recent
Terkini | تركيني

Syaaban Jalan Menuju Ramadhan

Laman utama

Bulan Rejab tahun 1446 Hijri telah pun berlalu pergi meninggalkan kita. Hari ini kita sudah pun berada di pertengahan bulan Syaaban tahun 1446 Hijri. Kedatangan Ramadhan semakin dekat kita rasai dan Syaaban juga akan berlalu pergi meninggalkan kita tidak berapa lama lagi. Syaaban memiliki keistimewaan dan kelebihannya yang tersendiri yang tidak dimiliki oleh bulan-bulan yang lain.

Daripada Usamah bin Zaid RA, beliau berkata :

"Ya Rasulullah, aku tidak pernah melihat engkau berpuasa dalam satu bulan sebagaimana engkau berpuasa di dalam bulan Syaaban". Lalu baginda Nabi SAW bersabda yang bermaksud : "Itu adalah bulan yang mana manusia sering lalai akannya iaitu bulan yang berada di antara Rejab dan Ramadhan (yakni bulan Syaaban). Bulan tersebut adalah bulan yang diangkat amalan-amalan kepada Rabbul 'Alamin (Allah SWT), maka aku suka ketika amalanku diangkat kepada Allah, aku sedang dalam keadaan berpuasa"

[Hadis Riwayat al-Nasa’ie]

Berkata Ibnu al-Qayyim Rahimahullah :

"Amalan yang kita lakukan akan diangkat dan dibentangkan kepada Allah SWT. Amalan tahunan akan diangkat pada bulan Syaaban sebagaimana dikhabarkan oleh Baginda Nabi SAW, dan amalan mingguan kita pula akan diangkat pada hari Isnin dan Khamis"

Bulan Syaaban adalah bulan ke-8 dalam kalendar Islam. Syaaban adalah merupakan pintu gerbang untuk kita menuju ke Ramadan. Hari ini kita berada di pertengahan atau separuh yang kedua daripada bulan Syaaban. Separuh atau 'Nisfu' bulan Syaaban juga turut memiliki kelebihannya yang tersendiri yang sepatutnya kita sama-sama rebut kelebihan ini bersama.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud :

"Allah melihat kepada hamba-hamba-Nya pada malam Nisfu Sya’ban, maka Dia ampuni semua hamba-hambaNya kecuali musyrik (orang yang syirik) dan yang bermusuh (orang benci membenci)"

Hadis Riwayat Ibn Hibban

Para ulama’ memberikan pandangan dan pendapat mereka masing-masing berkaitan dengan kelebihan yang ada pada malam Nisfu Syaaban.

Imam Syafie Rahimullah berkata :

"Doa adalah mustajab pada 5 malam, iaitu pada malam Jumaat, pada malam Idul Adha, pada malam Idul Fitri, pada malam awal bulan Rejab, dan pada malam Nisfu Syaaban"

Ibnu Rajab Rahimahullah pula berkata :

"Berkaitan malam Nisfu Syaaban, pada zaman dahulu para tabi’in daripada penduduk Syam, seperti Khalid bin Ma’dan, Makhul, Luqman bin Amir, dan beberapa kalangan para tabi’in yang lain sangat memuliakan malam tersebut, dan mereka bersungguh-sungguh melakukan amal ibadah pada malam Nisfu Syaaban"

Islam tidaklah meletakkan sesuatu amalan yang khusus yang mungkin boleh dinisbahkan kepada Nabi SAW sebagai sunnah untuk diamalkan pada malam nisfu Syaaban. Namun, walaupun begitu, kita hendaklah mengambil peluang dengan kelebihan yang ada pada malam Nisfu Syaaban dengan kita melakukan amal ibadah sebanyak-banyaknya sama ada dengan membaca Al-Quran, solat sunat, berzikir dan lain-lain lagi. Ini semua adalah amalan-amalan yang akan mendekatkan diri kita dengan Allah SWT dan akan memberatkan timbangan amal kita di akhirat sana.

Kedatangan Ramadan 1446 Hijri sudah mula terasa bahangnya. Ramadan adalah bulan yang sangat dinanti-nantikan oleh kita semua. Ramadan adalah bulan untuk kita memerah tenaga dan harta kita semata-mata untuk mendekatkan diri kita dengan Allah SWT. Maka persediaan dan persiapan untuk kita menyambut kedatangan Ramadan sepatutnya bermula daripada sekarang.

Jinakkan diri kita untuk bangun beribadah di malam hari bermula dari sekarang. Jinakkan diri kita dengan bertadarus Al-Quran mulai dari saat ini. Jinakkan diri kita dan ringan-ringankan tangan kita dengan bersifat pemurah dan suka bersedekah bermula dari sekarang. Jinakkan diri kita dengan solat berjemaah di masjid bermula dari sekarang. Agar apabila tibanya Ramadan nanti kita sudah pun bersedia dan bertenaga untuk melakukan semua kebaikan dan amalan tersebut dengan mudah.

Rebutlah peluang yang ada ini sementara kita masih lagi diberikan kesempatan oleh Allah SWT. Umur dan usia kita semakin bertambah, tempoh untuk kita terus hidup di atas muka bumi ini semakin berkurangan. Maka, persiapkanlah diri kita dengan amal yang secukupnya agar bekalan kita mencukupi untuk kehidupan kita di akhirat nanti.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud :

"Orang yang cerdik ialah mereka yang merendahkan dirinya dan beramal untuk mencari bekalan bagi kehidupan selepas daripada mati. Sedangkan orang yang lemah pula ialah mereka yang mengikut hawa nafsunya dan hanya bercita-cita kepada Allah tanpa beramal"

Hadis Riwayat Al-Tirmizi

Ini waktu yang amat sesuai untuk mentarbiah hati agar ikhlas kepada Allah dan membersihkannya daripada sifat mazmumah yang boleh menghijab amal dan doa. Tarbiahlah hati kita agar sentiasa tunduk dan taat kepada Allah Tuhan Semesta Alam, justeru akan hilanglah nanti perasaan takabbur dan suka bermegah-megah.

Sentiasalah menumpukan perhatian kita kepada Allah SWT dengan doa dan ibadat, penuh mengharap keampunanNya dan menyucikannya dari kealpaan dengan sentiasa mengingati Allah SWT. Rebutlah peluang-peluang di bulan mulia ini untuk menundukkan hati kita kepada Allah Azzawajalla, nescaya nanti akan bertambahlah kekuatan iman dan taqwa terhadapNya.

google-playkhamsatmostaqltradent