Islam ialah agama kesejahteraan. Ia bukan sahaja menuntut agar tubuh badan sihat, tetapi juga memelihara kesihatan jiwa dan akal. Dalam maqasid syariah, antara perkara yang mesti dijaga ialah akal dan nyawa kerana keduanya merupakan asas kepada kesejahteraan hidup.
Firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah ayat 195 :
وَأَنفِقُوا۟ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ وَلَا تُلْقُوا۟ بِأَيْدِيكُمْ إِلَى ٱلتَّهْلُكَةِ ۛ وَأَحْسِنُوٓا۟ ۛ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلْمُحْسِنِينَ ١٩٥
"Dan belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) agama Allah, dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil); dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya"
Kesihatan mental merupakan satu keadaan di mana individu menyedari potensinya sendiri, dapat mengendalikan tekanan hidup dengan berkesan, boleh bekerja secara produktif, serta mampu menyumbang kepada masyarakat. Ia menentukan bagaimana kita berfikir dan bertindak dalam menghadapi kehidupan. Namun hari ini, ramai dalam kalangan kita menderita dalam senyap — kelihatan tenang di luar, tetapi terluka di dalam. Mungkin mereka itu pasangan kita, anak-anak kita, jiran-jiran kita atau sahabat di tempat kerja.
Kesihatan mental memainkan peranan yang amat penting dalam pembentukan emosi, tingkah laku dan kesejahteraan pelajar sekolah. Namun, kebelakangan ini, negara dikejutkan dengan beberapa kes buli, rogol dan bunuh yang melibatkan pelajar, sekali gus mencerminkan tahap kesihatan mental yang semakin membimbangkan dalam kalangan remaja. Tekanan akademik, pengaruh media sosial, kurangnya sokongan emosi daripada keluarga serta kegagalan mengurus emosi menjadi antara punca utama masalah ini.
Pelajar yang mengalami tekanan mental berisiko bertindak di luar kawalan atau menjadi mangsa kepada tindakan ganas rakan sebaya. Oleh itu, usaha meningkatkan kesedaran tentang kepentingan kesihatan mental perlu dipergiatkan di sekolah melalui pendidikan emosi, bimbingan kaunseling dan sokongan komuniti. Ibu bapa, guru serta masyarakat harus bekerjasama memastikan pelajar mendapat persekitaran yang selamat, penuh kasih sayang dan bebas daripada keganasan bagi melahirkan generasi yang seimbang dari segi mental dan emosi.
Kajian Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS 2023) menunjukkan bahawa 1 daripada 3 rakyat Malaysia berusia 16 tahun ke atas mengalami simptom masalah kesihatan mental, meningkat hampir sekali ganda daripada 1 dalam 5 orang pada tahun 2019. Lebih membimbangkan, hampir separuh daripada remaja Malaysia dilaporkan mengalami tanda-tanda kemurungan dan keresahan.
Menurut Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 1,114 kes bunuh diri direkodkan pada tahun 2024 berbanding 1,087 kes pada tahun sebelumnya. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pula melaporkan bahawa setiap 40 saat, seorang manusia di dunia mengakhiri hidupnya sendiri akibat tekanan mental yang tidak tertanggung.
Angka-angka ini bukan sekadar statistik — ia adalah manifestasi jeritan jiwa-jiwa yang terluka yang mungkin tidak pernah kita dengar kerana mereka memilih untuk diam.
Masih ramai dalam kalangan masyarakat kita yang menganggap masalah kesihatan mental sebagai kelemahan iman. Sedangkan Rasulullah SAW sendiri pernah bersedih, menangis dan diuji dengan perasaan kehilangan.
Sabda Nabi SAW bersabda :
َدْمَعُ الْعَيْنُ وَيَحْزَنُ الْقَلْبُ وَلاَ نَقُولُ إِلاَّ مَا يَرْضَى رَبُّنَا
"Sesungguhnya hati ini boleh berduka, mata ini boleh menangis, tetapi kami tidak akan berkata melainkan yang diredai Allah"
(Riwayat al-Bukhari : 1303 dan Muslim : 2315)
Kesedihan bukan tanda lemah tetapi tanda kita masih memiliki hati yang hidup. Islam tidak pernah menafikan emosi malah mengajarkan cara menguruskannya dengan iman dan hikmah.
Menghadapi krisis kesihatan mental bukan sekadar tugas doktor atau kaunselor. Ia adalah tanggungjawab bersama — individu, keluarga dan masyarakat. Dalam Islam, menenangkan hati dan membantu orang lain yang sedang dalam kesusahan ialah amalan yang tinggi nilainya di sisi Allah SWT.
Marilah kita semua agar bertindak dengan penuh kasih sayang dan kebijaksanaan melalui langkah-langkah berikut :
Pertama : Dekatilah Allah dengan doa dan munajat.
