recent
Terkini | تركيني

Segagah Khalid Al-Walid

Laman utama

Apabila disebut “pahlawan”, fikiran kita terus membayangkan tentang seseorang yang gagah dan berani. Sesungguhnya jasa dan pengorbanan para pahlawan negara yang bermati-matian membela dan mempertahankan kedaulatan negara tidak seharusnya dipandang ringan. Perjuangan mereka hakikatnya amat bernilai di sisi Allah SWT kerana mempertahankan maruah negara dan memelihara agama.


Salah seorang daripada sahabat Rasulullah صلى الله عليه وسلم, tokoh pahlawan Islam yang masyhur ialah Khalid bin al-Walid al-Mughirah. Khalid bin al-Walid sangat dikenali kerana taktik dan strategi ketenteraannya hingga beliau antara panglima perang yang tidak pernah kalah sepanjang kariernya. Beliau memimpin pasukan perang ketika zaman Rasulullah صلى الله عليه وسلم dan pemerintahan Abu Bakar al-Siddiq RA hingga zaman Umar al-Khattab RA. Kecekapan dan keberaniannya mengendalikan pasukan ketenteraan menyebabkan beliau digelar Saifullah al-Maslul (Pedang Allah Yang Terhunus). Pada awalnya, beliau merupakan panglima tentera Kaum Kafir Quraisy. Ketika Perang Uhud, beliau telah menumpaskan beberapa orang tentera Islam. Melihat kepada keberanian dan kemampuan yang ada pada Khalid al-Walid, Rasulullah SAW pernah mengungkapkan ;

“Aku hairan kepada seorang panglima Khalid bin Walid yang gagah dan cekap, tetapi kenapa dia tidak faham dengan ajaran Allah yang aku bawa? Sekiranya Khalid bin Walid tahu dan faham dengan ajaran yang aku bawa ini, dia akan berjuang bersamaku, Khalid akan aku jadikan jururundingku yang duduk berdamping di sampingku”.


Akhirnya, dengan hidayah Allah SWT, beliau masuk Islam pada tahun kelapan selepas berlakunya perjanjian damai antara orang Islam dengan Quraisy Mekah yang bernama Perjanjian Hudaibiyah dan beliau juga memohon maaf kepada Nabi Muhammad SAW atas tindakan beliau sebelum ini.


Sungguhpun Khalid al-Walid merupakan seorang panglima perang yang masyhur, namun ketika pemerintahan Khalifah Umar bin al-Khattab, beliau telah dipecat dan digantikan dengan Abu ‘Ubaidah al-Jarrah RA. Khalifah Umar al-Khattab mengambil tindakan sedemikian antaranya bagi memelihara akidah dan keyakinan umat Islam ketika itu agar tidak terlalu bergantung harap kepada Khalid bin al-Walid sebagai panglima tentera untuk mencapai kemenangan dalam peperangan. Sebagai umat Islam, segala kebergantungan mesti disandarkan kepada Allah SWT dan bukanlah kepada makhluk. Kemenangan yang dicapai dalam setiap peperangan merupakan dengan izin dan pertolongan Allah SWT jua. Inilah yang ingin diterapkan oleh khalifah ke dalam jiwa umat Islam ketika itu. 


Sesuatu yang mesti menjadi teladan dan ikutan kepada kita melalui peristiwa ini ialah keterbukaan Khalid bin al-Walid menerima pemecatannya walaupun ketika itu beliau sedang menyusun strategi ketenteraan bagi menakluki Parsi. Beliau juga tetap komited dengan tanggungjawabnya dan tidak membuat sebarang protes atau merajuk dengan tindakan khalifah. Beliau tetap taat dan patuh dengan arahan yang diterima dan tenang menerimanya. Beliau menerima dengan hati yang ikhlas kerana Allah SWT dan kepatuhannya kepada ketua negara. Inilah sifat dan keperibadian Khalid bin al-Walid yang mengagumkan kita semua dan patut dicontohi.


Khalid juga dikenali sebagai penakluk yang paling agung dalam sejarah Islam. Beliau telah menyertai lebih 50 peperangan sejak memeluk Islam dan tidak pernah tewas. Sejarahnya begitu panjang, namun apa yang dapat kita ketahui adalah beliau telah berjaya membuka Iraq dan Syam dengan mengambil masa hanya dalam setahun.


Ketika tiba waktu kematiannya, Khalid bin Walid berkata; “Aku telah menyertai 100 peperangan atau lebih kurang demikian. Tidak ada satu jengkal pun di tubuhku, kecuali terdapat bekas luka pukulan pedang, hujaman tombak, atau tusukan anak panah. Namun lihatlah aku sekarang, akan wafat di atas tempat tidurku. Maka, janganlah mata ini terpejam (wafat) sebagaimana terpejamnya mata orang-orang penakut. Tidak ada suatu amalan yang paling aku harapkan daripada laa ilaaha illallaah, dan aku terus menjaga kalimat tersebut (tidak melakukan syirik)”.


Pada tanggal 18 Ramadhan 21H, Khalid bin al-Walid pun meninggal dunia ketika usianya 55 tahun. Pemergiannya meninggalkan legasi yang sangat besar terhadap perluasan wilayah Islam. Saidina Umar bin al-Khattab sangat bersedih dengan pemergian Sang Pedang Allah Yang Terhunus. Malah senjata dan kuda tunggangan Khalid al-Walid didermakan untuk berjihad pada jalan Allah SWT. Semoga Allah SWT meredhaimu wahai Khalid al-Walid, mengampuni kesalahanmu dan kita semua dapat bertemu di syurga Allah SWT yang penuh indah.


Sempena Tahun Baharu Hijrah 1444 yang akan masuk mulai esok, daripada catatan perjalanan hijrah Rasulullah SAW, kita seharusnya mengambil nilai kepahlawanan dalam memperjuangkan maruah agama, bangsa dan negara. Sifat-sifat yang telah disebut tadi seperti sabar, berani, tegas dan lain-lain lagi merupakan kunci utama yang mesti dipegang. Rasulullah SAW dan para sahabat merupakan contoh terbaik dalam kita menawan semangat pahlawan apabila mereka semua telah mengorbankan seluruh jiwa dan raga mereka menyebarkan ajaran Islam hingga ia sampai kepada kita pada hari ini. Salah satu buktinya ialah melalui peristiwa hijrah dari Makkah al-Mukarramah ke Madinah al-Munawwarah. Pelbagai peristiwa yang berlaku terakam dalam banyak catatan sejarah patut menjadi teladan dan pengajaran dalam menghadapi kehidupan dunia yang semakin mencabar.


Hijrah - dalam konteks hari ini ialah berusaha untuk mengubah diri menjadi individu yang lebih baik dan bermanfaat kepada orang lain. Masing-masing dalam ruang lingkup tugas tersendiri bertanggungjawab memastikan hubungan sesama anggota masyarakat berjalan atas prinsip keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran. Nilai-nilai inilah menjadi pemangkin kepada kemakmuran negara bertepatan juga dengan tema Sambutan Maal Hijrah pada tahun 1444H iaitu “Keluarga Malaysia Pemangkin Kemakmuran”.


Kesimpulan yang boleh diambil untuk panduan bersama :

Pertama: Kepahlawanan merupakan sifat terpuji bertepatan dengan matlamat menjaga agama, maruah, bangsa dan negara. Justeru, perjuangan para pahlawan negara yang terdiri daripada tentera, polis dan lain-lain juga atas dokongan para ulama dalam membebaskan agama, bangsa dan tanah air dari dijajah mesti dihargai dan disyukuri.

Kedua: Keberanian, kesetiaan, dan keikhlasan Khalid bin al-Walid patut menjadi contoh dalam menerapkan semangat kepahlawanan dalam diri.

Ketiga: Perjuangan Rasulullah SAW dan para sahabat yang tercatat dalam peristiwa hijrah merupakan teladan dan pengajaran yang baik untuk kita membentuk kemakmuran negara.


Renungkan firman Allah SWT dalam Surah al-Nisaa’ ayat 100 :

 وَمَن يُهَاجِرْ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ يَجِدْ فِى ٱلْأَرْضِ مُرَٰغَمًا كَثِيرًا وَسَعَةً ۚ وَمَن يَخْرُجْ مِنۢ بَيْتِهِۦ مُهَاجِرًا إِلَى ٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ ثُمَّ يُدْرِكْهُ ٱلْمَوْتُ فَقَدْ وَقَعَ أَجْرُهُۥ عَلَى ٱللَّهِ ۗ وَكَانَ ٱللَّهُ غَفُورًا رَّحِيمًا

Dan sesiapa yang berhijrah pada jalan Allah (untuk membela dan menegakkan Islam), nescaya ia akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur; dan sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan berhijrah kepada Allah dan RasulNya, kemudian ia mati (dalam perjalanan), maka sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.


google-playkhamsatmostaqltradent