Kezaliman adalah bermaksud tidak berperikemanusiaan, tidak adil, bengis dan kejam. Zalim adalah satu dosa dan penganiayaan yang boleh berlaku pada diri sendiri dan orang lain. Islam melarang umatnya melakukan perbuatan zalim dan mengutuk keras perbuatan zalim pada diri sendiri dan orang lain. Allah SWT berfirman di dalam Surah Yunus ayat yang ke 13 :
وَلَقَدْ أَهْلَكْنَا ٱلْقُرُونَ مِن قَبْلِكُمْ لَمَّا ظَلَمُوا۟ ۙ وَجَآءَتْهُمْ رُسُلُهُم بِٱلْبَيِّنَـٰتِ وَمَا كَانُوا۟ لِيُؤْمِنُوا۟ ۚ كَذَٰلِكَ نَجْزِى ٱلْقَوْمَ ٱلْمُجْرِمِينَ ١٣
"Dan sesungguhnya Kami telah membinasakan umat-umat yang terdahulu daripada kamu semasa mereka berlaku zalim padahal telah datang kepada mereka Rasul-rasul mereka membawa keterangan-keterangan, dan mereka masih juga tidak beriman. Demikianlah Kami membalas kaum yang melakukan kesalahan"
Bahkan dikuatkan lagi dengan penyataan di dalam hadis Qudsi oleh Rasulullah SAW bahawa Allah SWT berfirman :
...يَا عِبَادِي إِنِّي حَرَّمْتُ الظُّلْمَ عَلَى نَفْسِي وَجَعَلْتُهُ بَيْنَكُمْ مُحَرَّمًا فَلاَ تَظَالَمُوا
"Wahai hamba-hamba-Ku! Sesungguhnya, Aku telah mengharamkan kezaliman berlaku daripada diri-Ku sendiri, dan Aku mengharamkannya berlaku dalam kalangan kamu, maka jangan sekali-kali kamu melakukan kezaliman sesama kamu"
(Hadis Riwayat Imam Muslim, No. 2577)
Jika kita amati, kini terdapat banyak isu-isu yang melibatkan Islam dan umatnya. Antara yang terbesar kini adalah yang melibatkan umat Islam di Palestin. Sudah sekian lama mereka ditindas, dinafikan hak mereka bahkan dihalau dari tanah air mereka sendiri. Mereka adalah saudara seakidah dengan kita. Akan tetapi sehingga hari ini mereka belum mendapat pembelaan dari umat Islam seluruh dunia. Adakah disebabkan kita sedikit? Adakah disebabkan kita lemah atau tidak cukup kaya dan mampu untuk membantu? Bahkan kita antara umat teramai yang mendiami dunia kini. Ke mana hilangnya kekuatan umat Islam kini?
Jika kita tidak mementingkan isu yang berlaku di luar negara, maka perhatikanlah isu Islam dan umatnya yang berlaku di tanah air kita yang tercinta. Setiap tahun terjadinya penistaan agama di negara kita. Mungkin ada yang sudah lupa isu kalimah Allah pada stokin, isu kalimah Allah pada penggunaan penganut agama selain Islam, penghinaan ke atas nabi kita Muhammad SAW, penindasan ke atas tanah wakaf umat Islam dan banyak lagi isu-isu yang melibatkan Islam. Ke manakah para alim ulama, ke manakah tokoh-tokoh masyarakat Islam, ke manakah agensi bukan kerajaan yang bernaung atas nama Islam, kenapa membisu seribu bahasa di atas isu yang berlaku ini? Ke manakah umat Islam di semua peringkat umur dan jawatan? Ke manakah hilangnya jati diri dan keberanian umat Islam?
Adakah kalian lupa bahawasanya Islam dan umatnya dahulu adalah satu kaum yang menakluki dan menguasai dunia? Dahulunya ummat bukan Islam bahkan pemimpin mereka tunduk, patuh serta suka rela berada di bawah pemerintahan Islam dan khalifahnya.
Adakah kalian lupa bahawa umat Islam dahulunya adalah umat bermaruah dan dihormati oleh kawan dan digeruni oleh pihak lawan? Masihkan kalian ingat akan kisah-kisah ini di dalam sejarah kegemilangan umat Islam?
