Apabila seseorang individu muslim meninggal dunia, segala harta yang dimiliki ketika hayatnya secara automatik berpindah milik kepada pihak lain dan perlu diuruskan berlandaskan kaedah yang ditetapkan syarak. Harta tersebut adalah termasuk dalam "tarikah" atau harta peninggalan si mati. Menurut Professor Doktor Syeikh Mustafa Dib Al-Bugha, "tarikah" ditakrifkan sebagai setiap apa yang dimiliki oleh seseorang individu ketika hayatnya dan ditinggalkan setelah kematiannya sama ada dalam bentuk harta, hak-hak atau manfaat kebendaan.
Pengurusan harta peninggalan hendaklah dilakukan mengikut keutamaan seperti yang telah ditentukan oleh hukum syarak.
- Harta tersebut hendaklah digunakan untuk menanggung kos pengurusan jenazah;
- Melangsaikan hutang si mati jika ada;
- Menyempurnakan wasiat jika ada; dan
- Barulah harta tersebut dibahagikan kepada ahli waris berdasarkan hak-hak yang ditetapkan dalam hukum faraidh.
Seringkali kita mendengar pertelingkahan berlaku dalam sesebuah keluarga berhubung harta pusaka setelah berlaku sesuatu kematian. Pertelingkahan ini kadangkala berpunca daripada perbezaan pendapat sama ada hendak menyegerakan atau menangguhkan pembahagian harta pusaka. Apabila sebahagian ahli waris menyuarakan mengenai pembahagian harta pusaka, ada pula ahli waris yang lain akan menegaskan tidak perlu menyegerakannya dengan alasan “tanah kubur masih merah”, seolah-olah menggambarkan ahli waris yang mahu menyegerakan pengurusan harta pusaka sebagai tamakkan harta tersebut. Ini tidak benar, kerana syariat Islam menggalakkan pembahagian harta pusaka dilaksanakan dengan sesegera mungkin.
Kelewatan pembahagian harta pusaka ini kerap kali menyebabkan timbul masalah lain pula seperti ahli waris meninggal dunia dan turutan waris menjadi berlapis-lapis, ahli waris terputus wang belanja dan sebagainya.
Menurut data yang direkodkan, pada tahun 2016, jumlah harta umat Islam yang dibekukan adalah sebanyak RM 60 bilion. Angka ini semakin bertambah tahun demi tahun dan pada tahun 2022, jumlahnya meningkat sehingga RM 90 bilion. Jumlah ini bukanlah sedikit dan sekiranya pengurusan harta pusaka dilakukan dengan baik, sudah pasti ianya akan dapat memberi kebaikan yang banyak kepada ahli waris dan menjadi kebajikan yang berpanjangan kepada si mati.
Sikap tamak untuk membolot harta pusaka juga merupakan isu yang seringkali kita dengar. Dek kerana sikap tamak ini, sebahagian ahli waris sanggup menyembunyikan maklumat sebahagian ahli waris yang lain ketika proses tuntutan harta pusaka.
Bukan sekadar itu, kejahilan berhubung hukum-hakam faraid juga mendorong berlakunya manipulasi dalam urusan pembahagian harta pusaka. Masih terdapat sebahagian masyarakat kita pada hari ini menganggap apa-apa sahaja harta pusaka daripada unsur emas akan dibahagikan kepada ahli-ahli waris dari kalangan perempuan sahaja manakala ahli waris dari kalangan lelaki tidak diberikan sedikit pun harta tersebut dengan anggapan bahawa orang lelaki tidak berhak mewarisi emas kerana mereka dilarang memakainya.
Kepincangan dalam pengurusan harta pusaka ada kalanya dilakukan oleh penama yang telah didaftarkan oleh seseorang pemilik akaun di sesuatu agensi kewangan. Tujuan mendaftarkan penama bagi sesuatu akaun adalah untuk memudahkan pengurusan akaun tersebut sekiranya pemilik asal tidak dapat menguruskannya disebabkan halangan tertentu seperti kematian. Malangnya, ada di kalangan penama ini mengambil kesempatan dalam situasi seperti ini dengan membolot keseluruhan harta tersebut tanpa membahagikannya kepada ahli-ahli waris.
