Hari ini Jumaat, 29 Syaaban 1446H. Ini bermakna sama ada esok atau lusa kita akan dikunjungi oleh bulan yang sangat mulia dan penuh keberkatan, iaitu Ramadhan Al-Mubarak. Justeru inilah waktu terbaik untuk kita mempertingkatkan persiapan rohani dan jasmani supaya kita dapat melangkah memasuki Ramadhan dengan hati yang bersedia dan penuh keimanan.
Marilah kita memperbanyakkan bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana telah memanjang usia kita hingga ke saat ini, mudah-mudahan kita akan diberi peluang bertemu dan memasuki bulan Ramadhan Raja segala bulan. Nabi SAW sentiasa memperbanyakkan berdoa sebagaimana sabda baginda yang bermaksud :
"Ya Allah berkatilah kami pada bulan Rejab dan Syaaban dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan"
(Hadis Riwayat Ahmad & At Tabrani)
Sebagai insan biasa kita seringkali melakukan kesalahan dan kesilapan dalam kehidupan seharian. Dalam tempoh sebelas bulan yang lalu kita tidak boleh menafikan bahawa kita ada melakukan pelbagai dosa dan kesilapan. Kita pernah melakukan dosa terhadap suami, isteri, anak-anak, sahabat-sahabat dan sebagainya. Justeru sebelum kita melangkah memasuki Ramadhan yang penuh berkat ini, marilah sama-sama kita memperbanyakkan istighfar memohon keampunan di atas segala dosa yang lalu. Mudah-mudahan kita menyambut kedatangan Ramadhan dengan penuh ketenangan dan diberi peluang oleh Allah SWT melipat gandakan usaha memperbanyakkan amal ibadah.
Kemuliaan dan keberkatan Ramadhan adalah pemelihara diri Muslim agar sentiasa berada dalam Rahmat, keredaan dan keampunan Allah SWT. Setiap Muslim perlu bersungguh-sungguh melaksanakan kewajipan dan mempersembahkan ketaatan mereka sepanjang Ramadhan kerana di situlah kunci utama mencapai keampunan dan keredaan Allah SWT.
Justeru, apa persiapan perlu dilakukan bagi menghadapi Ramadhan? Puasa pada Ramadhan menuntut kesediaan mental dan fizikal umat Islam bagi memastikan ibadah puasanya itu benar-benar menjadi asbab kepada tercapainya darjat takwa kepada Allah SWT. Setiap umat Islam perlu mempersiapkan mental dengan menanamkan rasa kecintaan dan kerinduan tinggi kepada kehadiran Ramadhan. Dengan wujudnya rasa cinta ini, ia akan menaikkan semangat Muslim untuk menyambut Ramadhan dengan amal ibadah yang banyak dan terus istiqamah dengannya.
Tawaran menarik dijanjikan melalui al-Quran dan hadis Nabi Muhammad SAW adalah motivasi terpenting bagi setiap umat Islam melaksanakan perintah dan mempersembahkan ketaatan kepada Allah SWT dengan tekun dan ikhlas.
Antara persiapan yang perlu ada untuk menghadapi Ramadhan ialah :
Pertama : Persediaan Fizikal dan Jasmani
Ramadhan adalah bulan yang sangat dianjurkan untuk melakukan kebaikan dan mengumpul pahala. Berpuasa, pastinya memerlukan keadaan fizikal dan jasmani yang cemerlang. Jika jatuh sakit, sudah tentu ibadah tidak dapat dilaksanakan dengan sempurna. Jaga keadaan fizikal dan jasmani kita mulai sekarang dengan mengurangkan tabiat tidak sihat seperti berjaga malam dan makan makanan yang tidak sihat.
Kedua : Mendalami Ilmu
Persediaan untuk menghadapi bulan Ramadhan yang akan datang ini adalah dengan mendalami ilmu dan pengetahuan tentang agama. Belajar tentang perkara-perkara yang tidak sepatutnya dilakukan oleh umat Islam di bulan Ramadhan. Belajar juga tentang cara ibadah yang baik dan betul. Sebelum memasuki bulan Ramadhan, tidak salah untuk lebih banyak membaca tentang agama dan lebih kerap menyertai forum agama bagi mendalami ilmu dan ilmu agama agar dapat menunaikan ibadah di bulan Ramadhan dengan lebih khusyuk.
Ketiga : Membudayakan amalan bersedekah memasuki bulan Ramadhan
Persiapan material merupakan persiapan menghadapi Ramadhan yang tidak boleh dilambatkan. Selain daripada keperluan yang semakin meningkat menjelang bulan Ramadhan dan harga barang yang melambung tinggi, Sudah tentu kita juga ingin memperbanyakkan amalan bersedekah dan berzakat di bulan Ramadhan. Selagi ada masa, mula uruskan kewangan dengan lebih berjimat cermat agar simpanan mencukupi untuk menampung keperluan dan juga amal di bulan Ramadhan.
Keempat : Melazimi tadarus al-Quran
Banyakkan kita membaca al-Quran melalui tadarus supaya kita dapat membaiki bacaan kita. Perlu diingatkan harta atau aset termahal yang boleh dikatakan kita semua miliki, adalah anak-anak dan cucu. Biasakan diri kita dan anak-anak supaya dapat memanfaatkan masa dengan bertadarus serta mendalami ilmu al-Quran bahkan menghafaznya.
Ramadhan adalah bulan rahmat, keampunan, dan pembebasan dari api neraka. Janganlah kita mensia-siakan peluang ini. Persiapkan diri kita dengan sebaik-baiknya agar Ramadhan kali ini menjadi yang terbaik dalam hidup kita. Semoga kita semua menjadi hamba Allah yang bertakwa dan mendapat keberkatan Ramadhan.
Marilah kita berdoa agar Allah SWT memberikan kita kesempatan untuk bertemu dengan Ramadhan, mengisi bulan tersebut dengan amal soleh, serta menjadikan kita hamba-Nya yang lebih bertakwa.
"Ya Allah, sampaikanlah kami kepada bulan Ramadhan, berkatilah kami dalam bulan ini, dan terimalah segala amal ibadah kami"
Aamiin.