recent
Terkini | تركيني

Kemuliaan Dan Kelebihan Bulan Rejab

Laman utama

Bulan Rejab merupakan salah satu daripada empat bulan haram atau bulan yang dihormati dan dimuliakan pada pandangan Islam. Bulan-Bulan Haram itu ialah Bulan Zulkaedah, Zulhijah, Muharram dan Rejab. Allah Subhanahu wa-Ta’ala berfirman dalam surah al-Taubah ayat 36 :

إِنَّ عِدَّةَ ٱلشُّهُورِ عِندَ ٱللَّهِ ٱثْنَا عَشَرَ شَهْرًۭا فِى كِتَـٰبِ ٱللَّهِ يَوْمَ خَلَقَ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضَ مِنْهَآ أَرْبَعَةٌ حُرُمٌۭ ۚ ذَٰلِكَ ٱلدِّينُ ٱلْقَيِّمُ ۚ فَلَا تَظْلِمُوا۟ فِيهِنَّ أَنفُسَكُمْ ۚ وَقَـٰتِلُوا۟ ٱلْمُشْرِكِينَ كَآفَّةًۭ كَمَا يُقَـٰتِلُونَكُمْ كَآفَّةًۭ ۚ وَٱعْلَمُوٓا۟ أَنَّ ٱللَّهَ مَعَ ٱلْمُتَّقِينَ ٣٦

"Sesungguhnya bilangan bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan (yang telah ditetapkan) dalam kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi termasuk antaranya empat bulan yang dihormati. Itulah ketetapan agama yang lurus maka janganlah kamu menzalimi diri kamu dalam bulan yang dihormati itu (dengan melanggar larangan-Nya) dan perangilah kaum kafir musyrik semuanya sebagaimana mereka memerangi kamu semua. Dan ketahuilah bahawa Allah bersama-sama orang yang bertakwa"

Rejab daripada segi bahasa bermaksud menghormati dan memuliakan. Masyarakat Arab Jahiliyyah sangat menghormati dan memuliakan bulan-bulan haram sehingga mereka tidak membenarkan untuk berperang pada bulan-bulan ini. Imam Ibnu Kathir dalam tafsirnya menyatakan bahawa amal soleh yang dilakukan pada bulan ini pahalanya adalah lebih berganda berbanding bulan-bulan yang lain. Demikian jugalah jika dilakukan kezaliman dan kemungkaran dosanya adalah lebih besar. Bersempena juga dengan sambutan tahun baharu 2025 adalah serentak dengan kedatangan bulan Rejab, marilah kita membuka lembaran tahun baharu 2025 dengan memburu kelebihan dan keberkatan yang ada pada bulan Rejab ini.

Bulan Rejab adalah antara bulan-bulan Haram yang digalakkan berpuasa. Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam pernah menyatakan kepada seorang sahabat yang ingin berpuasa sunat agar melaksanakannya pada bulan-bulan Haram melalui hadis yang diriwayatkan oleh Imam Abu Daud yang bermaksud :

"...Berpuasalah sebahagian daripada bulan-bulan haram dan tinggalkanlah, berpuasalah sebahagian daripada bulan-bulan haram dan tinggalkanlah. berpuasalah sebahagian daripada bulan-bulan haram dan tinggalkanlah. Baginda mengisyaratkan dengan jarinya yang tiga kemudian Baginda menggenggamnya, kemudian melepaskannya"

Menurut pendapat ulama-ulama dalam Mazhab Shafie antaranya Imam Ibn al-Solah berkata : "Hadis mengenai kelebihan puasa secara umum dan hadis-hadis mengenai galakan berpuasa pada bulan-bulan haram (Zulkaedah, Zulhijah, Muharram dan Rejab) sudah cukup untuk menggalakkan berpuasa pada bulan Rejab".

Syeikh Athiyyah Saqar dalam kitabnya Ahsanul Kalam berpendapat bahawa berpuasa penuh pada bulan Rejab, Sya’ban dan Ramadan tidak ada dalil yang menghalangnya. Begitu juga Sheikh Wahbah al-Zuhaili mengatakan bahawa puasa tiga bulan berturut-turut itu diamalkan oleh para solehin dan ia tidak bercanggah selagimana seseorang itu mampu untuk melakukannya dengan tidak beri’tiqad bahawa ia adalah sunnah dan tidak memudaratkan seseorang sehingga tidak mampu berpuasa penuh pada bulan Ramadan.

Antara kelebihan bulan Rejab juga ialah, malam pertama pada bulan ini adalah malam yang dimustajabkan doa. Imam as-Syafie menyatakan dalam kitab al-Umm : "Sesungguhnya doa dikabulkan pada lima malam : Malam Jumaat, malam Hari Raya Idul Adha, malam hari raya Idul Fitri, malam pertama bulan Rejab dan malam Nisfu Sya'ban".

Seorang ahli Sufi Abu Bakar al-Warraq mengatakan : "Bulan Rejab adalah bulan menanam, bulan Sya’ban adalah bulan menyiram dan bulan Ramadan adalah bulan menuai".

Berdasarkan beberapa dalil yang telah dinyatakan, adalah jelas tidak ada larangan secara mutlak untuk dilakukan amalan tertentu pada bulan Rejab, demikian juga tidak ada perintah secara mutlak untuk dilakukan amalan tertentu dalam bulan Rejab. Namun untuk merebut kelebihan bulan haram, marilah kita menambahkan amalan kebajikan pada bulan ini.

Dalam bulan Rejab berlakunya beberapa peristiwa bersejarah kepada umat Islam antaranya ialah peristiwa Israk dan Mikraj. Di kemuncak peristiwa inilah Allah Subhanahu Wa ta'ala telah memfardhukan solat lima waktu kepada umat Islam. Pada bulan Rejab juga berlakunya hijrah pertama ke Habsyah, Perang Tabuk, perpindahan arah kiblat daripada Masjidil Aqsa ke Masjidil Haram, kelahiran Imam As-Syafie dan juga pembebasan Baitul Maqdis daripada tangan Tentera Salib. Justeru itu, marilah kita mengambil peluang menghayati sejarah Islam yang berlaku pada bulan yang mulia ini.

Kesimpulannya, marilah kita

  1. Menghayati hikmah kemuliaan dan kelebihan yang ada dalam bulan Rejab sebagai salah satu bulan haram.
  2. Galakkan berpuasa di bulan Rejab namun boleh juga ditambah dengan amalan-amalan sunat yang lain seperti berdoa, qiamullail, membaca al-Quran, mendirikan solat-solat sunat, berzikir, beristighfar, berselawat, menyantuni golongan yang memerlukan bantuan dan lain-lain.
  3. Menghayati peristiwa sejarah Islam yang berlaku pada bulan ini untuk kita jadikan ia sebagai panduan dan tauladan dalam kehidupan kita.
  4. Seseorang itu boleh melakukan apa jua amal ibadah yang disyariatkan dengan tidak berpegang bahawa ia diperintahkan secara khusus untuk dilakukan pada bulan Rejab. Semua amalan yang dilakukan hanyalah untuk mendapatkan keredhaan Allah ta'ala.

google-playkhamsatmostaqltradent