Masa adalah salah satu nikmat yang mahal nilainya dalam kehidupan kita dan ia berlalu dengan begitu pantas tanpa kita sedari. Masa yang sedang kita lalui ini boleh diumpamakan sebagai modal dalam perniagaan. Andainya seseorang peniaga yang mempunyai modal yang banyak, tetapi tidak tahu untuk menggunakannya, maka ia akan membuat dirinya sendiri yang rugi.
Begitu juga bagi seseorang mukmin yang dikurniakan masa dan waktu, jika tidak tahu menguruskan masa dengan sempurna, nescaya dia akan tergolong dalam kalangan orang yang rugi. Firman Allah dalam surah al-Asr ayat 1 hingga 3 :
وَٱلْعَصْرِ ١ إِنَّ ٱلْإِنسَـٰنَ لَفِى خُسْرٍ ٢ إِلَّا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَعَمِلُوا۟ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ وَتَوَاصَوْا۟ بِٱلْحَقِّ وَتَوَاصَوْا۟ بِٱلصَّبْرِ ٣
"Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar"
Dalam kehidupan hari ini, masing-masing sibuk dengan berbagai aktiviti sehingga adakalanya terlupa dan terlalai dengan matlamat kehidupan iaitu beribadah kepada Allah SWT. Sesibuk manapun kita di siang hari dengan tugasan dan tanggungjawab mencari nafkah, tetapi pada malam hari paling tidak, kita "mewakafkan" masa seketika antara maghrib dan isyak untuk ke masjid.
Kehidupan kita di dunia ini sangatlah singkat. Imam Ibn Hajar al-Asqalani menukilkan beberapa pandangan dalam memahami makna masa berlalu dengan singkat ini seperti pendeknya umur, pendeknya malam dan siang sehinggakan setahun dirasa seperti sebulan, sebulan dirasa seperti seminggu, sedar tak sedar tahun 2024 telah pun melabuhkan tirainya baru-baru ini.
Pernahkah kita menghadapi masalah masa yang tidak mencukupi? Masa yang diberikan kepada semua manusia sama saja iaitu 24 jam sehari. Untuk menjadi manusia yang hebat, kita haruslah menguruskan masa dengan baik. Dr. Yusuf al-Qardhawi dalam kitabnya Al-Waqtu Fi Hayatil Muslim telah menggariskan empat ciri masa. Pertama, masa itu pantas berlari. Kedua, masa yang pergi tidak akan kembali. Ketiga, masa yang berlalu tidak boleh ditukar ganti dan yang keempat, masa merupakan harta yang paling berharga. Ciri-ciri tersebut menjelaskan tentang kepentingan masa dalam kehidupan umat Islam demi menggapai segala impian dan matlamat yang kita inginkan.
Sewajarnya setiap mukmin menggunakan anugerah waktu yang dimiliki dengan membangunkan diri melalui perbuatan yang akan membawanya menghuni syurga Allah SWT. Ini kerana jika di dunia ini waktu dihabiskan dengan perkara yang sia-sia, sudah pasti akan menyesal selama-lamanya. Al-Quran menyingkap perkara ini dalam surah al-Munafiqun, ayat 9 :
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ لَا تُلْهِكُمْ أَمْوَٰلُكُمْ وَلَآ أَوْلَـٰدُكُمْ عَن ذِكْرِ ٱللَّهِ ۚ وَمَن يَفْعَلْ ذَٰلِكَ فَأُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلْخَـٰسِرُونَ ٩
"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu dilalaikan oleh (urusan) harta benda kamu dan anak-pinak kamu daripada mengingati Allah (dengan menjalankan perintahNya). Dan (ingatlah), sesiapa yang melakukan demikian, maka mereka itulah orang-orang yang rugi"