Antaranya yang dirakam sejarah, apabila terdapat seorang muslimah berniaga di pasar Yahudi Bani Qainuqa'. Lalu mereka cuba mengganggu muslimah tersebut. Mereka cuba untuk menarik niqab yang menutup wajah muslimah itu. Muslimah itu pula melawan dengan kudrat sang Hawa. Seorang tukang emas Yahudi yang berniaga di sebelah muslimah itu diam-diam mengikat belakang baju muslimah itu di tempat duduknya. Apabila muslimah tersebut bangun, maka terdedahlah auratnya.
Para Yahudi mentertawakan muslimah itu sepuas hati. Muslimah itu menjerit memohon bantuan. Jeritan beliau segera disahut oleh seorang lelaki muslim. Dia terus menerkam tukang emas Yahudi itu dan memukulnya. Bertambah panaslah orang-orang Yahudi yang menyaksikan adegan tersebut. Lalu lelaki itu dibunuh beramai-ramai. Itulah punca perang Bani Qainuqa' dan dihalau puak Yahudi ini keluar dari tanah suci Madinah.
Pernahkah berlaku perkara ini dalam mana-mana tamadun lain?!
Ingatlah pesan Nabi SAW bagi umat baginda yang berada di penghujung dunia. Rasulullah SAW memberikan amaran dalam sabdanya :
يُوشِكُ الأُمَمُ أَنْ تَدَاعَى عَلَيْكُمْ كَمَا تَدَاعَى الأَكَلَةُ إِلَى قَصْعَتِهَا . فَقَالَ قَائِلٌ وَمِنْ قِلَّةٍ نَحْنُ يَوْمَئِذٍ قَالَ بَلْ أَنْتُمْ يَوْمَئِذٍ كَثِيرٌ وَلَكِنَّكُمْ غُثَاءٌ كَغُثَاءِ السَّيْلِ وَلَيَنْزِعَنَّ اللَّهُ مِنْ صُدُورِ عَدُوِّكُمُ الْمَهَابَةَ مِنْكُمْ وَلَيَقْذِفَنَّ اللَّهُ فِي قُلُوبِكُمُ الْوَهَنَ . فَقَالَ قَائِلٌ يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَا الْوَهَنُ قَالَ حُبُّ الدُّنْيَا وَكَرَاهِيَةُ الْمَوْتِ
"Hampirlah berlakunya beberapa umat yang lain (bukan Islam) berkumpul mengepung kamu, laksana kumpulan yang mengelilingi hidangan dengan rakus atau gelojoh". Maka, seseorang dalam kalangan sahabat bertanya, "Adakah jumlah kita (umat Islam) pada masa itu sedikit?" Baginda bersabda, "Bahkan, ketika itu kalian sangat ramai, tetapi kalian laksana sampah sarap yang dihanyutkan oleh air banjir. Allah menghilangkan rasa hebat terhadap kalian daripada perasaan dalam dada musuh kalian dan Allah mencampakkan dalam jantung hati kalian perasaan al-wahn (hina)". Lalu seseorang dalam kalangan sahabat bertanya, "Wahai Rasulullah, apakah maksud al-wahn (hina) itu?" Baginda menjawab, "Kasih akan dunia dan takut akan mati".
(Hadis Riwayat Abu Daud, No. 4297)
Adakah kalian berbangga jika menjadi umat yang telah disabdakan Nabi SAW ini? Adakah kalian suka digelarkan dengan umat pengecut dan cintakan dunia? Bangunlah dari tidurmu yang lena, bangunlah dari sakitmu yang tercela, bangunlah dengan keberanian, agar hidupmu dan umat selepasmu terjaga dan terpelihara.
Kesimpulannya adalah :
- Kekuatan umat Islam datangnya dari keimanan kepada Allah SWT.
- Teruskan bersolidariti terhadap umat Islam di Palestin. Teruskan berdoa dan membaca qunut nazilah bagi memohon pertolongan Allah SWT setiap masa.
- Sekiranya terdapat pencerobohan di tanah wakaf umat Islam ataupun tanah milik persendirian maka segeralah membuat laporan kepada pihak yang berautoriti untuk mengambil tindakan. Jangan dibiarkan jenayah dan pencerobohan ini dinormalisasikan dan dituntut hak milik dan keistimewaan oleh manusia zalim yang tidak berperikemanusiaan.
Menzalimi atau melakukan penganiayaan sesama manusia adalah perbuatan yang dibenci oleh Allah SWT sama ada dengan merosakkan kehormatan, menyakiti fizikal dan emosi serta merampas harta orang lain.