recent
Terkini | تركيني

Berdamailah Dengan Takdir

Laman utama

Musibah adalah takdir Allah yang berlaku kepada kita yang menghilangkan kesenangan, kebahagiaan, keselesaan diri kita. Ia adalah perkara yang kita tidak sukai seperti kesakitan, kehilangan apa yang kita cintai lantas menimbulkan rasa sedih dan menderita dalam jiwa dan perasaan kita. Setiap dari kita mencuba sedaya mungkin untuk menghindari musibah, seperti bencana dan malapetaka, kerana tidak ada orang yang menginginkan kesedihan atau penderitaan.

Hakikatnya, musibah datangnya daripada Allah SWT dan tidak boleh ditolak oleh sesiapa pun. Musibah tidak membeza-bezakan manusia. Musibah boleh datang menimpa semua orang, mukmin atau kafir, kaya atau miskin. Cuma, yang berbeza adalah bagaimana sikap kita dalam menghadapi musibah yang datang.

Ada yang menghadapinya dengan tabah dan sabar, ada pula yang bersikap sebaliknya. Di dalam al-Quran Allah SWT berfirman menerusi Surat al-Hadid ayat 22:

مَآ أَصَابَ مِن مُّصِيبَةٍۢ فِى ٱلْأَرْضِ وَلَا فِىٓ أَنفُسِكُمْ إِلَّا فِى كِتَـٰبٍۢ مِّن قَبْلِ أَن نَّبْرَأَهَآ ۚ إِنَّ ذَٰلِكَ عَلَى ٱللَّهِ يَسِيرٌۭ ٢٢

"Tiada suatu bencana pun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab (Lauh Mahfuzh) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah"

Takdir Allah kepada kita, wajiblah kita terima dengan redha, namun setiap yang berlaku mempunyai asbab kenapa terjadinya. Antara asbab itu ialah:

Pertama : Allah SWT ingin menguji keimanan kita dan menambahkan keyakinan kita kepadaNya.

Kedua : Allah kenakan musibah disebabkan kerana kita ada melakukan apa-apa kesalahan dan ianya sebagai pembalasan kepada kesalahan boleh bermula di dunia ini lagi. Contohnya kesalahan bagi mereka yang menderhakai kedua ibu bapa.

Nabi SAW bersabda di dalam sebuah hadis yang bermaksud :

"Setiap dosa akan dilewatkan oleh Allah hukumannya mengikut kehendak-Nya sehingga hari kiamat kecuali derhaka kepada ibubapa. Maka sesungguhnya Allah akan menghukumkan kepada pelakunya semasa hidup sebelum kematian lagi"

[Riwayat al-Hakim]

Setiap muslim wajib mengimani bahawa musibah adalah ketentuan Allah kepada makhluknya. Musibah yang terus daripada Allah adalah seperti penyakit, kemalangan, kebakaran, kemarau, banjir, ribut dan seumpamanya manakala musibah yang berkaitan dengan makhluk seperti kecurian, khianat, fitnah, pergaduhan, sihir dan sebagainya. Kesemua musibah ini terjadi adalah dengan keizinan Allah SWT. Menerusi Surah at -Taghabun ayat 11 Allah SWT berfirman :

مَآ أَصَابَ مِن مُّصِيبَةٍ إِلَّا بِإِذْنِ ٱللَّهِ ۗ وَمَن يُؤْمِنۢ بِٱللَّهِ يَهْدِ قَلْبَهُۥ ۚ وَٱللَّهُ بِكُلِّ شَىْءٍ عَلِيمٌۭ ١١

"Tidak ada suatu musibah pun yang menimpa seseorang kecuali dengan izin Allah; dan barang siapa yang beriman kepada Allah nescaya Dia akan memberi petunjuk kepada hatinya. Dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu"

Musibah adalah tanda Allah sayangkan kita, baginda Rasulullah SAW adalah insan yang paling dicintai tetapi insan yang paling dicintai ini pun diuji dengan pelbagai ujian dan musibah sepanjang hayat baginda. Baginda diuji dengan penderitaan sewaktu berdakwah ke Taif, Rasulullah SAW dilontar dengan batu hingga berdarah tubuh baginda yang mulia itu, kalau Allah SWT tidak mengizinkan, boleh sahaja diperintahkan malaikat menepis batu tersebut atau boleh sahaja dilumpuhkan tangan orang yang membaling batu tersebut tetapi Allah SWT tetap mengizinkan batu itu melukai tubuh mulia baginda Rasulullah SAW.