Pada minggu hadapan cuti persekolahan bakal menjelang tiba. Bagi murid serta pelajar terutamanya, kehadiran cuti sekolah pada penghujung penggal selama lebih sebulan ini adalah waktu yang amat dinanti-nantikan. Pastinya pelbagai aktiviti dirancang sebelum cuti persekolahan bermula lagi. Ibu bapa perlu bijak mengawal pergerakan anak supaya mereka tidak bersendirian dan tidak terjebak dengan gejala tidak bermoral. Peranan ibu bapa ini disebut dalam satu hadis riwayat Bukhari dan Muslim yang bermaksud :
"Setiap anak yang dilahirkan itu adalah umpama kain putih (fitrah), ibu bapalah yang bertanggungjawab mewarnakan dan mencorakkannya sama ada menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi"
Hadis ini memberi maksud anak memerlukan bimbingan, panduan dan nasihat daripada ibu bapa dalam melakukan aktiviti seharian. Antara aktiviti yang boleh diisi sewaktu cuti sekolah adalah seperti mengulang kaji pelajaran, mendalami ilmu agama, menziarahi keluarga di kampung, melakukan tugasan di rumah agar melatih mereka berdikari serta melakukan aktiviti yang dirasakan sesuai dengan perkembangan usia dan fizikal mereka. Janganlah anak dibiarkan tanpa kawalan kerana ketika usia inilah adalah masa yang terbaik buat mereka.
Mereka yang tidak melakukan amal kebaikan pasti akan menyesal dalam kehidupannya. Kekesalan atas setiap kesilapan di dunia ini masih ada waktu untuk memperbaikinya tetapi menyesal di akhirat tidak ada peluang kedua untuk menebusnya. Bagi memastikan masa kita diurus dengan baik dan tersusun, mimbar ingin menyarankan kepada semua agar melakukan perkara-perkara seperti berikut :
Pertama : Bersegeralah dalam beramal, usahlah bertangguh sehingga masanya habis dengan perkara yang sia-sia. Budayakan sifat Fastabiqul Khairat iaitu berlumba-lumba melakukan kebaikan.
Kedua : Merancang dan mengisi jadual harian dengan perkara berfaedah. Jangan biarkan masa berlalu tanpa sebarang jadual yang dirancang. Imam al-Syafi'i menyebut; "Jiwa kamu jika kamu tidak sibukkan dengan ketaatan nescaya ia akan disibukkan dengan kebatilan".
Ketiga : Jangan bertangguh dengan sesuatu urusan kerana pepatah ada menyebut "bertangguh itu pencuri masa" seperti sabda baginda SAW kepada Ibn Umar RA, Rasulullah SAW memegang dua bahuku seraya bersabda yang bermaksud :
"Jadilah kamu di dunia seperti orang asing atau orang musafir. Dan adalah Ibn Umar RA berkata : Jika kamu berada di waktu petang, jangan kamu tunggu sehingga waktu pagi. Jika kamu berada di waktu pagi, jangan kamu tunggu sehingga waktu petang. Ambillah dari waktu sihatmu (bagi persediaan) untuk waktu sakitmu dan ambillah dari waktu hayatmu (bagi persediaan) untuk waktu matimu"
(HR al-Bukhari)
Keempat : Jangan hanya menunggu masa lapang baru hendak beribadah, tetapi lapangkanlah masa untuk beribadah. Hidup ini untuk beribadah kepada Allah SWT, kerana itu jangan jadikan ibadah sebagai kerja sampingan. Baginda Rasulullah SAW telah mengajarkan kepada kita melalui sabdanya yang bermaksud :
"Manusia terbaik adalah orang yang berusia panjang dan baik amalannya"
(HR At-Tirmizi)
Umur yang mendapat keberkatan, dalam waktu yang singkat ia akan memperoleh banyak anugerah dan dialah yang sebenar-benarnya memperolehi keuntungan. Justeru, buatlah sebanyak mungkin kebaikan sesama manusia dan ibadat yang seikhlasnya kepada Allah kerana inilah saham yang akan menentukan tempat seseorang mukmin di akhirat kelak.