Ketenangan tidak datang daripada dunia, tetapi daripada hubungan yang rapat dengan Pencipta. Firman Allah SWT dalam Surah Ar-Ra'd ayat 28 :
أَلَا بِذِكْرِ ٱللَّهِ تَطْمَئِنُّ ٱلْقُلُوبُ
"Ketahuilah, dengan mengingati Allah hati menjadi tenang"
Jadikanlah amalan berzikir, solat dan tadabbur al-Quran sebagai terapi jiwa yang berterusan.
Kedua : Amalkan gaya hidup sihat dan seimbang.
Ketenangan jiwa lahir daripada tubuh badan yang sihat. Tidur yang cukup, pemakanan seimbang, melakukan aktiviti fizikal, pengurusan stres yang berkesan dan meluangkan masa yang berkualiti bersama ahli keluarga dan sahabat handai adalah benteng daripada tekanan jiwa. Islam mengajar kita bahawa menjaga kesihatan adalah sebahagian daripada ibadah.
Ketiga : Tampil ke hadapan mendapatkan rawatan.
Rasulullah SAW bersabda :
مَا أَنْزَلَ اللَّهُ دَاءً إِلاَّ أَنْزَلَ لَهُ شِفَاءً
"Allah tidak menurunkan sesuatu penyakit melainkan diturunkan bersamanya penawar"
(Hadis Riwayat al-Bukhari : 5678)
Hari ini, perkhidmatan kesihatan mental telah diperluas oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) — bukan sahaja di hospital-hospital besar, bahkan kini turut disediakan di klinik-klinik kesihatan seluruh negara. Terdapat pegawai psikologi kaunseling, pegawai psikologi klinikal serta doktor-doktor pakar yang sedia membantu dengan penuh profesional. Selain itu, KKM juga menyediakan Talian HEAL 15555 iaitu talian bantuan psikologi yang dikendalikan oleh pegawai psikologi KKM, beroperasi dari jam 8 pagi hingga 12 tengah malam setiap hari bagi memberi sokongan emosi dan khidmat kaunseling kepada mereka yang memerlukan.
Keempat : Sokonglah ahli keluarga dan jiran yang terkesan.
Jangan menjauhkan diri daripada mereka yang sedang berjuang melawan tekanan. Kadangkala, mendengar dengan empati dan memberi sokongan sudah cukup menenangkan hati yang sedang terluka. Mungkin ada dalam kalangan kita yang malu dan segan utuk mendapatkan rawatan disebabkan stigma atau perasaan kurang selesa untuk tampil mendapatkan bantuan disebabkan bimbang pandangan negatif masyarakat.
Sabda Rasulullah SAW :
لا يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يُحِبَّ لأَخِيهِ مَا يُحِبُّ لِنَفْسِهِ
"Tidak beriman seseorang kamu sehingga dia mengasihi saudaranya sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri"
(Riwayat al-Bukhari : 13 dan Muslim : 45)
Kelima : Perkukuhkan peranan komuniti, masjid dan para pemimpin masyarakat.
Masjid bukan sahaja tempat ibadah, tetapi pusat ketenangan dan kasih sayang dalam komuniti. Institusi masjid boleh diperkasa sebagai ruang selamat bagi mereka yang sedang diuji — tempat mereka diterima, bukan dihakimi. Dalam masa yang sama, pemimpin masyarakat seperti penghulu, ketua kampung, ahli jawatankuasa masjid, ahli majlis dan pemimpin setempat hendaklah memainkan peranan aktif dalam memupuk kesejahteraan mental dalam kariah. Mereka boleh menjadi jambatan kasih yang menghubungkan individu yang terkesan dengan perkhidmatan bantuan dan sokongan yang disediakan oleh kerajaan dan jabatan agama.
Keenam : Sebarkan kasih sayang dan kata yang baik.
Dalam dunia yang penuh tekanan, kata-kata yang baik adalah ubat hati. Rasulullah SAW bersabda :
تَبَسُّمُكَ فِي وَجْهِ أَخِيكَ لَكَ صَدَقَةٌ
"Senyumanmu kepada saudaramu adalah sedekah"
(Hadis Riwayat at-Tirmizi : 1956)
Maka sebarkanlah kata yang menenangkan, bukan menyakitkan. Jadilah punca ketenangan, bukan penyebab kegelisahan. Kerap bertanya khabar, kerana itu mungkin boleh meringankan beban yang sedang ditanggung apabila mengetahui masih ada yang ambil peduli.
Kesihatan mental adalah tanda kesejahteraan iman. Jiwa yang sihat melahirkan keluarga bahagia, masyarakat harmoni dan ummah yang kuat. Marilah kita menjadi insan yang menyantuni jiwa yang terluka, agar Allah menenangkan hati-hati kita pula di dunia dan akhirat.