Hanya Allah SWT sahaja yang mengetahui hakikat sesuatu yang terjadi. Mungkin ianya sebagai amaran dan mungkin peringatan dari Allah. Tanpa musibah manusia tidak kenal Allah dan tidak kenal pula siapa dirinya di sisi Allah. Tanpa kesakitan manusia tiada mengenal nikmatnya kesihatan, tanpa kehilangan manusia yang kita kasihi dan sayangi, kita tidak akan tahu betapa untungnya keberadaan seseorang di sisi kita, tanpa kerosakan kita tidak sedar bahawa kesempurnaan itu sangat bernilai dan berharga, tanpa kekusutan dan tekanan kita tidak mungkin mengetahui betapa berharga dan bernilainya ketenangan dan keharmonian, tanpa berlaku pergaduhan dan persengketaan kita mungkin terlupa betapa tinggi nilainya persahabatan dan keakraban serta keintiman dalam hubungan.

Tingkatkanlah ilmu akidah terutamanya yang berkaitan dengan qadha’ dan taqdir Allah kepada kita. Berdamailah dengan takdir Allah, berdampinglah dengan orang yang dapat memberi semangat dan nasihat ke arah mendekati ajaran agama Islam. Dapatkan panduan dan nasihat dari mereka yang berautoriti dan berpengalaman. Di samping itu juga berdoalah agar Allah sentiasa tabahkan hati dan jiwa kita menghadapi musibah dan takdir Allah ini, disebaliknya akan ada hikmah yang besar yang menanti.

Baginda Rasulullah SAW mengingatkan kita menerusi sabda baginda yang bermaksud :

"Tidaklah seorang Muslim yang ditimpa suatu penyakit dan keletihan, kegusaran dan kesedihan, gangguan dan kesusahan, bahkan duri yang melukainya melainkan Allah SWT akan menghapus kesalahan-kesalahannya"

(Hadith Riwayat al-Bukhari)

Bersempena dengan minggu cuti persekolahan ini tentunya banyak sekali diadakan walimatul urus atau kenduri kahwin. Marilah kita mengambil perhatian tentang beberapa perkara berkaitan walimatul urus agar ianya dilaksanakan secara mengikut syariat Islam serta mengikut adab dan tatasusila yang betul. Antaranya ialah :

  1. Kepada bakal pengantin, sebelum menempah kad jemputan kahwin sukalah diingatkan agar kad jemputan perkahwinan yang bakal dicetak itu tidak mengandungi ayat-ayat suci al-Quran / hadis waima lafaz "As-Salamualaikum warahmatullahi" yang ditulis sepenuhnya dalam bahasa Arab. Ini kerana kebiasaannya ianya dibuang merata-rata dan ayat-ayat suci itu tidak dihormati.
  2. Menjaga adab dan tatasusila Islam dalam pergaulan. Jangan pula ada lelaki duduk bersebelahan dengan wanita yang bukan mahram (boyfriend dan girlfriend) dalam keadaan berpakaian menjolok mata, memakai minyak wangi yang semerbak baunya dan bergurau senda tanpa adab dan sopan.
  3. Berpesan-pesanlah kepada anak-anak kita agar tidak mengambil makanan dengan kadar yang banyak yang akhirnya tidak dapat dihabiskan dan membazir makanan. Ambil dulu sedikit dan jika perlu tambah kemudian.
  4. Jangan ada unsur-unsur hiburan yang melampau seperti menggunakan sistem audio yang membingitkan telinga sehingga para tetamu susah untuk berbual mesra dan bertegur sapa. Malah berkaraoke sehingga melampaui batasan adab dan agama.

Kehidupan adalah suatu pelayaran menuju destinasi akhirat. Biarlah apa yang kita lakukan mendapat keuntungan di dunia dan tidak merugikan kita di akhirat kelak. Bersabar, tabah dan ikhlaskan hati serta redha dengan ketentuan Allah adalah ubat terbaik bagi segala penyakit musibah di dunia. Jangan melakukan sesuatu yang Allah murkai kerana ia mengundang musibah di penghujungnya.

google-playkhamsatmostaqltradent