recent
Terkini | تركيني

Kesederhanaan Dalam Berbelanja

Laman utama

Allah berfirman dalam surah Al-Furqan ayat 67 :

وَٱلَّذِينَ إِذَآ أَنفَقُوا۟ لَمْ يُسْرِفُوا۟ وَلَمْ يَقْتُرُوا۟ وَكَانَ بَيْنَ ذَٰلِكَ قَوَامًۭا ٦٧

"Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah) yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil kedekut; dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah betul sederhana di antara kedua-dua cara (boros dan bakhil) itu"

Allah SWT memerintahkan hamba-hambaNya untuk berhemah dalam menggunakan harta atau berhemat dalam perbelanjaan iaitu tidak cenderung kepada terlalu kedekut dan tidak pula terlalu boros atau membazir. Oleh kerana itu, Islam mengeji perbuatan boros sebaliknya menggalakkan sifat berhemat dalam menguruskan perbelanjaan.

Tegahan dan larangan bersifat boros juga sebagaimana yang dijelaskan dalam hadis yang diriwayatkan oleh al-Bazzar yang bermaksud : 

"Sesiapa yang berjimat cermat, tentu Allah memberikan kekayaan kepadanya. Dan sesiapa yang boros, tentu Allah memberikannya miskin. Dan sesiapa yang merendah diri, tentu Allah akan mengangkat (darjatnya) dan sesiapa yang bongkak atau sombong nescaya Allah akan memutuskannya (memusuhinya)"

Justeru, syariat Islam memberi peringatan akan bahaya as-saraf (pemborosan) termasuk berlebihan dalam perbelanjaan.

Secara umumnya kita mengetahui bahawa rezeki yang dikurniakan oleh Allah kepada setiap hambaNya berupa kesenangan dan kemampuan kewangan adalah berbeza-beza. Ada yang luas rezekinya dan ada yang sempit. Namun itu semua adalah sebagai ujian dan dugaan untuk menilai sejauh mana kita mensyukuri nikmat Allah SWT.

Islam tidak menghalang umatnya berbelanja selagi mana sesuai batas kemampuan dan keperluan. Konsep kesederhanaan perlulah diterapkan dan diamalkan supaya tidak berlaku pembaziran. Walaupun ada di antara kita mempunyai kemampuan kewangan yang agak baik dan kukuh, janganlah boros berbelanja dan membeli belah sehingga hilang akal. Bersederhana adalah jalan yang terbaik. Kita tidak perlu menghabiskan lebihan kewangan yang ada untuk barang dan perkara yang tidak penting. Bahkan jika lebihan dari keperluan itu disimpan sebagai tabungan, dapatlah digunakan pada waktu-waktu kecemasan luar jangka atau apabila ditimpa musibah serta bencana seperti musibah banjir. Banyak kerosakan harta benda dan kelengkapan rumah yang sudah pasti perlu dibaiki atau diganti. Seandainya tiada simpanan sebagai awasan, maka tentu kita terkapai-kapai mencari sumber bantuan kewangan.

Dalam membicarakan hal ini, antara yang menarik perhatian kita semua adalah fenomena pembelian atas talian. Dewasa ini, pelbagai aplikasi pembelian atas talian diperkenalkan kepada masyarakat. Sudah tentu perkara ini ada kesan baik dan buruknya kepada kita. Pelbagai produk dapat dibeli secara mudah dengan hanya menekan butang "Beli" di telepon bimbit masing-masing. Dan produk akan sampai di depan pintu rumah tanpa perlu bersusah payah mendapatkannya.

