Sebagai umat Islam yang bertamadun dan bijak menilai dan membaca situasi semasa sepatutnya kita tidak terperangkap dengan strategi halus Yahudi zionis yang mahu menjadikan kita sebagai bidak mereka dan alat untuk mencapai agenda mereka di dalam percaturan mengekalkan kuasa dan penjajahan berterusan ke atas bumi Palestin.
Sewajarnya kita sebagai umat Islam merenungi firman Allah SWT di dalam Surah Al-Maidah ayat 82 :
لَتَجِدَنَّ أَشَدَّ ٱلنَّاسِ عَدَٰوَةًۭ لِّلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱلْيَهُودَ وَٱلَّذِينَ أَشْرَكُوا۟
"Demi sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) akan dapati manusia yang keras sekali permusuhannya kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang Yahudi dan orang-orang musyrik"
Ayat ini mengingatkan kita bahawa sangat keras sekali permusuhan orang-orang Yahudi terhadap umat Islam bahkan permusuhan mereka ini ke atas umat Islam bukan hanya semata-mata mahu mengekalkan kuasa tetapi lebih jauh daripada itu ialah kerana keimanan kita kepada Allah SWT dan kepada Rasulullah SAW. Sejarah tidak pernah menipu. Bagaimana sejak zaman Rasulullah SAW lagi mereka berusaha mahu menghancurkan umat Islam melalui pelbagai cara termasuklah melalui fitnah, pengkhianatan janji dan bekerjasama dengan musuh Islam. Sebagai contoh, dalam perang Ahzab kita menyaksikan sejarah telah merakam pengkhianatan Yahudi Bani Quraizah atas umat Islam.
Marilah kita semua berwaspada supaya tidak menjadi alat mereka sama ada secara sedar ataupun tidak sedar. Tahun 1917 melalui perjanjian Balfour hasil pakatan khianat dan jahat ini menyaksikan bumi Palestin diserahkan kepada Yahudi walaupun ia milik kaum Muslimin. Marilah kita berfikir sejenak, bagaimana halusnya zionis ini bekerja, mereka memerintah melalui proksi, segala keputusan penting walaupun tidak diputuskan oleh mereka namun keputusan itu tetap dipengaruhi dan dilaksanakan oleh proksi mereka.
Sebagai contoh, Negara Amerika sering kali dasar luarnya pro kepada israel, sering menjadi pelindung kepada israel. Amerika menggunakan kuasa veto yang ada di Persidangan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk membatalkan resolusi gencatan senjata segera tanpa syarat dan kekal di Gaza serta kemasukan bantuan kemanusiaan.
Deklarasi New York amat mengecewakan umat Islam apabila ada sebahagian pemimpin dari negara Islam bersetuju supaya pejuang yang sah menuntut kemerdekaan bagi negara mereka Palestin meletakkan senjata dan menyerahkan kuasa. Tidakkah mereka sedar mereka sedang mengikat janji dengan Yahudi yang tidak pernah mentaati janji bahkan mereka seringkali mengingkari janji , Firman Allah SWT dalam surah Al-Maidah, ayat 70 :
لَقَدْ أَخَذْنَا مِيثَـٰقَ بَنِىٓ إِسْرَٰٓءِيلَ وَأَرْسَلْنَآ إِلَيْهِمْ رُسُلًۭا ۖ كُلَّمَا جَآءَهُمْ رَسُولٌۢ بِمَا لَا تَهْوَىٰٓ أَنفُسُهُمْ فَرِيقًۭا كَذَّبُوا۟ وَفَرِيقًۭا يَقْتُلُونَ ٧٠
"Demi sesungguhnya! Kami telah mengambil perjanjian setia dari Bani Israil dan Kami telah utuskan kepada mereka beberapa orang Rasul. (Tetapi) tiap-tiap kali datang - seorang Rasul kepada mereka dengan membawa apa yang tidak disukai oleh hawa nafsu mereka, mereka dustakan sebahagian dari Rasul-rasul itu, dan mereka bunuh yang sebahagian lagi"
Allah SWT menjelaskan bahawa mereka berjanji setia, namun apabila tidak memenuhi kehendak hawa nafsu mereka pasti mereka akan memungkiri janji yang dimeterai.
