنَّ عِدَّةَ ٱلشُّهُورِ عِندَ ٱللَّهِ ٱثْنَا عَشَرَ شَهْرًۭا فِى كِتَـٰبِ ٱللَّهِ يَوْمَ خَلَقَ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضَ مِنْهَآ أَرْبَعَةٌ حُرُمٌۭ ۚ ذَٰلِكَ ٱلدِّينُ ٱلْقَيِّمُ ۚ فَلَا تَظْلِمُوا۟ فِيهِنَّ أَنفُسَكُمْ ۚ
"Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Ia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya)"
Kini kita berada di dalam bulan Rejab yang pernah mencatatkan beberapa peristiwa besar terutama peristiwa Israk dan Mikraj dan Peperangan Tabuk yang berlaku pada tahun yang ke-9 Hijrah. Peristiwa-peristiwa ini meninggalkan begitu banyak pengajaran dan iktibar yang mesti diambil dalam meninggikan kalimah Allah SWT atas muka bumi ini. Pelbagai cabaran dan halangan pasti akan ditempuhi dalam menegakkan syiar Islam yang menuntut sejuta jenis pengorbanan seperti masa dan tenaga. Ketika menyoroti iktibar daripada Peperangan Tabuk maka kita dapat menyaksikan bagaimana golongan munafik bukan sahaja memberi pelbagai alasan yang tidak munasabah untuk tidak menyertai Peperangan Tabuk malah bergerak untuk mempengaruhi tentera Islam yang lain agar menarik diri daripada keluar berjihad bersama Rasulullah SAW. Antara alasan golongan munafik untuk lari daripada berjihad sebagaimana dijelaskan dalam al-Quran ialah :
- Waktu itu adalah musim mengutip buah-buahan tamar yang sedang masak
- Cuaca yang sangat panas dan terik
- Perjalanan jauh dan sukar
- Gerun kerana menghadapi tentera Rom yang besar dan gagah
- Tidak mempunyai persediaan dari segi senjata dan kepandaian bertempur yang cukup
- Tidak mampu menahan godaan dengan kecantikan wanita Rom
Inilah alasan-alasan remeh dari orang yang lebih mengutamakan kepentingan peribadi daripada agama, keuntungan duniawi berbanding ukhrawi yang membolehkan mereka dikecualikan dari perjuangan menegakkan kalimah Allah.
Firman Allah dalam ayat 41 surah at-Taubah :
ٱنفِرُوا۟ خِفَافًۭا وَثِقَالًۭا وَجَـٰهِدُوا۟ بِأَمْوَٰلِكُمْ وَأَنفُسِكُمْ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌۭ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ ٤١
"Berangkatlah kamu baik dalam keadaan ringan atau pun berasa berat dan berjihadlah dengan harta dan dirimu di jalan Allah. Demikian itu lebih baik bagimu jika kamu mengetahui"
Begitulah juga ibaratnya keadaan kita pada hari ini. Ramai juga umat Islam yang diracuni dengan penyakit "tersentap" daripada perjuangan Islam akibat beberapa punca utama antaranya :
- Kurang ilmu dan kefahaman tentang Islam sehingga mudah terpengaruh dengan ideologi sesat termasuk sekulerisme, liberalalisme sehingga hilang semangat dalam melaksanakan seluruh syariat Islam dalam kehidupan. Dalam banyak keadaan timbul rasa sangsi dengan kehebatan syariat Islam sehingga mendewa-dewakan sistem kuffar walau pun jelas bertentangan dengan Islam.
- Gagal memahami tujuan dan matlamat perjuangan Islam. Akhirnya wujud golongan yang hanya berfikir cara untuk mencapai kemenangan tanpa menghirau halal haram malah sanggup mengenepikan prinsip Islam.
- Lemah Ruh Ukhuwwah persaudaraan Islam sehingga gagal bergerak dengan baik akibat perbalahan dan perpecahan sama sendiri. Hilangnya kasih sayang atas dasar iman menyebabkan banyak tugas dan gerak kerja terbantut.
- Mengutamakan kerjaya sehingga menjadikan tugas dakwah dan kerja menggerakkan perjuangan Islam sebagai kerja sampingan dan hanya dibuat sambil lewa sahaja.
- Himpitan dunia di mana tumpuan kepada gerak kerja Islam terbantut akibat semangat untuk berkorban semakin luntur kerana merasakan masa, harta yang digunakan untuk perjuangan Islam merugikan dan tiada pulangan duniawi. Malah tekanan hidup termasuk kos sara hidup yang semakin tinggi menyebabkan tumpuan dalam ibadah semakin kabur kerana lebih banyak memikirkan cara untuk memenuhi keperluan diri lebih utama daripada pengorbanan untuk agama.
