Hujan yang turun mencurah-curah sejak kebelakangan ini telah mengakibatkan beberapa kawasan sudah ditenggelami air. Oleh itu, marilah kita terus melakukan kawalan kendiri dengan sebaik-baiknya bagi mengelakkan terdedah kepada bahaya wabak penyakit kerana mencegah itu lebih baik daripada mengubati.
Marilah kita bertaubat dengan sebenar-benar taubat agar kita mendapat pertolongan Allah SWT dan dijauhkan daripada azab dan seksaan-Nya. Firman Allah SWT dalam surah Az-Zumar ayat 54 :
وَأَنِيبُوٓا۟ إِلَىٰ رَبِّكُمْ وَأَسْلِمُوا۟ لَهُۥ مِن قَبْلِ أَن يَأْتِيَكُمُ ٱلْعَذَابُ ثُمَّ لَا تُنصَرُونَ ٥٤
"Dan kembalilah kamu kepada Tuhan kamu dengan bertaubat, serta berserah bulat-bulat kepadaNya, sebelum kamu didatangi azab; kerana sesudah itu kamu tidak akan diberikan pertolongan"
Allah SWT menguji hamba-hamba-Nya dengan berbagai bentuk ujian hidup termasuklah dalam keadaan kita diuji dengan perasaan takut, juga dari sudut kelaparan dan kekurangan harta. Maka sudah semestinya untuk kita mengatasinya tak lain tak bukan adalah melalui kesabaran. Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 155 :
وَلَنَبْلُوَنَّكُم بِشَىْءٍۢ مِّنَ ٱلْخَوْفِ وَٱلْجُوعِ وَنَقْصٍۢ مِّنَ ٱلْأَمْوَٰلِ وَٱلْأَنفُسِ وَٱلثَّمَرَٰتِ ۗ وَبَشِّرِ ٱلصَّـٰبِرِينَ ١٥٥
"Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar"
Sifat orang-orang yang sabar ketika menghadapi ujian Allah dalam bentuk kesusahan dan kepayahan hidup adalah menerima segalanya dengan hati yang tenang, berlapang dada, tidak berputus asa, tidak mudah menyerah kalah dan tidak menyangkal akan segala ketentuan dan ketetapan Allah SWT ke atasnya. Ingatlah, ujian itu merupakan fitrah dalam kehidupan kerana dengan ujian menjadikan diri kita lebih tabah, lebih sabar dan lebih mengenal kekuasaan dan kebesaran Allah SWT. Setiap ketentuan dan ketetapan Allah SWT itu adalah yang terbaik buat hamba-hambaNya.
Peristiwa banjir yang berlaku di beberapa lokasi di pantai timur khususnya di negeri Kelantan ini memberikan gambaran kepada kita bahawa kita merupakan makhluk yang sangat lemah dan bergantung harap dengan pertolongan Allah SWT. Peristiwa ini juga merupakan satu 'teguran' dari Allah Yang Maha Esa serta menguji sikap kita sebagai orang Mukmin dalam menghadapi ujian dari-Nya. Bukan masanya mencari salah dan menuding jari mana-mana pihak, sebaliknya kita berusaha untuk membantu semampu mungkin mangsa-mangsa yang terjejas. Betapa ramai yang sudah menjadi mangsa, banyak rumah dan harta benda yang rosak dan musnah akibat banjir tersebut.
Bersabarlah wahai saudara-saudaraku! Semoga Allah SWT memberi pahala yang banyak atas kesabaran ini dan menggantikan dengan yang lebih baik. Ingatlah bahawa setiap kejadian yang berlaku ada hikmahnya yang tersendiri.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :
"Tidaklah seorang muslim yang ditimpa suatu penyakit dan keletihan, kegusaran dan kesedihan, gangguan dan kesusahan, bahkan duri yang melukainya melainkan Allah akan menghapus kesalahan-kesalahannya"
(Hadis Riwayat Imam al- Bukhari)
Hadis ini memberi maksud bahawa setiap ujian dan musibah yang diturunkan oleh Allah SWT kepada hamba-hambanya adalah sebagai penghapus kepada dosa-dosa masa lampau.
Setiap musibah yang berlaku juga merupakan peringatan dari Allah SWT agar kita sentiasa mengingatinya dan melaksanakan amar ma'ruf dan nahi munkar. Berlakunya ujian-ujian seperti wabak penyakit, bencana alam, dan lain-lain lagi perlu dimuhasabah dengan sebenar-benarnya. Allah SWT memberi peringatan agar kita sentiasa menyeru melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran.
Justeru, marilah kita bertaubat dan bermunajat kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh dan meninggalkan segala bentuk kemaksiatan. Tingkatkanlah ketakwaan kepada Allah SWT agar kita semua mendapat rahmat dan pertolongan daripada Allah SWT serta dihindarkan daripada musibah dan bencana yang lebih besar lagi. Insaflah dengan segala yang telah berlaku. Bersabarlah dengan ujian dan bersangka baik dengan Allah SWT. Ingatlah bahawa semua ini milik Allah SWT dan pasti akan lenyap binasa.
Marilah kita bersama-sama membantu saudara-saudara kita yang terjejas dengan banjir. Hulurkanlah apa jua yang termampu untuk membantu saudara kita sama ada dari segi makanan, pakaian, wang ringgit, tenaga dan lain-lain lagi. Ketahuilah bahawa Allah SWT akan mempermudahkan urusan hamba yang membantu orang lain yang dalam kesusahan.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :
"Barangsiapa yang mempermudah urusan mereka yang kesusahan, maka Allah akan mempermudahkan urusannya di dunia dan di akhirat"
(Hadis Riwayat Imam Muslim)
Semoga dengan ini, ia akan menguatkan lagi ikatan persaudaraan kita sesama muslim. Insya-Allah, semoga Allah SWT membalas segala kebaikan kita semua.
Kesimpulannya, marilah kita menghayati beberapa rumusan seperti berikut :
- Kita hendaklah meyakini bahawa setiap kejadian bencana merupakan ujian, teguran dan peringatan dari Allah kerana ia berlaku atas kekuasaan dan takdir Allah.
- Setiap insan perlulah mempunyai sifat belas kasihan dan prihatin terhadap mangsa bencana serta menghulurkan segala bentuk pertolongan yang termampu.
- Sebagai hamba Allah yang beriman kita perlu menyedari hikmah di sebalik bencana yang menimpa ini perlu diinsafi dan diambil iktibar.