recent
Terkini | تركيني

Istiqamah Dalam Ketaatan

Laman utama
size

Alhamdulillah hari ini kita sudah menjengah hari ke-5 di bulan Syawal setelah Ramadan berlalu pergi meninggalkan kita. Secara fitrahnya, bila tibanya Aidilfitri jiwa manusia suka kepada perayaan dan berasa gembira dengannya. Anugerah teristimewa ini memberi kesempatan kepada kita semua meraikannya dengan melakukan aktiviti ziarah menziarahi antara kaum kerabat, sanak saudara dan sahabat handai yang mungkin hanya dapat dilakukan sekali dalam satu tahun. Maka, sudah tentu aktiviti ziarah menziarahi ini tidak dapat diselesaikan semuanya dalam tempoh sehari sahaja, apatah lagi jika jarak tempat antara satu sama lain itu agak jauh.

Di sebalik bulan Syawal yang diraikan ini, sewajarnya kita terus bersyukur dan beristiqamah menjadi hamba Allah yang taat setelah sebulan bertungkus lumus melawan godaan hawa nafsu di bulan Ramadan, dan Aidilfitri bukanlah waktu untuk kita kembali kepada sikap dan perangai lama yang kurang baik. Jadikanlah bulan Ramadan yang dilalui sebelum ini sebagai pendidik bagi kita terus menjadi hamba Allah yang rabbani dan bukan semata-mata hamba "Ramadani".

Jadikan madrasah Ramadan yang lalu sebagai tarbiyah terbaik sepanjang hidup kita untuk terus menjadi hamba Allah SWT yang bertakwa. Aspek kehambaan ini sudah tentu melibatkan secara menyeluruh segenap lapisan masyarakat Islam tanpa ada siapa pun yang terkecuali. Imam Ibnu Rajab al-Hambali menyebut dalam kitabnya, Lathaif al-Maarif : "Hari raya (yang sebenar) itu bukanlah bagi orang yang berpakaian baru, tetapi hari raya itu adalah bagi orang yang ketaatannya bertambah maju. Hari Raya (yang sebenar) itu bukanlah bagi orang yang bergaya dengan berbagai pakaian dan kenderaan, tetapi hari raya itu adalah bagi orang yang dosa-dosanya mendapat keampunan".

Kehambaan kita kepada Allah SWT ini tentunya menuntut kita agar sentiasa mengingati dan membesarkan-Nya bukan semata-mata hanya pada hari raya sahaja, tetapi ianya perlulah dilakukan secara berterusan pada setiap masa dan ketika. Janganlah kita menjadi orang yang sering lalai daripada mengingati dan membesarkan Allah SWT sehingga akhirnya nanti menjadi orang yang jauh pula daripada redha dan rahmat-Nya.

Firman Allah SWT dalam surah Taha ayat 124 :

وَمَنْ أَعْرَضَ عَن ذِكْرِى فَإِنَّ لَهُۥ مَعِيشَةًۭ ضَنكًۭا وَنَحْشُرُهُۥ يَوْمَ ٱلْقِيَـٰمَةِ أَعْمَىٰ ١٢٤

"Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjukKu, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta"

Ibadah bererti menzahirkan ketundukan, merendah diri dan taat kepada Allah dengan mengamalkan cara hidup yang telah ditetapkan oleh al- Quran dan Sunnah Rasulullah. Kepatuhan dan ketaatan ini hendaklah berterusan setiap masa hingga ke akhir hayat. Hal ini bertepatan dengan hikmah penciptaan manusia sebagaimana firman Allah di dalam Surah Adz-Dzaariyaat ayat 56 :

وَمَا خَلَقْتُ ٱلْجِنَّ وَٱلْإِنسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ ٥٦

"Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu"

Dalam kita meraikan hari kemenangan ini, jagalah akhlak kita serta taatlah kepada perintah Allah. Jika di masa bulan Ramadan kita semua dapat beribadah dengan baik seperti berjaya mendidik solat berjemaah di masjid, menghidupkan malam dengan bertahajud, membaca al-Quran, bersedekah serta berjaya menjaga lidah semasa bulan Ramadan daripada perbuatan mengumpat, mencaci dan menghina orang lain, maka janganlah pula kita kembali semula ke takuk yang lama kita dengan melakukan pelbagai kemaksiatan kepada Allah.

