recent
Terkini | تركيني

Ramadan : Akulah Sebenarnya

Laman utama
size

Betapa hari ini juga seperti hari semalam, kita telah melalui beberapa hari awal terdahulu menyambut dan menghidupkan kedatangan Ramadan, terasa singkatnya ia bersama kita, kini kita mengucapkan selamat tinggal kepadanya di Jumaat terakhir dalam bulan yang mulia ini. Bulan ini akan berlalu pergi, hanya kita yang tersisa meneruskan umur berbaki. Adakah tarbiah Ramadan menjadi pemangkin terbaik pencetus segala amal soleh kita selepas ini?

Marilah kita semua merenungi dan menginsafi diri, melihat kembali segala kelakuan dan perbuatan kita, keseluruhan ketaatan dan amal kebaikan yang kita lakukan pada bulan ini. Justeru, itulah sepatutnya sifat dan sikap kita sebenarnya sebagai hamba Allah yang soleh. Inilah yang dididik oleh Ramadan iaitu melahirkan hamba Allah yang bertakwa pada akhirnya.

Firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah ayat 183 :

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ كُتِبَ عَلَيْكُمُ ٱلصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ ١٨٣

"Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa"

Ketakwaan yang dipupuk sepanjang bulan ini haruslah ianya kekal istiqamah selepas berlalunya Ramadan. Alangkah bahagianya kita, nikmat yang Allah SWT berikan di dalam bulan ini dengan memudahkan pelaksanaan segala amalan kebaikan dan ibadah ketaatan. 

Bahkan ibadah yang dilakukan itu pula berturutan dengan amalan soleh yang lain pula. Sebahagian kita menjalani proses didikan kerajinan beribadah dan beramal soleh di dalam bulan ini dengan melaksanakan secara konsisten solat malam, disusuli pula dengan berzikir, membaca al-Quran dan bersedekah. Bahkan ada juga sebahagian daripada kita, Ramadan ini mengajar mereka melaksanakan perintah wajib solat 5 waktu, Ramadan ini mengajar mereka tunduk dan sujud kepada Allah Yang Esa setelah sekian lama lalai dan leka. Inilah antara nikmat yang mesti kita syukuri kerana nikmat yang diperolehi oleh kita sebagai hamba Allah ini tidak terhitung besarnya.

Firman Allah SWT dalam Surah An-Nahl ayat 18 :

وَإِن تَعُدُّوا۟ نِعْمَةَ ٱللَّهِ لَا تُحْصُوهَآ ۗ إِنَّ ٱللَّهَ لَغَفُورٌۭ رَّحِيمٌۭ ١٨

"Dan jika kamu menghitung nikmat Allah (yang dilimpahkannya kepada kamu), tiadalah kamu akan dapat menghitungnya satu persatu; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani"

Cabaran buat kita pada ketika ini ialah, adakah kita mampu kekal Istiqamah dengan segala amalan dan ibadat yang kita laksanakan dalam bulan ini? Wahai hamba Allah, berjanjilah pada dirimu di akhir Jumaat Ramadan yang mulia ini agar terus istiqamah mentaati Allah. Berdoalah dengan penuh ketulusan dan kemurnian hati agar Allah memberikan kenikmatan ketaatan kepada-Nya buat kita semua dan juga memberikan rasa cinta untuk beribadah melebihi rasa cinta kepada dunia yang fana ini. Teruskan istiqamah dengan ibadah walaupun ianya hanya kecil atau sedikit. 

Sabda Nabi SAW : Daripada Saidatina Aisyah R.Anha, bahawa Nabi SAW bersabda :

أَحَبُّ الْأَعْمَالِ إِلَى اللَّهِ أَدْوَمُهَا وَإِنْ قَلَّ

"Amalan yang paling dicintai oleh Allah adalah amalan yang berterusan walaupun ia sedikit"

(Riwayat al-Bukhari, No. 6464 & Muslim, No. 782)

Imam An-Nawawi berkata : Hadis ini menggalakkan amalan yang berterusan dan bahawa sedikitnya amalan yang berterusan lebih baik daripada amalan yang banyak tetapi ianya terputus, kerana dengan berterusannya amalan yang sedikit tersebut, maka akan berterusanlah ketaatan, zikir, muraqabah, dan ikhlas terhadap Allah SWT. Ia juga membuahkan pahala berlipat kali ganda berbanding amalan yang banyak namun terputus.

