Israk dan Mikraj yang menjadi suatu perlambangan luar biasa ini, menjadi momen yang memikat hati dan ia sarat dengan pelbagai hikmah dan ibrah bagi kita sebagai umat Nabi Muhammad SAW.
Israk dan Mikraj merupakan suatu perjalanan malam yang disimpulkan sebagai satu rehlah ruhaniyyah yang telah dianugerahkan Allah SWT kepada kekasihNya, Nabi Muhammad SAW. Hal ini telah dirakamkan di dalam firmanNya dalam Surah Al-Isra' ayat 1 :
سُبْحَـٰنَ ٱلَّذِىٓ أَسْرَىٰ بِعَبْدِهِۦ لَيْلًۭا مِّنَ ٱلْمَسْجِدِ ٱلْحَرَامِ إِلَى ٱلْمَسْجِدِ ٱلْأَقْصَا ٱلَّذِى بَـٰرَكْنَا حَوْلَهُۥ لِنُرِيَهُۥ مِنْ ءَايَـٰتِنَآ ۚ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلْبَصِيرُ ١
"Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid al-Haram (di Mekah) ke Masjid al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Melihat"
Pengalaman dakwah Nabi SAW selama 13 tahun di Mekah merupakan suatu pengalaman yang amat memeritkan. Semua keperitan itu, dilalui dan ditempuhi oleh Baginda SAW dengan penuh kecekalan, ketabahan dan ketekalan hati yang amat mempersonakan dan menginsafkan kita.
Menelusuri kisah-kisah yang dicatatkan sebelum berlakunya Israk dan Mikraj, ia memperlihatkan betapa tugas dakwah yang dipikul oleh Nabi kita SAW bukanlah suatu tugas yang mudah. Bahkan cabaran, dugaan dan penindasan yang diterima merupakan suatu yang pastinya tidak mampu untuk digalas oleh manusia biasa seperti kita.
Pernah Nabi kita SAW dipaksa bergusti dengan dua tiga orang yang gagah perkasa sebagai syarat untuk mereka membenarkan Nabi bertemu dengan ketua mereka. Walau pun Nabi SAW berjaya mengalahkan mereka, namun mereka tetap tidak membenarkan Nabi bertemu dengan ketua mereka. Baginda pulang dengan hampa.
Kisah hijrah ke Thaif pastinya akan menggamitkan runtunan hati dan perasaan yang menghibakan kita. Harapan menggunung yang telah diletakkan oleh Baginda Nabi, hancur berkecai tatkala sambutan yang diberikan oleh penduduk Thaif pada ketika itu yang sangat mendukacitakan. Di saat Baginda ingin mencari dan membina tapak baharu dakwah setelah berlakunya penolakan yang dahsyat oleh penduduk Mekah, perjalanan sejauh hampir 100 km ke Thaif itu berakhir dengan suatu pengalaman yang cukup memeritkan. Nabi SAW diherdik, dimaki, dihambur dengan kata-kata kesat. Tidak cukup dengan itu, Baginda dihujani dan direjam dengan ketulan batu yang menyebabkan tubuh mulia Nabi luka dan berdarah.
Di samping itu, pemergian Abu Talib dan Saidatina Khadijah untuk bertemu Penciptanya pada Tahun ke-10 kenabian, membuatkan Kaum Quraisy tidak lagi teragak-agak untuk terus menekan dengan menggandakan segala bentuk penindasan, pemerasan dan kezaliman mereka bagi menggagalkan usaha dakwah Nabi SAW.
Demikian apa yang telah berlaku sebelum Israk dan Mikraj. Maka, pengalaman Israk dan Mikraj yang Allah SWT sediakan, istimewa buat Baginda SAW merupakan satu hadiah yang cukup bermakna bagi merawat segala duka yang menimpa.
