يَرْفَعِ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ مِنكُمْ وَٱلَّذِينَ أُوتُوا۟ ٱلْعِلْمَ دَرَجَـٰتٍۢ ۚ وَٱللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌۭ
"Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan ugama (dari kalangan kamu) - beberapa darjat. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang kamu lakukan"
Ayat al-Quran dalam Surah al-Mujadalah ayat 11 menunjukkan kepada kita kedudukan orang yang dikurniakan ilmu. Allah SWT bukan semata-mata meletakkan mereka sebaris dengan orang yang beriman, bahkan diberikan keistimewaan ditingkatkan darjat dan kedudukan seperti mana Allah meningkatkan darjat hamba-hamba-Nya yang beriman. Orang yang dikurniakan ilmu inilah yang kita sebutkan sebagai ulamak, ilmuwan ataupun pakar.
Pastinya kita semua menyedari kepentingan ilmu dan menuntut ilmu. Wahyu pertama Allah SWT kepada kekasih-Nya Nabi Muhammad SAW untuk membaca, jelas membuktikan kedudukan ilmu dalam ajaran Islam. Islam sebagai ajaran yang menganjurkan penerokaan mendapatkan ilmu dan mementingkan pengetahuan.
Jika ilmu mendapat perhatian, pastinya pembawa ilmu tidak akan diabaikan. Merekalah ulamak dan para ilmuwan yang menjadi kesinambungan ilmu daripada Rasulullah SAW hinggalah kepada kita hari ini.
Abu Darda’ RA meriwayatkan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :
"Sesungguhnya ulamak merupakan pewaris para nabi, seungguhnya para nabi tidak mewariskan dinar dan dirham, sesungguhnya mereka mewariskan ilmu, sesiapa yang mengambilnya maka dia telah mengambil bahagian yang menguntungkan"
(HR Al-Tirmizi)
Jelas dalam hadis ini berkaitan kedudukan para ulamak dan ilmuwan. Mereka bukan orang kebanyakan yang hanya memikirkan kehidupan peribadi, tetapi mereka adalah pewaris ilmu para nabi dan rasul. Warisan yang membawa kita keluar daripada kegelapan kejahilan ke arah cahaya ilmu dan iman seterusnya menuju kejayaan di akhirat sana.
Apabila Rasulullah SAW sendiri mengakui status para ulamak sebagai pewaris nabi dan rasul, maka sewajarnya kita tidak meletakkan para ulamak dengan ilmu mereka setaraf dengan orang biasa. Mereka perlu dihargai dan dihormati bukan atas kapasiti peribadi tetapi atas jasa membawa dan menyebarkan ilmu kepada kita semua.
Daripada Saidina Umar bin al-Khattab RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
"Sesungguhnya Allah SWT mengangkat darjat dengan kitab ini (al-Quran) beberapa kaum dan menjatuhkan yang lain"
(HR Muslim)
Dalam hadis ini Rasulullah SAW menjelaskan bagaimana orang yang memahami kitab al-Quran yakni para ulama diangkat darjat mereka oleh Allah SWT.
Dewasa ini kita menyaksikan keburukan umat manusia dalam melayani ulamak dan ilmu. Ilmu para ulamak tiada nilai pada pandangan mereka. Kedudukan para ulamak pula dipandang enteng oleh kelompok ini hanya kerana perbezaan pandangan dan pendapat.
Kerana satu pandangan ulamak yang berbeza dengan kehendak hawa nafsu golongan ini, terus para ulamak dihina dan dicerca, dicemuh dan diejek tanpa sebarang pertimbangan, walaupun pandangan asal yang dikemukakan berdasarkan ilmu dan berlandaskan kaedah yang benar.
Sungguh sedih dan kasihan kepada ulamak apabila berada dalam situasi begini. Mereka terus bertanggungjawab dengan ilmu, pada masa yang sama mereka juga seperti kita semua perlu berusaha memenuhi keperluan hidup pada era yang penuh mencabar ini, ditambah pula dengan penghinaan dan cercaan yang dilemparkan oleh golongan yang tidak menghormati dan menghargai ilmu dan ulamak.