Oleh itu, dapat difahami bahawa salah satu tanda amalan puasa diterima adalah kita berterusan dalam melakukan amalan-amalan ketaatan kepada-Nya walaupun selepas berakhirnya Ramadan. Istiqamah dengan amalan soleh ini juga mengukuhkan sifat takwa dalam diri orang beriman.

Apabila tibanya Syawal nanti, maka janganlah kita rosakkan segala didikan yang telah kita perolehi ketika Ramadan.

Janganlah kita lakukan perbuatan seolah-olah Ramadan tidak pernah bertamu dan seolah-olah kita tidak pernah menyantuni Ramadan. Syawal yang kita sambut janganlah dihiasinya dengan maksiat kepada Allah. Hiasilah Syawal itu dengan buih-buih ketakwaan yang kita dayung bersama dengan sifat takwa mengharungi ombak nafsu yang beraja di hati. Jadikan Syawal itu bulan kemenangan menewaskan nafsu yang telah kita asuh selama 30 hari lamanya. Usahlah kita biarkan Syawal itu menjadikan nafsu kita liar mengikut kehendak telunjuk iblis. Mohonlah pertolongan dan perlindungan daripada Allah agar dijauhkan dari kejahatan nafsu. Dalam satu doa Baginda SAW, yang diriwayatkan daripada Imran bin Husain R.A, bahawa Nabi SAW pernah mengajar bapanya, dua kalimat yang dibaca di dalam doa, iaitu :

اللَّهُمَّ أَلْهِمْنِي رُشْدِي وَأَعِذْنِي مِنْ شَرِّ نَفْسِي

"Ya Allah! Ilhamkanlah kepadaku kecerdasan dan petunjuk, serta lindungilah aku dari kejahatan nafsuku"

(Riwayat al-Tirmizi, No. 3483)

Manfaatkanlah kekuatan doa di waktu-waktu mulia dalam bulan agung ini yang masih berbaki sisa waktunya, jangan biarkan waktu mulia ini berlalu begitu sahaja tanpa berdoa kepada-Nya. Berdoalah dengan bersungguh-sungguh agar Allah menjadikan kita hamba-Nya yang soleh dan dapat mengawal nafsu dari pujukan dan hasutan iblis.

Penghujung Ramadan ini, peristiwa Israel kembali menyerang wilayah Gaza telah menyentap perasaan seluruh umat Islam. Ratusan nyawa menjadi korban yang terdiri dari wanita dan kanak-kanak. Zionis dengan rakus telah merobek tubuh saudara seakidah kita di Gaza! Umat Islam sewajibnya dikerah untuk bermunajat serta berdoa, menggerakkan kempen kesedaran peduli Gaza serta membantu umat Islam Palestin yang sedang mempertahankan kiblat pertama ummat Islam.

Rasa pedih dan pilu mencengkam hati kita, dalam suasana sedang membuat persediaan hari raya, terdapat saudara seagama kita dirobek oleh senjata dan peluru yang tidak bermata di Palestin. Sudah banyak darah yang mengalir dan harta benda yang musnah, namun kita harapkan saudara kita di sana tetap tabah mempertahan bumi Palestin ini.

Penduduk Gaza membayar harga yang mahal, kerana merekalah benteng kepada keselamatan Masjid Aqsa, marilah sama-sama kita berdoa agar Allah pelihara mereka dan berikan kekuatan hati dan ketabahan dalam jiwa kental mereka dan bagi yang telah gugur syahid, syurgalah tempat kalian di sana.

Kesimpulannya marilah kita mengambil iktibar untuk menjadi hamba Allah yang sebenar sifatnya sebagaimana berada dalam Ramadan :

  1. Ramadan mengajar kita bagaimana sifat hamba Allah yang sebenar-benarnya dan mengajar kita erti ketakwaan.
  2. Teruskanlah istiqamah dengan segala amalan soleh yang kita laksanakan walaupun di luar Ramadan.
  3. Jangan sia-siakan tarbiah Ramadan ketika menyambut Syawal.
  4. Berdoalah kepada Allah agar pintu hati kita sentiasa terbuka untuk perkara kebaikan sekaligus meruntuhkan hawa nafsu di hati.

google-playkhamsatmostaqltradent