recent
Terkini | تركيني

Tahun Baharu Di Manakah Kita?

Laman utama

Kini kita berada di awal tahun 2025 dengan meninggalkan pelbagai kisah suka duka, pahit manis dalam diari kehidupan kita sepanjang tahun 2024. Ada yang mengganggap peralihan tahun ini merupakan satu peristiwa yang penting dan bermakna dalam sejarah hidup mereka. Justeru, dalam kebanyakkan keadaan, ia meninggalkan kesan yang mendalam kepada diri setiap manusia. Kesan tersebut ialah sama ada yang mengenai aspek pembangunan nilai positif atau aspek pembersihan unsur negatif dalam diri seseorang. Dalam konteks pembangunan nilai positif, ia akan membawa individu dalam meningkatkan kualiti dan kuantiti bekalan akhirat, manakala pembersihan unsur negatif pula membawa kepada perasaan insaf dan membersihkan diri daripada dosa dan maksiat kepada Allah SWT.

Allah SWT menjelaskan di dalam surah Ali Imran, ayat 140 :

 وَتِلْكَ ٱلْأَيَّامُ نُدَاوِلُهَا بَيْنَ ٱلنَّاسِ وَلِيَعْلَمَ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَيَتَّخِذَ مِنكُمْ شُهَدَآءَ ۗ وَٱللَّهُ لَا يُحِبُّ ٱلظَّـٰلِمِينَ ١٤٠

"Dan demikian itulah keadaan hari-hari (dunia ini dengan peristiwa-peristiwa kemenangan atau kekalahan), kami gilirkan dia antara sesama manusia, (supaya menjadi pengajaran) dan supaya nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang tetap beriman (dan yang sebaliknya), dan juga supaya Allah menjadikan sebahagian di antara kamu orang-orang yang mati Syahid. Dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada orang-orang yang zalim"

Berdasarkan ayat ini, Islam amat menggalakkan agar umatnya melakukan muhasabah diri mengenai perbekalan menuju akhirat dan berusaha untuk memperbaiki diri dan mempertingkatkan amalan selagi mana di beri kesempatan oleh Allah SWT. Ini merupakan langkah ke arah meningkatkan kualiti diri menjadi umat yang terbaik.

Bersempena tahun baharu ini, beberapa panduan bagaimana untuk memulakan perubahan dalam diri agar azam yang ditetapkan dapat dicapai dengan berkesan untuk diambil tindakan.

PERTAMA : MUHASABAH DIRI

Kita hendaklah menilai sejauh mana pencapaian dan tanggungjawab diri kita terhadap Allah SWT. Adakah meningkat atau menurun prestasi amalan, kualiti keimanan dan ketakwaan kita kepada-Nya. Allah SWT mengingatkan kita melalui Firman-Nya dalam surah al-Hasyr ayat 18 :

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ وَلْتَنظُرْ نَفْسٌۭ مَّا قَدَّمَتْ لِغَدٍۢ ۖ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ خَبِيرٌۢ بِمَا تَعْمَلُونَ ١٨

"Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya); Dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang ia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari akhirat). Dan (sekali lagi diingatkan): Bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Amat Meliputi Pengetahuan-Nya akan segala yang kamu kerjakan"

KEDUA : BERAZAM DAN BERILTIZAM

Kita perlulah meletakkan azam pada tahun baharu ini untuk menambah baik kehidupan setiap masa semata-mata kerana Allah SWT. Sebagai individu muslim, marilah kita berazam untuk meraih seberapa banyak ganjaran dan keredhaan Allah SWT. Adakah kualiti solat fardhu dan sunat kita meningkat? Adakah kita banyak melakukan infaq, sedekah dan wakaf? Adakah kita berbuat baik sesama manusia? Adakah kita sentiasa solat berjemaah di masjid atau di surau? Adakah kita istiqamah hadir ke majlis-majlis ilmu? Adakah kita telah meninggalkan segala bentuk maksiat dan larangan Allah?

Tanamkanlah azam yang baik dan beriltizam melaksanakan ketaatan semata-mata kerana Allah dan mencari keredhaan-Nya untuk mencapai kejayaan di dunia dan di akhirat.

KETIGA : PERANCANGAN

Setiap azam yang telah ditetapkan, hendaklah disusuli dengan perancangan yang teratur termasuk strategi atau pendekatan yang digunakan serta sumber untuk menggerakkannya supaya memberi impak yang terbaik. Setiap perancangan yang dilaksanakan itu, hendaklah menepati syariat Allah SWT.

Hadis daripada Abdullah bin Amru RA bahawasanya Rasulullah SAW bersabda yang mafhumnya :

"Tidaklah beriman salah seorang dari kalian sehingga hawa nafsunya mengikuti apa yang telah aku bawa"

(HR Riwayat al-Baihaqi)

Kita hendaklah mengikut perancangan yang telah dirancang dengan penuh disiplin serta perlu bermujahadah melawan nafsu agar perancangan kita berjaya mengikut syariat Allah SWT.

KEEMPAT : PELAKSANAAN

Sesuatu perkara yang telah dirancang hendaklah dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh sehingga kita berjaya mencapai cita-cita atau azam yang telah ditetapkan. Islam memandang berat kepada umatnya yang tidak melaksanakan apa yang diperkatakannya.

Firman Allah SWT dalam surah As-soff ayat 2 hingga 3 :

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ لِمَ تَقُولُونَ مَا لَا تَفْعَلُونَ ٢ كَبُرَ مَقْتًا عِندَ ٱللَّهِ أَن تَقُولُوا۟ مَا لَا تَفْعَلُونَ ٣

"Wahai orang-orang yang beriman! mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya! Amat besar kebenciannya di sisi Allah. kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya"

Setelah kita berazam dan merancang, tidak sepatutnya kita bertangguh melaksanakan sesuatu perkara yang membawa kepada kebaikan seperti solat, taubat, sedekah dan urusan-urusan harian. Ini kerana kita tidak mengetahui apa yang akan berlaku sesaat di hadapan kita.

KELIMA : ISTIQAMAH

Untuk mengekalkan sesuatu yang telah kita miliki, pasti akan mendepani pelbagai cabaran. Justeru, kita hendaklah sentiasa istiqamah dalam melaksanakan ketaatan kepada perintah Allah serta kesabaran dalam meninggalkan larangan-Nya. Sentiasalah berdoa semoga kita akan terus istiqamah terhadap perubahan ke arah kebaikan dan sentiasa memperolehi petunjuk Allah SWT.

Sebuah hadis daripada Abu Amru RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

"Aku pernah bertanya: Wahai Rasulullah, katakan kepadaku satu perkataan dalam Islam yang aku tidak akan bertanya lagi kepada orang lain selain Engkau. Nabi SAW menjawab : katakanlah aku telah beriman kepada Allah dan kemudian istiqamalah"

google-playkhamsatmostaqltradent