Namun harus diingat, kelekaan dan keseronokan membeli barangan secara online tersebut kadang kala membawa kepada ketagihan dan sukar dikawal bahkan ada kalanya barang yang tidak perlu juga dibeli dek kerana ada tawaran diskaun atau promosi potongan harga yang menarik. Oleh itu, dalam hal ini Allah memperingati kita menerusi firmannya dalam surah As-Syura, ayat 27 :

۞ وَلَوْ بَسَطَ ٱللَّهُ ٱلرِّزْقَ لِعِبَادِهِۦ لَبَغَوْا۟ فِى ٱلْأَرْضِ وَلَـٰكِن يُنَزِّلُ بِقَدَرٍۢ مَّا يَشَآءُ ۚ إِنَّهُۥ بِعِبَادِهِۦ خَبِيرٌۢ بَصِيرٌۭ ٢٧

"Dan kalaulah Allah memewahkan rezeki bagi setiap hambaNya, nescaya mereka akan melampaui batas di bumi (dengan perbuatan-perbuatan liar durjana); akan tetapi Allah menurunkan (rezekiNya itu) menurut kadar yang tertentu sebagaimana yang dikehendakiNya. Sesungguhnya Ia Mengetahui dengan mendalam akan segala keadaan hambaNya, lagi Melihat dengan nyata"

Islam menggalakan sifat sederhana dalam perbelanjaan . Menyederhanakan perbelanjaan bermaksud berbelanja tidak lebih dan tidak kurang setakat yang dapat mengawal atau menahan kehendak nafsu dan tidak pula memudaratkan atau menghalang kelangsungan hidup. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : 

"Jauhilah gaya hidup bermewahan. Sesungguhnya hamba-hamba Allah itu bukan orang yang bermewah-mewahan"

Dalam konteks ini, ibubapa juga perlu menerapkan konsep kesederhanaan kepada anak-anak agar mereka tidak menggunakan aplikasi pembelian atas talian dengan sewenang-wenangnya. Pendedahan ini harus diberikan diawal usia mereka sebagai bimbingan dan tunjuk ajar di masa hadapan. Pastikan perbelanjaan mengikut kemampuan dan mengutamakan maslahah iaitu utamakan keperluan asasi kemudian keperluan tambahan dan akhir sekali barulah kehendak berupa perhiasan.

Amalan berkongsi rezeki juga perlu diajarkan supaya keperluan asasi dapat dinikmati bersama. Menyumbang pada tempat yang sesuai dengan kehendak agama dan diredhai Allah juga dikira sebagai bersederhana dalam perbelanjaan. Sekiranya masyarakat mengamalkan kesederhanaan dalam berbelanja, maka pembaziran sumber dapat dielakkan dan pelbagai masalah yang melibatkan kewangan dapat diselesaikan. 

Kemampuan kewangan keluarga akan kukuh dan masalah pengabaian tanggungjawab akan terhindar. Golongan yang kurang bernasib baik juga dapat dibela dengan sedekah dan sumbangan hasil daripada lebihan yang ada. Sudah tentu akan mendapatkan ganjaran yang lumayan disisi Allah seperti firmanNya :

 وَمَا تُنفِقُوا۟ مِنْ خَيْرٍۢ يُوَفَّ إِلَيْكُمْ وَأَنتُمْ لَا تُظْلَمُونَ

"Dan apa saja harta yang baik yang kamu nafkahkan, nescaya kamu akan diberi pahalanya dengan cukup dan sedikitpun kamu tidak akan dianiaya"

(Surah Al-Baqarah : 272)

Beberapa kesimpulan dapat kita utarakan adalah :

  1. Berbelanjalah secara sederhana atau berhemat merupakan tuntutan syariat Islam.
  2. Lebihan kewangan seharusnya disimpan buat kegunaan di masa hadapan.
  3. Hindari pembaziran kerana itu adalah amalan syaitan.
  4. Berwaspada dan berpada-pada dengan aplikasi pembelian atas talian (online) supaya perbelanjaan kita terurus dengan baik.
  5. Berkongsi rezeki dengan kaum keluarga, sanak saudara, sahabat handai dan jiran tetangga yang mengalami kesusahan.

Kesederhanaan dalam beberlanja mestilah diterapkan dalam setiap urusan hidup termasuk dalam urusan perbelanjaan seharian. Seperti kata pujangga : "Penyakit akal itu bangga diri dan emosi, dan penyakit harta itu ialah pemborosan".

Semoga kita semua termasuk dalam kalangan umat Baginda Nabi SAW yang diberikan syafaat hasil daripada menjadikan Baginda sebagai contoh ikutan dalam setiap aspek kehidupan kita.

google-playkhamsatmostaqltradent