Firman Allah SWT dalam Surah An-Najm ayat 13-18 :
وَلَقَدْ رَءَاهُ نَزْلَةً أُخْرَىٰ ١٣ عِندَ سِدْرَةِ ٱلْمُنتَهَىٰ ١٤ عِندَهَا جَنَّةُ ٱلْمَأْوَىٰٓ ١٥ إِذْ يَغْشَى ٱلسِّدْرَةَ مَا يَغْشَىٰ ١٦ مَا زَاغَ ٱلْبَصَرُ وَمَا طَغَىٰ ١٧ لَقَدْ رَأَىٰ مِنْ ءَايَـٰتِ رَبِّهِ ٱلْكُبْرَىٰٓ ١٨
"Dan demi sesungguhnya! (Nabi Muhammad) telah melihat (Malaikat Jibril, dalam bentuk rupanya yang asal) sekali lagi. Di sisi “Sidratul Muntaha”. Yang di sisinya terletak Syurga “Jannatul-Makwa”. (Nabi Muhammad melihat Jibril dalam bentuk rupanya yang asal pada kali ini ialah) semasa “Sidratul Muntaha” itu diliputi oleh makhluk-makhluk dari alam-alam ghaib, yang tidak terhingga. Penglihatan (Nabi Muhammad) tidak berkisar daripada menyaksikan dengan tepat (akan pemandangan yang indah di situ yang diizinkan melihatnya), dan tidak pula melampaui batas. Demi sesungguhnya, ia telah melihat sebahagian dari sebesar-besar tanda-tanda (yang membuktikan luasnya pemerintahan dan kekuasaan) Tuhannya"
Pesona Israk Mikraj ini menyajikan beberapa hikmah buat renungan kita bersama :
- Ketaatan kepada perintah Allah SWT dan membina kekuatan iman. Rasulullah SAW memperoleh perintah solat yang menjadi tiang agama kita. Marilah kita melaksanakan perintah Allah dengan ketaatan dan keimanan, khususnya dalam melaksanakan solat yang menjadi tiang keimanan kita kepadaNya, memperkuatkan iman kita melalui amalan yang soleh, dengan penuh ikhlas dan meningkatkan kebaikan hati sesama kita.
- Kesabaran dalam ujian kehidupan. Israk dan Mikraj bukan hanya perjalanan fizikal, tapi juga perjalanan ruhaniyyah. Baginda SAW melewati berbagai lapisan langit yang penuh dengan ujian yang mengajarkan kita tentang pentingnya kesabaran dalam menghadapi ujian hidup yang serba mencabar. Mari kita ambil inspirasi dari perjalanan Rasulullah SAW untuk menjalani kehidupan dengan sabar dan menyerah diri sepenuhnya kepada takdir Allah SWT.
- Pesona Ilmu dan Pengetahuan. Israk dan Mikraj membawa Nabi Muhammad SAW untuk mendapatkan ilmu langsung dari Allah SWT. Pesona ilmu dan pengetahuan menjadi bahagian penting dari peristiwa ini. Di era informasi seperti sekarang, mari kita berusaha untuk menggali ilmu dan pengetahuan bagi mengukuhkan kerangka keimanan dan ketakwaan kita kepada Allah SWT.
Kita sedang hidup di zaman yang penuh dengan godaan dan ujian, tetapi kita juga diberikan pesona Israk dan Mikraj sebagai sumber inspirasi dan petunjuk hidup. Jadikan peristiwa ini bagi tujuan merefleksi, memperbaiki diri dan mendekatkan diri kepada Allah. Hargailah Islam yang sedang kita anuti kerana Islam ini sampai kepada kita dengan kesusahan, keperitan dan pengorbanan Nabi kita SAW.
Sebagai kesimpulannya, marilah sama-sama kita menghayati Pesona Israk dan Mikraj yang telah dilalui oleh Baginda SAW dengan sebenar-benar penghayatan. Hargailah Islam yang sedang kita anuti ini kerana Islam sampai kepada kita dengan kesusahan, keperitan dan pengorbanan Nabi kita SAW. Jadikan Islam sebagai penyatu dalam membina kehidupan yang harmoni dan sejahtera.