Suka ditegaskan, ulamak bukan maksum dan ulamak juga tidak suci. Namun begitu, kita selaku orang yang berakal, meletakkan keyakinan kepada ulamak bahawa pandangan dan pendapat mereka adalah berdasarkan ilmu serta pengalaman. Setiap perkara pastinya berlandaskan dalil dan hujah, setiap satunya dinilai dan dikaji seterusnya menghasilkan hukum atau pandangan tertentu.
Ulamak juga terdedah kepada kesalahan dan kesilapan. Tetapi kita selaku orang awam yang mungkin belum mengetahui bahawa sesuatu perkara itu barangkali telah ada hukum dan penjelasannya, tidak patut terus memperkecil-kecilkan pendapat mereka, apatah lagi menolak dan mengatakan pendapat itu salah dan sebagainya. Tersalah langkah akan mendedahkan kelemahan dan kejahilan diri sendiri.
Terdapat individu yang merasakan mereka berilmu cuba mengulas pendapat dan pandangan ulama silam, bahkan ada yang berani menolak pendapat ulamak silam sedangkan apa yang dikatakan sebenarnya tidak terlepas daripada pengetahuan para ulama namun ulama berpegang dengan dalil yang lebih kuat dan pendapat yang lebih masyhur, sesuai dengan masa dan situasi.
Golongan ini tanpa segan silu bukan sekadar menolak pendapat ulamak muktabar, tetapi yang lebih menyedihkan sanggup menghina dan mencaci para ulamak hanya kerana perbezaan pendapat yang kecil. Inilah golongan yang digelar mutafaihiqun, mereka yang hanya bercerita tentang kehebatan dirinya dan mementingkan diri mereka.
Jabir bin Abdullah RA. meriwayatkan daripada Rasulullah SAW yang bermaksud :
"Sesungguh antara yang lebih aku kasihi dan lebih dekat kedudukannya denganku pada hari kiamat adalah yang terbaik akhlaknya daripada kalangan kamu. Dan antara yang paling aku benci dan lebih jauh kedudukannya daripadaku pada hari kiamat adalah thartharun (orang yang cakap banyak tanpa faedah), mutasyaddiqun (orang yang bercakap dengan merendahkan orang lain) dan mutafaihiqun. Para sahabat berkata, kami telah mengetahui thartharun dan mutasyaddiqun, apa pula mutafaihiqun? Jawab Rasulullah SAW : orang yang takabbur"
(HR Al-Tarmizi)
Kewujudan golongan sebegini sebenarnya membawa masyarakat terjerumus ke kancah ajaran sesat. Mereka sombong untuk mengikut pendapat para alim ulamak, bongkak untuk merendahkan ego peribadi dan takabbur dengan sekelumit pengetahuan yang diberikan Allah SWT.
Marilah kita kembali kepada ajaran Islam yang sebenar, ajaran yang dibawa oleh para ulamak muktabar dan menjadi pegangan majoriti besar umat Islam seluruh dunia. Jangan kita mendabik dada bahawa kita telah cukup ilmu lalu tidak menghormati ulamak lain, menghina dan menjatuhkan martabat mereka di mata orang awam.
Sekiranya ada pendapat atau pandangan para ulamak yang dirasakan kurang tepat, tidak benar atau tidak serasi dengan fahaman dan amalan kita, biarkan khilaf ini diuruskan sesama ulamak, dibincangkan secara beradab dan harmoni. Usahlah kita yang kerdil ini sama-sama turun berpencak silat dengan lawan yang jauh lebih berilmu daripada kita dan bukan pula di gelanggang kita. Sebaliknya, kita terus berusaha menuntut ilmu untuk mengikis kejahilan diri. Kita hormati para ulamak yang membawa warisan para nabi dan rasul untuk kita berada dalam cahaya keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT.