Harta pusaka ialah sesuatu yang ditinggalkan oleh orang yang telah meninggal dunia, sama ada dalam bentuk harta benda atau hak yang akan diwarisi oleh waris si mati. Islam menegaskan pentingnya diselesaikan urusan harta pusaka supaya tidak meninggalkan masalah kepada waris selepas berlakunya kematian. Namun begitu, sikap memandang ringan terhadap urusan harta pusaka telah menyebabkan umat Islam mengalami kerugian kerana harta yang ditinggalkan oleh si mati tidak dituntut atau menghadapi masalah untuk dituntut.
Laporan menunjukkan angka dan nilai harta yang dibekukan dan tidak dituntut meningkat setiap tahun. Pada tahun 2007, jumlah harta yang dibekukan dan tidak dituntut bernilai 40 bilion ringgit, meningkat kepada 52 bilion ringgit pada tahun 2014, meningkat kepada 60 bilion ringgit pada tahun 2016 dan terus meningkat kepada 100 bilion ringgit pada tahun 2024. Apa yang lebih menyedihkan apabila 90% daripada harta yang dibekukan tersebut ialah milik orang Islam.
Fakta ini menunjukkan berlaku terlalu banyak harta umat Islam terbiar dan tidak dipindah milik kepada waris yang berhak. Kegagalan mengagihkan harta kepada waris dalam tempoh yang cepat menyebabkan kerugian besar kepada ahli-ahli keluarga juga kepada ekonomi umat Islam.
Antara punca harta ini terbiar dan tidak dimanfaatkan adalah kerana sikap waris yang bertangguh untuk menguruskan harta, jumlah harta yang sedikit yang tidak menarik minat ahli waris untuk membuat tuntutan, ahli waris yang hilang serta tidak dapat dikesan sama ada berhijrah ke luar negara atau telah bertukar alamat atau nama pendaftaran. Selain itu, perbalahan yang berlarutan sehingga berlapis-lapis waris juga menyebabkan proses menjadi sukar dan rumit.
Sesetengah masyarakat menganggap pengurusan harta pusaka hanya boleh diselesaikan melalui pembahagian secara faraid sahaja. Sikap ini boleh dikatakan antara penyebab berlakunya kelewatan pembahagian harta pusaka bagi seseorang si mati. Kelewatan urusan pembahagian harta pusaka akan berlaku sekiranya waris-waris tidak mengetahui kedudukan harta pusaka dan siapa sebenarnya yang tergolong sebagai ahli-ahli waris kepada si mati.
Keadaan ini akan menyebabkan harta-harta si mati terutamanya harta tak alih contohnya rumah, tanah, bangunan, premis dan kedai dan juga harta alih seperti wang simpanan, wang KWSP, simpanan Tabung Haji, saham, syer syarikat, barang kemas dan lain-lain akan menjadi beku dan tidak dapat diurus dengan betul. Kegagalan mengurus harta pusaka dengan baik akan mendorong berlakunya krisis dalam institusi keluarga yang membawa kepada pertelingkahan sesama waris. Hal ini kerana, terdapat waris yang menduduki harta si mati tanpa persetujuan waris-waris lain atau mengambil harta si mati secara salah. Lebih malang lagi terdapat waris yang sanggup memberi keterangan palsu di hadapan hakim semata-mata ingin merebut harta tersebut.
Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 188:
وَلَا تَأْكُلُوٓا۟ أَمْوَٰلَكُم بَيْنَكُم بِٱلْبَـٰطِلِ وَتُدْلُوا۟ بِهَآ إِلَى ٱلْحُكَّامِ لِتَأْكُلُوا۟ فَرِيقًۭا مِّنْ أَمْوَٰلِ ٱلنَّاسِ بِٱلْإِثْمِ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ ١٨٨
"Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya)"
Masyarakat Islam harus mempunyai kesedaran dari awal untuk menguruskan harta ketika masih hidup. Kenal pasti ahli waris kita sama ada yang dekat atau jauh. Muslim juga harus mengenal pasti kategori harta yang dimiliki, sama ada mudah dicairkan atau diuruskan dan sebaliknya. Harta kekal seperti rumah dan tanah perlu difikirkan sama ada mahu diuruskan dengan pembahagian melalui jualan atau dipindah milik. Proses pemindahan milik harta bukan satu proses yang mudah. Maka ahli keluarga harus sepakat untuk memudahkan urusan.
