recent
Terkini | تركيني

Air Dicincang Tidak Akan Putus

Laman utama

Ikatan persaudaraan merupakan satu prinsip dalam Islam yang ditanam serta diikat secara fitrah pada setiap hati kaum muslimin dan mukminin. Keteguhan ikatan persaudaraan sesama Islam amat dititikberatkan dalam usaha untuk mewujudkan ukhuwah Islam yang kukuh. Malah, persaudaraan sesama islam yang dipertautkan dan dijalinkan atas dasar akidah adalah lebih kuat memandangkan umat Islam berpegang kepada tunjang dan dasar yang sama iaitu menjadikan ad-din sebagai asas kepada tali persaudaraan. Betapa pentingnya kita menjaga persaudaraan sesama Islam kerana ia merupakan tembok yang kukuh dan utuh sebagaimana pesanan yang disampaikan oleh baginda Rasulullah SAW yang bermaksud :

"Dan jadilah kamu hamba-hamba Allah yang bersaudara"

(HR Al-Bukhari)

Pendekatan menjaga hubungan persaudaraan, silaturahim, kesepakatan dan perpaduan dalam masyarakat perlu dibuat menerusi amalan memelihara hubungan baik bagi menjamin kehidupan harmoni dan sejahtera. Nabi Muhammad SAW banyak memberi teladan dalam soal menjaga hubungan hingga orang yang membenci Islam juga mengakui keperibadian Baginda dalam melayani mereka ketika menyebarkan ajaran Islam. Menyambung tali persaudaraan sesama muslim menjadi satu kewajipan buat setiap umat Islam. Apabila tali kasih sayang bertaut, maka hubungan kekeluargaan, persaudaraan serta persahabatan dapat dibina dengan baik.

Allah SWT berfirman dalam surah Ali Imran ayat 103 :

وَٱعْتَصِمُوا۟ بِحَبْلِ ٱللَّهِ جَمِيعًۭا وَلَا تَفَرَّقُوا۟ ۚ وَٱذْكُرُوا۟ نِعْمَتَ ٱللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنتُمْ أَعْدَآءًۭ فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُم بِنِعْمَتِهِۦٓ إِخْوَٰنًۭا 

"Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara"

Akidah Islam telah menyatukan kita sebagai saudara seagama. Tidak kira warna kulit, bangsa, bahasa dan latar belakang, kita telah bernaung di bawah payung persaudaraan Islam, mendapat petunjuk daripada kitab al-Quran dan menerima didikan tarbiah Islam daripada seorang rasul yang sama. Kita bersujud ke arah satu kiblat yang sama. Namun, tidak dinafikan, manusia sentiasa mempunyai perbezaan pendapat dan pandangan. Ini merupakan lumrah kehidupan yang mustahil dapat kita elakkan. Sesungguhnya amat tidak wajar sekiranya perselisihan sesama umat Islam terus dipanggang di atas bara persengketaan sehingga menghanguskan ikatan persaudaraan umat ini. Kerana hal ini akan menyebabkan hubungan silaturrahim retak dan berpecah belah.

Antara kelebihan orang yang menjaga hubungan persaudaraan silaturrahim ini ialah dia akan diperluaskan rezeki oleh Allah SWT berdasarkan sabda nabi SAW :

مَنْ أَحَبَّ أَنْ يُبْسَطَ لَهُ فِي رِزْقِهِ وَيُنْسَأَ لَهُ فِي أَثَرِهِ فَلْيَصِلْ رَحِمَهُ

"Barangsiapa yang ingin diluaskan rezekinya serta dipanjangkan usianya, maka hendaklah dia menyambung pertalian silaturrahim"

(HR al-Bukhari & Muslim)

Imam Nawawi menyebut dalam kitab syarah An-Nawawi, yang dimaksudkan dengan أَنْ يُبْسَطَ لَهُ فِي رِزْقِهِ adalah diluaskan dan dijadikan banyak hartanya. Menurut pendapat yang lain, maksudnya diberi keberkatan harta.

Hubungan persaudaraan wajib dipereratkan, damaikanlah saudara-saudara kita yang berseteru dan bermusuhan dengan kita dan kukuhkan semula jaringan sesama warga agar dapat membina semula persaudaraan dan kestabilan menuju kejayaan. Dengan kebijaksanaan setiap manusia, apa jua masaalah yang menjadi benteng penghalang perpaduan, mampu diurus dengan baik dan mengelakkan persengketaan yang berpanjangan. Eratkan kembali tautan ukhuwah sesama saudara se-Islam, bak kata pepatah "air dicincang tidak akan putus".

Marilah kita bersama menjaga adab, tatasusila dan saling menghormati antara satu sama lain. Contohilah Rasulullah SAW dan para sahabat, suasana harmoni dan saling menyayangi sesama umat ternyata wujud dalam sistem sosial di bawah pimpinan Baginda Nabi Muhammad SAW. Mereka tidak bermusuhan sesama sendiri sebaliknya sanggup berkorban harta, malah nyawa demi menjulang nilai akhlak Islam iaitu hubungan baik sesama Muslim.

Imam al-Bukhari meriwayatkan hadis, daripada Anas bin Malik Radiallahu’anhu, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

"Janganlah kamu saling benci-membenci, saling dengki-mendengki dan saling bermusuhan, jadilah kamu hamba-hamba Allah yang bersaudara"

Hentikanlah persengketaan sesama umat Islam tanpa faedah yang hangat berlangsung dalam media sosial dan di mana saja. Perbuatan saling menghina, saling merendahkan kedudukan, saling menyindir dengan sindiran melampau, serta saling mengeluarkan kata-kata tidak sopan semuanya adalah petanda keretakan yang boleh melemahkan hubungan sesama umat Islam. Setiap perkara pasti ada hadnya.

Justeru, usah jadikan perbezaan pandangan dan persengketaan sebagai racun yang melemahkan ukhuwah Islamiah. Jadilah kita seperti kedua tangan, apabila bersama mengangkat barang, kekuatan tercipta. Apabila sebelah tangan terluka, sebelah lagi mengubatinya. Usah jadi seperti kedua telinga, biarpun ada di kepala yang sama, namun tidak pernah bertemu malah sentiasa irihati sesama sendiri.

Akhir sekali, beberapa kesimpulan sebagai pengajaran untuk kita bersama, antaranya ialah :

  1. Perbezaan pandangan merupakan lumrah insan, namun sebagai manusia yang matang dan berakal fikiran, uruslah pergeseran tersebut agar tidak berpanjangan dan melahirkan persengketaan yang merugikan.
  2. Saling bermaaf-maafan merupakan amalan yang mulia. Allah akan mengangkat tinggi darjat mereka yang memaafkan orang lain.
  3. Persengketaan hanya mengundang derita dan permusuhan sebaliknya kasih sayang dan sikap berlapang dada pasti akan membuahkan keharmonian dan kebahagian hidup bermasyarakat.

Kata pujangga : "Bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat, carik-carik bulu ayam, akhirnya bercantum jua"

google-playkhamsatmostaqltradent