Sedar atau tidak sedar, kini kita sudah memasuki fasa sepuluh yang terakhir di bulan Ramadhan ini. Sungguh pantas masa berlalu. Marilah kita bersama-sama berusaha sehabis baik dalam waktu yang masih berbaki ini seperti seolah-olah ianya adalah tahun terakhir kita menyambut Ramadhan. Jangan pernah dipersiakan peluang dan hadiah yang Allah berikan kepada kita. Sebulan yang Allah beri adalah masa terbaik untuk kita meninggalkan sikap dan tingkahlaku yang tidak mendatangkan manfaat untuk hari akhirat kita, masa terbaik untuk kita merenung dan bermuhasabah sejauh manakah kita sudah menghargai Ramadhan ini? Sejauh mana amal ibadah yang telah kita lakukan? Jika masih sama dan tiada perubahan, maka bersegeralah! Kerana pemutus kepada kehidupan sementara ini iaitu kematian itu tidak mengenal usia, tidak mengenal pangkat mahupun status kesihatan kita.
Berbaki seminggu ini, masih belum terlambat, ayuhlah kita lakukan pecutan. Buat sehabis baik. Inilah madrasah tarbiah Ramadhan, semoga keluarnya kita daripada madrasah ini dengan membawa segulung ijazah taqwa, biiznillah. Bukan semata-mata beribadah di dalam bulan Ramadhan sahaja sehingga layak digelar hamba Ramadhan. Tarbiah pada bulan inilah yang sepatutnya menjadi batu loncatan kepada kita semua agar lebih istiqamah melakukan amal soleh dan selayaknya digelar hamba Allah SWT yang bertaqwa. Patutlah orang-orang beriman bersedih ketika menyedari Ramadhan akan pergi, kerana dengan perginya bulan suci ini ia akan akan membawa pergi berbagai tawaran dan keistimewaan bersamanya.
Ayuh kita menelusuri bagaimana junjungan besar Nabi Muhammad SAW menyantuni sepuluh hari yang terakhir di dalam Ramadhan. Saidatuna Aishah Ummul Mukminin Radhiallahu Anha pernah menceritakan dengan katanya di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari (No. 2024) di dalam sohihnya ;
كَانَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم إِذَا دَخَلَ الْعَشْرُ شَدَّ مِئْزَرَهُ، وَأَحْيَا لَيْلَهُ، وَأَيْقَظَ أَهْلَهُ
"Adalah Nabi SAW apabila memasuki sepuluh yang terakhir di dalam bulan Ramadhan baginda mengetatkan kain sarungnya (yakni meninggalkan hubungan suami isteri), dan menghidupkan malamnya serta Baginda mengejutkan seluruh ahli keluarga Baginda"
Di dalam hadis yang lain Saidatuna Aishah Radhiallahu Anha juga menceritakan :
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَجْتَهِدُ فِي الْعَشْرِ الأَوَاخِرِ مَا لاَ يَجْتَهِدُ فِي غَيْرِهِ
"Adalah Rasulullah SAW bersungguh-sungguh beribadat pada sepuluh malam yang terakhir berbeza dengan malam-malam yang selainnya"
Di samping itu juga, Rasulullah SAW menyukai amalan beritikaf di dalam masjid pada sepuluh terakhir di dalam bulan Ramadhan di mana terdapat satu hadis yang di riwayatkan daripada Sayyidina Abdullah Ibnu Umar Radiallahu Anhuma;
كَانَ النَّبِيُّ ﷺ يَعْتَكِفُ فِي الْعَشْرِ الْأَوَاخِرِ مِنْ رَمَضَانَ
"Adalah Rasulullah SAW beritikaf di dalam masjid pada sepuluh terakhir Bulan Ramadhan"
(Riwayat al-Bukhari, No. 2026 & Muslim, No. 1172)
Sepuluh malam terakhir Ramadhan juga menjadi fasa yang begitu istimewa berbanding dua fasa yang sebelumnya. Hal ini adalah kerana pada fasa sepuluh terakhir inilah akan berlakunya suatu malam yang sangat besar fadhilatnya di sisi Allah SWT yang disebut sebagai malam lailatul qadar di mana barangsiapa yang beribadat pada malam tersebut lebih baik daripada seribu bulan iaitu menyamai 83 tahun 4 bulan. Allah SWT berfirman di dalam Al-Quran menerusi surah Al Qadr ayat 1-3 :
إِنَّآ أَنزَلْنَـٰهُ فِى لَيْلَةِ ٱلْقَدْرِ ١ وَمَآ أَدْرَىٰكَ مَا لَيْلَةُ ٱلْقَدْرِ ٢ لَيْلَةُ ٱلْقَدْرِ خَيْرٌۭ مِّنْ أَلْفِ شَهْرٍۢ ٣
"Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar, Dan tahukah kamu(wahai Muhammad SAW) apakah itu Malam Lailatul-Qadar? Sesungguhnya Malam Lailatul Qadr itu terlebih baik daripada seribu bulan"
Di kesempatan ini, antara beberapa amalan seharian yang boleh dilakukan sepanjang fasa sepuluh hari terakhir di bulan Ramadhan ini, adalah :
- Mulakanlah awal pagi kita (sepertiga akhir malam) dengan melakukan solat sunat tahajud dan solat-solat sunat yang lain sekadar kemampuan kita.
- Setelah bersahur bergegaslah ke masjid atau surau sambil mulut dan hati kita dibasahi dengan zikrullah dan selawat atas junjungan besar nabi Muhammad SAW.
- Sejurus tiba di masjid ringankanlah tangan masukkan duit ke dalam tabung infak sebagai sedekah Ramadhan kita sekadar kemampuan kita. Setelah itu tunaikanlah solat sunat dan fardhu dengan khusyu’ dan tawadhu’ mengharapkan ianya diterima oleh Allah SWT.
- Bacalah al-Quran sebelum atau selepas solat fardhu atau pada waktu-waktu yang terluang.
- Hubungkanlah tali silaturrahim sesama saudara mara dan saudara seislam kita dengan bersalaman.
- Perbanyakkanlah memohon keampunan daripada Allah SWT kerana ini adalah peluang yang terbaik untuk memohon keampunan Allah SWT.
- Perbanyakkanlah beritikaf di masjid pada sepuluh malam terakhir dalam bulan Ramadhan.
- Ambillah peluang yang masih berbaki untuk meraih ganjaran pahala menyediakan juadah kepada orang berbuka puasa dan janganlah meninggalkan solat sunat tarawih pada fasa yang terakhir ini serta elakkanlah diri kita dari melakukan perbuatan maksiat dan perkara-perkara yang boleh mengundang kemurkaan Allah SWT.
- Sempurnakan tuntutan zakat fitrah yang telah diwajibkan ke atas diri kita melalui amil-amil yang telah dilantik ataupun boleh bayar secara online di https://zakat.e-maik.my/v8/
Ramadhan yang bertamu di dalam kehidupan kita kini sudah mula membuat persiapan untuk meninggalkan kita semua. Justeru Ramadhan akan menyerahkan segala anak kunci syurga yang dibawanya itu kepada sesiapa sahaja yang ingin merebut ganjaran tersebut.
Maka sesungguhnya beruntunglah bagi orang-orang yang berusaha, sebaliknya rugi dan binasalah bagi orang-orang yang leka.
Ya Allah, seandainya ini adalah Ramadhan yang terakhir kami Ya Allah, maka jadikanlah ianya penyebab untuk kami layak mendapat keredhaanMu seterusnya kami layak mendiami syurgaMu Ya Allah.. Aamin ya rabbal aalamiiinn...