Situasi-situasi yang dinyatakan ini sememangnya realiti yang berlaku dalam masyarakat Islam di negara kita dan perkara ini jelas bertentangan dengan hukum syarak serta dilarang di dalam Islam. Seseorang ahli waris yang mengambil harta sebahagian ahli waris yang lain dengan cara yang batil sesungguhnya telah melakukan kezaliman dan mengambil harta orang lain secara haram. Allah SWT berfirman dalam Surah al-Baqarah ayat 188 :
وَلَا تَأْكُلُوٓا۟ أَمْوَٰلَكُم بَيْنَكُم بِٱلْبَـٰطِلِ وَتُدْلُوا۟ بِهَآ إِلَى ٱلْحُكَّامِ لِتَأْكُلُوا۟ فَرِيقًۭا مِّنْ أَمْوَٰلِ ٱلنَّاسِ بِٱلْإِثْمِ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ ١٨٨
"Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya)"
Rasulullah SAW menyatakan bahawa salah satu punca yang menyebabkan seseorang itu muflis di akhirat adalah kerana memakan harta orang lain secara batil seperti yang disebut dalam hadis baginda nabi SAW yang bermaksud :
"Diriwayatkan daripada Saidina Abi Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda : "Tahukah kamu apa itu muflis?". Mereka menjawab : Orang yang muflis di kalangan kami ialah orang yang tiada dirham (tidak memiliki wang) dan tidak pula memilik harta. Baginda bersabda : "Sesungguhnya orang yang muflis dari kalangan umatku ialah orang yang datang pada hari kiamat dengan (bekal pahala) solat, puasa dan zakat. (Pada masa yang sama) dia juga datang dengan (keadaan) dia pernah mencela si fulan ini, melakukan qazaf terhadap si fulan ini, memakan harta si fulan ini (secara batil), menumpahkan darah si fulan ini, memukul si fulan ini, maka (diambil) sebahagian daripada kebaikannya lalu diberikan kepada si fulan ini, dan diberikan (pula) kepada si fulan yang lain. Jika habis semua kebaikannya sebelum melangsaikan hutangnya, lalu diambil sebahagian daripada dosa mereka (yang menuntut) kemudian dosa itu dilemparkan ke atasnya, kemudian dia pula dilemparkan ke dalam api neraka"
(Hadis Riwayat Muslim)
Masih terdapat tanggapan yang salah terhadap hukum faraidh dengan menganggap ianya tidak adil apabila dalam keadaan tertentu, kaum lelaki mewarisi harta pusaka dengan jumlah yang lebih banyak daripada kaum wanita. Sedarlah kita bahawa sesungguhnya kadar pembahagian harta pusaka adalah ketetapan daripada Allah. Janganlah timbul sedikit pun dalam diri kita rasa tidak adil pada ketetapan tersebut.
Kesimpulan, marilah kita sama-sama berusaha memastikan pengurusan harta pusaka dilaksanakan dengan penuh ketelusan dan menepati hukum-hakam berkaitannnya, mudah-mudahan dengan demikian, hak-hak setiap ahli waris tetap terjaga, begitu juga hak-hak hukum Allah dipelihara dengan sebaiknya.
Hayatilah firman Allah SWT dalam surah An-Nisa' ayat 11 :
مِنۢ بَعْدِ وَصِيَّةٍۢ يُوصِى بِهَآ أَوْ دَيْنٍ ۗ ءَابَآؤُكُمْ وَأَبْنَآؤُكُمْ لَا تَدْرُونَ أَيُّهُمْ أَقْرَبُ لَكُمْ نَفْعًۭا ۚ فَرِيضَةًۭ مِّنَ ٱللَّهِ ۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ عَلِيمًا حَكِيمًۭا
"(Pembahagian itu) ialah sesudah diselesaikan wasiat yang telah diwasiatkan oleh si mati, dan sesudah dibayarkan hutangnya. lbu-bapa kamu dan anak-anak kamu, kamu tidak mengetahui siapa di antaranya yang lebih dekat serta banyak manfaatnya kepada kamu (Pembahagian harta pusaka dan penentuan bahagian masing-masing seperti yang diterangkan itu ialah) ketetapan dari Allah; sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.".