recent
Terkini | تركيني

Ayah dan Ibu Gedung Pahala

Laman utama

Ayah dan ibu adalah dua insan yang amat penting dan amat bermakna dalam kehidupan kita sebagai seorang anak. Ayah dan ibu itulah permulaan kita, dapat melihat bulan dan matahari. Mereka berdua merupakan wali keramat, insan yang telah menjaga dan membesarkan kita dengan pelbagai karenah tanpa mengeluh penat dan lelah. Ibu sanggup berkorban jiwa dan raga menanggung kesakitan dan kepayahan saat-saat getir bertarung nyawa melahirkan kita. Seorang ayah pula sanggup berkorban menjadi tulang belakang keluarga, sanggup berpenat lelah bekerja demi mencari sesuap nasi dan menyara kehidupan keluarganya. Justeru itu, Allah SWT telah mewajibkan anak-anak agar berbakti kepada kedua ibu bapa sama ada semasa kedua ibu bapa masih bernyawa, bahkan setelah mereka bertemu Allah SWT. Firman Allah SWT menerusi ayat 24 surah al-Isra' :

وَٱخْفِضْ لَهُمَا جَنَاحَ ٱلذُّلِّ مِنَ ٱلرَّحْمَةِ وَقُل رَّبِّ ٱرْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِى صَغِيرًۭا ٢٤

"Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): "Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil"

Ibu dan bapa adalah gedung pahala buat anak-anak. Selagi mereka berdua masih bernyawa berbaktilah kepada mereka kerana Allah SWT menjanjikan pahala yang banyak bagi anak-anak yang sentiasa berbuat baik kepada ibu bapa. Bahkan sesiapa yang sempat bersama atau berbakti kepada kedua ibubapanya merupakan orang yang sangat bertuah dan beruntung kerana berbuat baik kepada ibu bapa merupakan antara amalan yang paling dicintai oleh ALLAH SWT.

Hadis daripada Abdullah bin Mas’ud RA katanya yang bermaksud :

"Seorang lelaki pernah bertanya kepada Rasulullah SAW: Apakah amalan paling utama? Baginda bersabda: Sembahyang pada waktunya. Aku bertanya lagi: Kemudian apa lagi? Baginda bersabda: Berbakti kepada kedua ibu bapa. Aku bertanya lagi: Kemudian apa lagi? Baginda bersabda: Berjuang pada jalan Allah"

(Hadis Riwayat Bukhari)

Sebenarnya kewajipan menghormati dan berbuat baik kepada ibu bapa ini bukan hanya terbatas samada mereka masih hidup, bahkan selepas mereka meninggal dunia. Bahkan walaupun ibu bapa sudah tiada, anak-anak dikehendaki berdoa supaya mereka mendapat keampunan Allah SWT. Selain itu, anak juga dikehendaki melaksanakan wasiat mereka; membayar hutang mereka (jika ada) dan berbuat baik kepada sahabat mereka. Jelaslah menghormati dan berbuat baik kepada ibu bapa adalah suatu amalan utama dan berterusan sepanjang masa.

Subhanallah, betapa hebatnya ganjaran yang Allah SWT anugerahkan buat anak-anak yang sentiasa berbakti serta mendoakan kesejahteraan ibu bapa mereka. Sabda baginda SAW yang bermaksud :

"Sesiapa yang membuat ibu dan bapanya gembira (memberi keredhaan), maka sesungguhnya ia mendapat redha Allah SWT"

(Hadis Riwayat Bukhari)

Seterusnya kelebihan lain yang disediakan untuk orang yang berbakti kepada ibu bapa ialah doanya mustajab, doa ibu bapanya juga mustajab dan melihat wajah ibu bapanya akan dikira sebagai ibadah serta diberi pahala oleh Allah SWT.

Namun di sebalik gedung pahala yang Allah SWT sediakan bagi anak-anak yang sentiasa berbuat baik dan berbakti kepada kedua ibu bapanya, Allah SWT menegaskan bahawa suatu kehinaan dan kecelakaan bagi anak-anak yang mengabaikan ibu bapa dan menderhakai mereka. Nabi SAW pernah menyatakan orang yang hina adalah orang yang sempat bersama ibubapanya tetapi kesempatan yang ada itu tidak membolehkan dia untuk dimasukkan ke dalam syurga.

Hadis daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

" 'Kehinaan, kehinaan, kehinaan'. Baginda ditanya: 'Siapa (yang engkau maksudkan) wahai Rasulullah?' Rasulullah menjawab: 'Siapa sahaja yang mempunyai orang tuanya ketika sudah lanjut usia, salah satu atau keduanya namun tidak (menjadikannya sebab) masuk syurga' "

[Hadis Riwayat Muslim]

Bagi yang tinggal bersama ibu bapa, mohonlah kemaafan daripada mereka atas segala kesalahan dan kelalaian kita. Bagi yang ibu bapa tinggal berjauhan, tanyalah khabar mereka, pulanglah ziarahi mereka serta santuni mereka sedaya mungkin.

Sebenarnya ibu bapa tidak mengharapkan wang ringgit kita. Cuba perhatikan semula kitaran hidup manusia. Ketika kecil, kita mendambakan belaian dan perhatian ibu bapa. Kita mahu mereka mendengar, ada di sisi untuk membantu saat jatuh dan bangun, memeluk, melayan penuh kasih-sayang dan memberi sokongan sehingga mampu berdikari.

Seperkara lagi, ibu bapa merupakan anugerah terindah buat setiap insan dan anugerah berkenaan perlu dijaga sebaik-baiknya agar kita tidak tergolong sebagai anak derhaka dan mendapat kemurkaan Allah di dunia serta mendapat azab di akhirat.

Justeru marilah sama-sama kita menambahkan lagi rasa kecintaan kita kepada kedua ibu bapa kita untuk menjadi penyejuk mata mereka jika mereka masih hidup, sesungguhnya apa yang kita lakukan ini akan dilakukan oleh anak-anak kita kelak apabila kita telah mempunyai anak. Jika baik layanan kita pada ibu bapa kita, maka baiklah layanan yang akan kita terima dari anak-anak kita nanti dan sekaligus amalan yang kita lakukan ini akan menjadi ibadat untuk kita dan saham untuk ke syurga di akhirat kelak.

google-playkhamsatmostaqltradent