recent
Terkini | تركيني

Sihat Itu Nikmat

Laman utama

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kesihatan ialah satu tahap atau keadaan di mana seseorang individu itu mempunyai kesejahteraan yang sempurna dari segi ­fizikal, mental dan sosial dan bukan semata-mata bebas dari penyakit atau tidak berdaya.

Islam memberi perhatian yang besar terhadap penjagaan kesihatan kerana tubuh badan adalah amanah daripada Allah SWT. Dalam Islam, kesihatan bukan sahaja merujuk kepada kesihatan fizikal, tetapi juga kepada kesejahteraan mental dan rohani.

Ungkapan "sihat itu nikmat" bermaksud kesihatan adalah nikmat yang sangat berharga dan tidak dapat dibeli dengan wang. Ia juga menggambarkan betapa pentingnya menjaga kesihatan, kerana apabila seseorang kehilangan nikmat kesihatan, segala kekayaan, kuasa, dan harta benda yang dimiliki tidak dapat mengembalikan kesihatan tersebut.

Wang dan harta benda sememangnya boleh membeli banyak perkara, tetapi kesihatan yang baik adalah sesuatu yang sukar untuk diperoleh kembali apabila kita kehilangannya. Apabila seseorang jatuh sakit, bahkan dengan segala kekayaan dan kemewahan yang dimiliki, ia tidak dapat mengembalikan kesihatan seperti sediakala. Ramai di kalangan kita yang mengambil ringan akan nikmat sihat ini.

Rasulullah SAW mengingatkan bahawa terdapat dua nikmat yang sering diabaikan manusia melalui riwayat daripada Abdullah bin Abbas RA dia berkata yang bermaksud :

"Ada dua nikmat yang banyak manusia tertipu dengannya, iaitu kesihatan dan waktu lapang"

(Riwayat al-Bukhari)

Apabila seseorang menghadapi masalah kesihatan yang serius, ia mungkin memerlukan kos perubatan yang tinggi dan memakan masa yang lama untuk pulih. Kesihatan yang terganggu juga boleh memberi kesan kepada kualiti hidup seseorang keupayaan untuk bekerja, beraktiviti, dan beribadah bahkan kesan jangka panjangnya mengakibatkan kemerosotan kesihatan yang boleh memberi beban terhadap fizikal, emosi, dan kewangan.

Islam juga amat memberi penekanan terhadap kesihatan mental dan rohani serta menganjurkan kita untuk menjaga hati dan fikiran daripada kebimbangan yang melampau, kemarahan yang tidak terkawal sehingga mengakibatkan tekanan perasaan.

Bahkan di sana terdapat istilah kesihatan sosial, iaitu kesejahteraan individu dalam konteks hubungan sosial dan interaksi mereka dengan masyarakat, keluarga, dan persekitaran sosial mereka.

Gaya hidup sihat Rasulullah SAW adalah contoh terbaik bagi umat Islam dalam aspek kesihatan. Baginda bukan sahaja menjaga tubuh badan dengan amalan yang menyihatkan, malah mengamalkan cara hidup yang seimbang, sederhana dan penuh dengan keberkatan. Di antara sunnah baginda SAW dalam penjagaan kesihatan yang wajar di turuti oleh umat Islam adalah :

Pertama : Makan dengan Sederhana. Rasulullah SAW mengajarkan umat Islam untuk makan dengan sederhana dan menghindari makan berlebihan. Baginda bersabda yang bermakasud :

"Tiada ruang yang manusia isi yang lebih buruk daripada perut. Cukuplah bagi anak Adam memakan beberapa suapan untuk menegakkan tulang sulbinya. Namun, jika dia tidak dapat mengelaknya, maka hendaklah dia membahagikan sepertiga perutnya (diisi) untuk makanan, sepertiga untuk minuman, dan sepertiga lagi untuk nafasnya"

(HR At-Tirmizi)

Kedua : Bersenam dan Mengutamakan Kebersihan. Rasulullah SAW mengamalkan aktiviti fizikal dalam kehidupan harian. Baginda suka berjalan kaki, berkuda, dan memanah. Aktiviti ini tidak hanya bermanfaat untuk tubuh tetapi juga melatih ketahanan mental dan fizikal. Tidak perlu begitu lama, memadai dengan meluangkan masa sekitar 30 minit sehari 3 kali seminggu untuk kekal cergas. Selain itu, kesihatan juga berkait rapat dengan kebersihan. Islam menganjurkan umatnya supaya sentiasa menjaga kebersihan diri, pakaian dan persekitaran.

Firman Allah SWT di dalam surah Al-Muddthir, ayat 4 :

وَثِيَابَكَ فَطَهِّرْ ٤

"Dan pakaianmu,maka hendaklah engkau bersihkan"

Ketiga : Tidur yang Teratur dan Rehat dengan Secukupnya. Rasulullah SAW tidur dengan teratur, tidur awal pada waktu malam. Pemakanan yang seimbang dan rehat yang mencukupi penting untuk mendapatkan tidur yang berkualiti sekaligus menghsilkan kesejahteraan dalam kehidupan.

Dari sudut kesihatan, seorang dewasa perlu tidur antara tujuh hingga sembilan jam sehari. Namun, kebelakangan ini ramai yang kurang tidurnya atas pelbagai faktor. Usah dikorbankan nikmat tidur demi sesuatu yang sia-sia. Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Qasas ayat 73 :

وَمِن رَّحْمَتِهِۦ جَعَلَ لَكُمُ ٱلَّيْلَ وَٱلنَّهَارَ لِتَسْكُنُوا۟ فِيهِ وَلِتَبْتَغُوا۟ مِن فَضْلِهِۦ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ ٧٣

"Dan kerana rahmatNya, Dia jadikan untukmu malam dan siang, supaya kamu beristirehat pada malam itu dan supaya kamu mencari sebahagian dari kurniaNya (pada siang hari) dan supaya kamu bersyukur"

Dalam aspek kesihatan minda pula Rasulullah SAW sangat menekankan pentingnya berzikir dan berdoa untuk menjaga ketenangan hati dan mengatasi tekanan hidup. Zikir dan doa membantu menenangkan jiwa dan mengurangkan tekanan. Tekanan akan menjadikan seseorang sentiasa mempunyai perasaan marah yang bukan sahaja menjejaskan kesihatan fizikal malahan turut berkait dengan kesihatan mental. Baginda bersabda yang bermaksud :

"Orang yang kuat bukanlah yang mampu memukul, tetapi orang yang kuat adalah orang yang dapat mengawal dirinya ketika marah."

(Hadis Riwayat al-Bukhari)

Oleh itu, Marilah kita semua, sama-sama berazam untuk menjaga kesihatan, baik dari segi fizikal mental mahupun kesihatan sosial. Dengan tubuh yang sihat, kita mampu melaksanakan tanggungjawab sebagai hamba Allah, suami, isteri, ibu bapa, serta anggota masyarakat yang bertanggungjawab.

Allah SWT mengurniakan kesihatan bukanlah untuk disia-siakan, tetapi untuk dinikmati dengan sebaiknya dalam kebaikan dan amal soleh. Setiap hari adalah peluang untuk kita sedar dan insaf lantas meningkatkan ketaatan dan beramal soleh, dan kita harus bersyukur dengan nikmat kesihatan yang masih dimiliki ini. Semoga semua di kalangan kita mengamalkan gaya hidup yang berkualiti dan menikmati sihat sepanjang hayat.

google-playkhamsatmostaqltradent