- Godaan dunia termasuk godaan harta dan pangkat sehingga bila berdepan dengan pilihan antara memilih harta dan pangkat dengan kerja-kerja Islam tanpa balasan setimpal maka orang yang lemah iman lebih memilih habuan dunia berbanding kerja Islam.
Sesuai dengan keberadaan kita di bulan Rejab yang merupakan bulan memperingati peristiwa Israk dan Mikraj yang mana Allah menganugerahi kita dengan kewajipan solat 5 waktu maka kita mahu setiap diri kita bukan sahaja menjaga solat fardhu malah menggunakan peluang yang ada untuk memenuhi ruang di masjid dan surau. Musuh Islam termasuk Zionis Yahudi pernah menyatakan bahawa mereka tidak akan bimbang dengan umat Islam sehinggalah umat Islam mampu memenuhi masjid terutama pada waktu Subuh sebagaimana umat Islam datang beramai-ramai ke masjid pada hari Jumaat, maka barulah saat hancurnya zionis Yahudi akan tiba.
Dr Raghib As-Sirjani dalam bukunya "Misteri Solat Subuh" menulis mengenai seorang penguasa Yahudi berkata, "Kami takut kalau bilangan umat Islam melaksanakan solat Subuh berjemaah menyamai atau melebihi umat Islam melaksanakan solat Jumaat".
Ayuh kita sahut cabaran musuh Islam ini untuk sama-sama memastikan kita, anak-anak kita, rakan-rakan kita, jiran-jiran kita untuk memenuhi masjid dan surau tiap waktu agar janji kemenangan daripada Allah semakin dekat dan berada dalam genggaman.
Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud :
"Seseungguhnya solat yang paling berat bagi orang munafiq adalah solat isyak dan solat al-Fajar (subuh). Sekiranya mereka mengetahui (pahala) apa yang terdapat pada keduanya, nescaya mereka akan mendatanginya walaupun dalam keadaan merangkak"
(Hadis Riwayat Muslim)
Kempen terbaru Subuh seperti Jumaat yang digerakkan di seluruh negara agak memberangsangkan. Masjid yang suram ketika waktu subuh menjadi terang berseri dengan susunan saf yang penuh dengan jemaah. Usaha ini wajar dipuji kerana ia mengangkat syiar agama. Solat Subuh berjemaah di masjid ada banyak kelebihan. Pun begitu ada juga yang sinis berkata : Kita hadir subuh kerana Allah! Bukan kerana kempen "Subuh Perdana" atau "Subuh Seperti Jumaat" atau bukan kerana mahu kelihatan dalam swafoto bersama selebriti dan pemimpin-pemimpin tertentu.
Aduhai sahabat! Tidak salah menegur, namun teguran biarlah lembut menggosok belakang bukan perit menampar muka. Tahap iman manusia itu berbeza. Urusan niat orang tidak mampu kita teka kerana hanya Allah Yang Maha Mengetahui apa yang tersirat dalam jiwa hambanya. Mana tahu, awalnya orang berkerumun ke masjid untuk menumpang populariti orang tertentu, namun selepas merasai sendiri nikmat tenang dan damainya Subuh berjemaah, mereka boleh istiqamah pula berdamping dengan masjid seumur hidup.
Strategi dakwah itu berbagai bentuk, sekurang-kurangnya ada insan terpanggil untuk menjentik sesuatu ke dalam hati umat Islam. Jika sekadar satu peratus sahaja yang kekal turun subuh berjamaah di surau masjid hasil kempen tersebut, pahalanya sudah cukup mahal buat penaja kempen berbanding kata sinis sesetengah pihak. Jadilah pembantu kebaikan dan bukannya perosak kebaikan yang sedia ada.
Maka untuk mengekalkan momentum ibadah kita supaya kita dapat melakukan ibadah dengan baik dan berterusan marilah kita pohon pertolongan dan kekuatan dari Allah sepertimana yang dijarkan oleh Baginda Rasulullah di dalam Hadis Riwayat Abu Daud, yang bermaksud :
"Rasulullah memegang tanganku lalu bersabda: Wahai Mu'adz, demi Allah aku mencintaimu. Kemudian baginda bersabda lagi: Aku wasiatkan kepadamu wahai Mu'adz, janganlah engkau tinggalkan setiap selesai solat untuk mengucapkan;
اللَّهُمَّ أَعِنِّيْ عَلَى ذِكْرِكَ وَشُكْرِكَ وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ
(Ya Allah, bantulah aku untuk berzikir dan bersyukur kepadaMu serta beribadah kepadaMu dengan baik)"
Hanya dengan bantuan serta taufik daripada Allah kita dapat melakukan setiap amalan dengan baik.