Justeru janganlah kita meremehkan tuntutan melaksanakan ibadah dalam kehidupan. Tidak ada pilihan bagi kita untuk meninggalkan segala ibadah yang difardukan kepada kita. Bahkan ibadah sunat pula hendaklah dilaksanakan dengan baik dan sempurna sebagai tanda kecintaan kita kepada Allah dan bagi menampung segala kecacatan dalam ibadah-ibadah fardu. Alangkah ruginya jika kita mengabaikannya dan tidak meneruskan amalan-amalan kebaikan yang kita lakukan sepanjang Ramadan. Jangan pula dengan alasan "sunat sahaja, tak buat pun tak apa!".

Sedarlah bahawa, ibadah yang dilakukan tidak akan membawa kesan kepada Yang Maha Mencipta, sebaliknya ketaatan dan pengabdian diri seseorang hamba itu, manfaatnya lebih kepada diri sendiri, bahkan diberikan pula ganjaran oleh Allah. Allah tidak akan memerintahkan sesuatu kecuali yang memberi manfaat kepada manusia.

Antara perkara-perkara yang menghalang untuk istiqamah dalam ketaatan itu ialah apabila seseorang itu menganggap ringan akan dosa-dosa serta maksiat, sentiasa sibuk dengan urusan keduniaan tanpa memikirkan akhirat dan keberadaan dalam persekitaran yang tidak baik sama ada mempunyai rakan-rakan yang rosak akhlak, keluarga yang porak peranda serta hidup dalam masyarakat yang musnah peradabannya.

Kesemua ini adalah sebahagian faktor yang akan melumpuhkan usaha seseorang itu untuk istiqamah memelihara ketaatan kepada Allah SWT. Antara ciri-ciri istiqamah sama ada melalui amalan hati, amalan lisan dan anggota tubuh badan untuk terus berada dalam ketaatan ialah :

  1. Melaksanakan ketaatan dengan penuh mujahadah dalam melawan kehendak hawa nafsu. Sesungguhnya iman itu keadaannya menaik dan menurun.
  2. Melibatkan diri dengan aktiviti keilmuan. Sesungguhnya ilmu merupakan kunci kepada segala kebaikan. Dengan ilmu seseorang itu akan mengenali, menyembah dan mengabdikan diri kepada Allah SWT.
  3. Ikhlas dalam mencari ilmu dan beramal. Sesungguhnya keikhlasan merupakan ruh terhadap segala amal ibadah. Apabila sifat ikhlas telah subur di hati maka amal ibadah akan terus subur lahir daripada hati sanubarinya.
  4. Berdamping atau bersahabat dengan orang-orang soleh. Dengannya menjadi asbab menguatkan lagi semangat untuk terus berada dalam ketaatan kepada Allah SWT.
  5. Bersederhana dalam pengamalan dan tingkah laku. Sesungguhnya bersederhana dalam amalan mengikut keupayaan merupakan penyelamat daripada rasa penat dan jemu yang akhirnya meninggalkan terus amalan tersebut.
  6. Sentiasa beristighfar, berdoa, berzikir, mengingati mati, bertaubat dan sering mengharapkan agar mati dalam keredhaan Allah SWT.

Hasilnya, manfaat dan faedah dari disiplin inilah yang akan menyebabkan seseorang itu akan berada di kalangan malaikat yang membawa rahmat, hati serta kehidupannya berada dalam ketenangan serta kebahagiaan, rezekinya dimurahkan serta diluaskan oleh Allah SWT bahkan syurga dijamin baginya insya Allah.

Marilah sama-sama kita berazam dan bekerjasama ke arah ketaatan dengan sama-sama menghidupkan suasana dan persekitaran yang baik supaya menjadi rangsangan dan galakan kebaikan buat kita bersama. Semoga kita sentiasa berada dalam ketaatan, keampunan dan rahmat Allah SWT.

google-playkhamsatmostaqltradent