Persoalannya adakah mereka akan membiarkan bumi Gaza aman setelah pejuang menyerah kalah dan meletakkan senjata? atau akan menjadi laluan mudah buat mereka menguasai keseluruhan bumi Palestin? Jawapannya pasti tidak.
Perbalahan mazhab dan ideologi dikalangan umat Islam juga secara tidak langsung menjadi senjata halus dan menjadikan kita sebagai alat mereka. Manakan tidak? Apabila kita disibukan dengan berbalah soal mazhab dan ideologi serta menjadi fanatik kepada keduanya hingga menyebabkan perpecahan di kalangan umat Islam, perpecahan inilah yang melemahkan umat Islam, ianya menjadi strategi yang sangat halus dan berbisa serta berjaya seandainya kita mengikut rentak susunan mereka agar kita terus berseteru sesama kita. Sedangkan ada perkara yang lebih utama untuk kita berikan perhatian pada ketika ini iaitu mencari persefahaman dalam membina keharmonian umat Islam agar sentiasa bersatu dan kuat.
Perbalahan dalaman akan melemahkan umat Islam dan membuka ruang dan peluang kepada musuh. Bahkan musuh mengetahui dan sangat memahami bahawa kekuatan umat Islam ini terletak pada kesatuan prinsip dan tujuan yang utama untuk membebaskan Palestin. Apabila umat berpecah maka mudahlah musuh mencaturkan agenda utama mereka.
Oleh yang demikian umat Islam perlu bersatu padu, berganding bahu dan bantu membantu barulah munculnya kekuatan yang padu serta perlu bersabar dengan segala ketentuan yang Allah SWT tetapkan kepada kita semua. Renungi Hadis Nabi SAW ini,
عَنْ أَبِي مُوسَى، عَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم قَالَ " إِنَّ الْمُؤْمِنَ لِلْمُؤْمِنِ كَالْبُنْيَانِ، يَشُدُّ بَعْضُهُ بَعْضًا ". وَشَبَّكَ أَصَابِعَهُ.
"Daripada Abu Musa, katanya Nabi SAW bersabda : Orang beriman terhadap orang beriman yang lain seperti sebuah bangunan, sebahagiannya menguatkan sebahagian yang lain. Lalu Baginda menyilangkan jari-jemarinya sebagai isyarat"
Janganlah kita menjadi bidak di papan catur musuh, janganlah kita menjadi alat memusnahkan sesama sendiri, janganlah hati kita berbalah dan berpecah kerana kelak buruk padahnya.
Kesimpulannya, marilah kita renungi sejenak kisah yang berlaku di dalam negara kita iaitu isu buli. Isu yang tidak pernah padam dan ia datang bermusim. Teguran untuk adik-adik di bangku persekolahan janganlah sekali-kali terjebak dalam budaya buli ini yang kadang-kadang berakhir dengan kematian. Ingatlah adik-adik sekalian masa remajamu jangan dijebakkan dengan perbuatan sebegitu. Gejala buli dalam kalangan pelajar semakin membimbangkan. Banyak kes telah direkodkan sepanjang sesi 2024–2025 melibatkan pelbagai bentuk salahlaku buli dan seksual termasuk fizikal, bahasa, isyarat, siber dan lain-lain.
Lebih menyedihkan terdapat kes di mana pelajar perempuan diikat dan dikurung di tandas sekolah serta pelajar lelaki yang mengalami kecederaan serius akibat dipukul rakan sendiri.
Perbuatan sebegini bukan sahaja mencemarkan maruah individu malah menodai keharmonian institusi pendidikan kita. Adik-adik remaja sekalian janganlah menganiaya orang lain, jangan sakiti orang lain dan jangan zalimi orang lain. Perhatikan sabdaan Nabi SAW ini :
المُسْلِمُ مَنْ سَلِمَ المُسْلِمُونَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ
"Seorang Muslim itu ialah orang yang kaum Muslimin selamat daripada (gangguan) lidahnya dan tangannya"
Buli menyakiti orang sama ada dengan lisan atau perbuatan. Jelas sekali wahai adik-adikku! Buli satu perbuatan yang ditegah agama dan ianya tidak berperikemanusiaan. Oleh itu hentikanlah perbuatan ini walau di manapun kita berada.