Ada ibu bapa yang membuat proses pertukaran nama pemilikan harta kekal ketika hidup seperti rumah dan tanah dengan niat memudahkan anak-anak di kemudian hari. Hasrat murni orang tua ini tidak harus disalahgunakan oleh anak-anak. Terdapat banyak kes anak-anak menjual harta orang tua yang telah dipindah milik ketika hidup yang menyebabkan ibu bapa hidup merempat dan terpaksa pula menyewa di tempat lain.
Ada juga kes ahli waris yang sengaja menyembunyikan maklumat ahli waris yang lain dengan niat untuk membolot harta dan ada perbalahan yang dibawa ke mahkamah untuk menafikan hak ahli keluarga dalam pemilikan harta. Hal ini sangat menyedihkan kerana harta yang ditinggalkan seharusnya memberikan manfaat kepada waris yang ditinggalkan tetapi sebaliknya membawa mudarat pula.
Haram hukumnya menyembunyikan harta daripada ahli waris yang berhak. Hukum ini jelas disebut dalam hadis Nabi SAW :
أَلْحِقُوا الْفَرَائِضَ بِأَهْلِهَا، فَمَا بَقِيَ فَهْوَ لأَوْلَى رَجُلٍ ذَكَرٍ
"Bahagikanlah harta pusaka kepada mereka yang berhak di kalangan ahli waris, jika berbaki maka lelakilah yang lebih berhak"
Allah SWT telah memperingatkan supaya para hambaNya tidak meninggalkan harta melainkan telah diuruskan dengan baik sebagaimana firmanNya dalam surah al-Baqarah ayat 180:
كُتِبَ عَلَيْكُمْ إِذَا حَضَرَ أَحَدَكُمُ ٱلْمَوْتُ إِن تَرَكَ خَيْرًا ٱلْوَصِيَّةُ لِلْوَٰلِدَيْنِ وَٱلْأَقْرَبِينَ بِٱلْمَعْرُوفِ ۖ حَقًّا عَلَى ٱلْمُتَّقِينَ ١٨٠
"Kamu diwajibkan, apabila seseorang daripada kamu hampir mati, jika ia ada meninggalkan harta, (hendaklah ia) membuat wasiat untuk ibu bapa dan kaum kerabat dengan cara yang baik (menurut peraturan agama), sebagai suatu kewajipan atas orang-orang yang bertakwa"
Ayat ini menegaskan harta yang ditinggalkan wajib diuruskan dengan segera dan diberikan haknya kepada ahli waris. Malangnya, terdapat sesetengah orang yang berfahaman salah, beranggapan tidak sesuai harta pusaka diuruskan segera kerana bimbang akan dilabel sebagai tamak oleh ahli waris. Fahaman salah sedemikian wajib diperbetulkan kerana harta yang ditinggalkan menjadi keperluan penting ahli waris bagi meneruskan kehidupan. Oleh itu wajib diselesaikan secepat mungkin.
Oleh itu, pengurusan harta hendaklah dibuat dengan jelas dan bertulis supaya tidak timbul salah faham dan keraguan ahli waris terhadap harta-harta yang telah dihibahkan, diwasiatkan dan diwakafkan. Ahli waris juga perlu diberitahu tentang peranan penama dan pemegang amanah bagi harta-harta si mati agar harta-harta tersebut tidak disalahgunakan atau diambil dengan cara yang bukan haknya. Ingatlah sesungguhnya harta itu adalah suatu amanah daripada Allah SWT. Semua harta kita akan dipersoal dan dipertanggungjawabkan dari mana ianya diperolehi dan ke mana ia dimanfaatkan. Oleh itu pastikan harta itu dapat diuruskan dengan baik dan diberikan kepada mereka yang berhak dan disayangi dengan cara yang paling adil.
Semoga kita semua sedar bahawa pengurusan harta pusaka bukan hanya urusan dunia, tetapi jalan mencapai reda Allah. Semoga kita tergolong dalam kalangan yang menjaga amanah, menegakkan keadilan dan berusaha menyatukan keluarga.