Firman Allah SWT dalam Surah Al-Anbiya ayat 92 :
إِنَّ هَـٰذِهِۦٓ أُمَّتُكُمْ أُمَّةًۭ وَٰحِدَةًۭ وَأَنَا۠ رَبُّكُمْ فَٱعْبُدُونِ ٩٢
"Sesungguhnya ini adalah umat kamu umat yang satu, dan Aku adalah tuhan kamu maka beribadahlah (kepada-Ku)"
Ibnu 'Abbas R.A ketika menafsirkan ayat ini berkata ; "Agama kamu adalah agama yang satu".
Imam Hasan al-Basri RH pula berkata, maksud ayat ini adalah; "Sunnah kamu adalah sunnah yang satu".
Syeikh Abd al-Rahman al-Sa'di RH pula menafsirkan ayat tersebut dengan katanya; "Kesemua mereka (iaitu para Rasul yang diutuskan oleh Allah) berada di atas agama yang satu, jalan yang satu, serta Tuhan yang satu".
Pada ayat yang lain Allah SWT berfirman dalam Surah Ali Imran ayat 103 :
وَٱعْتَصِمُوا۟ بِحَبْلِ ٱللَّهِ جَمِيعًۭا وَلَا تَفَرَّقُوا۟ ۚ
"Dan berpegang teguhlah kamu semuanya dengan tali Allah (agamanya) dan janganlah kamu berpecah belah"
Imam Al-Qurtubi RH ketika menafsirkan ayat ini beliau menyebut bahawa ; "Iaitu janganlah kamu berpecah belah di dalam agama kamu sepertimana berpecahnya golongan Yahudi dan Nasrani dalam agama mereka". Tambahnya lagi ; "Boleh juga ia membawa erti, janganlah kamu berpecah belah dengan mengikut hawa nafsu dan kehendak-kehendak yang berbeza, dan jadilah kamu semua bersaudara di dalam agama Allah. Maka yang demikian itu akan menghalang kamu dari berpecah belah dan saling bermusuh-musuhan".
Pertelingkahan ataupun perpecahan sudah pasti akan membawa kepada kelemahan, akan menyebabkan kekalahan dan akhirnya akan mengakibatkan kehinaan. Antara usaha yang mula-mula dilakukan oleh baginda Nabi SAW setelah baginda berhijrah ke Madinah adalah mempersaudarakan antara Muhajirin dan Ansar, menyatupadukan antara Aus dan Khazraj. Kesemua mereka berjaya disatupadukan hati-hati oleh baginda Nabi SAW atas satu kalimah, iaitulah ;
لَا إِلَٰهَ إِلَّا ٱللَّٰهُ مُحَمَّدٌ رَسُولُ ٱللَّٰهِ
Disebabkan bersatunya hati-hati umat Islam selepas peristiwa hijrah, maka Madinah yang dahulunya dimonopoli oleh Yahudi Madinah, namun kemudiannya dikuasai oleh Islam dan para sahabat. Baik dari sudut politik, ekonomi, mahupun dari sudut sosial. Kesemuanya diterajui oleh Islam. Akhirnya mahu tidak mahu, Yahudi Madinah terpaksa tunduk dan patuh di bawah kerajaan pemerintahan baginda Nabi SAW.
Apabila bibit-bibit pertelingkahan dan perpecahan mula timbul di dalam sesebuah masyarakat atau umat, maka ketahuilah bahawa, masyarakat atau umat tersebut sebenarnya sedang berdepan dengan malapetaka yang besar yang akan membawa kepada kehancuran dan kehinaan.
Melihat kepada senario perpecahan umat yang berlaku di dunia umumnya, dan di negara kita khususnya pada hari ini, maka menjadi kewajipan bagi kita semua untuk mencari jalan penyelesaian yang paling berkesan dengan sesegera mungkin supaya umat Islam dan agama Islam kembali bersatupadu dan berpegang teguh kepada tali persaudaraan. Ini adalah tindakan yang amat penting yang perlu diambil jika sekiranya kita tidak mahu dikuasai oleh musuh-musuh kita.
Hari ini, media-media sosial menjadi platform atau gelanggang perbalahan dan pertelingkahan samada di kalangan ahli-ahli politik, orang-orang awam, dan yang menyedihkan lagi ialah apabila golongan agamawan juga turut sama terlibat dengan perbalahan dan pertelingkahan sesama sendiri di media-media sosial. Lebih memilukan lagi ialah isu-isu yang diperbalahkan adalah berkaitan isu-isu khilafiah yang langsung tidak patut dipertengkarkan dan diperdebatkan. Banyak isu-isu lain yang lebih penting yang melibatkan kepentingan dan masa depan Agama Islam yang sepatutnya diberi perhatian oleh ahli-ahli agama. Namun sayang seribu kali sayang, isu-isu khilafiah jugalah yang menjadi topik perbalahan dan pertengkaran yang tidak berkesudahan sehingga membawa kepada perpecahan dan berpuak-puak di kalangan masyarakat kita. Ini adalah malapetaka yang sepatutnya dihentikan oleh para agamawan.
Musuh-musuh Islam sebenarnya tidaklah kuat, sebab itulah mereka perlu terlebih dahulu melemahkan kita disebabkan kekuatan sebenarnya ada pada kita. Cara terbaik untuk melemahkan Islam ialah dengan memecahbelahkan kesatuan hati umatnya. Maka diciptakanlah atau dicetuskanlah isu-isu yang remeh-temeh supaya kita semua terus berpecah-belah, terus berbalah, terus bertelingkah sehingga tidak berkesudahan. Hari ini kita melihat sememangnya perbalahan dan pertelingkahan berlaku antara sesama kita sehingga tidak ada penyudahnya. Masing-masing merasakan diri mereka sahaja yang betul dan orang lain semuanya adalah salah.
Islam merupakan agama yang menentang segala perkara yang membawa kepada perbalahan dan perpecahan. Ini kerana, Islam amat menitikberatkan perpaduan dan kesatuan dalam kalangan umatnya.
Ingatlah bahawa, golongan yang akan terselamat adalah golongan yang berpegang teguh dengan Al-Quran, Sunnah Nabi SAW, dan golongan yang mengikuti jejak langkah para sahabat Nabi SAW. Baginda Nabi SAW sendiri mengakui bahawa kurun yang terbaik adalah tiga kurun yang pertama dan ianya termasuklah kurun para sahabat Nabi SAW.
Baginda Nabi SAW juga pernah mengingatkan bahawa punca kemusnahan sesuatu kaum atau umat-umat yang terdahulu adalah disebabkan mereka banyak bertanya dan berselisih dengan para Nabi yang diutuskan kepada mereka. Sabda Nabi SAW yang bermaksud :
"Sesungguhnya yang menyebabkan orang-orang terdahulu binasa adalah kerana banyak pertanyaan dan perselisihan mereka terhadap nabi-nabi mereka".
(Riwayat al-Bukhari)
Semoga Allah SWT menggolongkan kita dalam kalangan umat Nabi Muhammad SAW yang berpegang teguh pada Al-Quran dan Al-Sunnah serta terselamat daripada segala bentuk perpecahan dan perselisihan.
Kembalilah kita semua bersatu hati wahai saudara-saudaraku sekalian. Binalah kembali kekuatan kita. Suburkan kembali rasa kasih dan sayang sesama kita. Jangan sekali-kali kita biarkan musuh-musuh kita bertepuk tangan, bersorak gembira atas perpecahan dan perbalahan kita sesama kita. Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.