recent
Terkini | تركيني

Solat : Manifestasi CInta Abadi

Laman utama

Setiap insan memiliki keinginan untuk mencintai dan dicintai. Kita cintakan ibu bapa, pasangan, anak-anak, harta, kedudukan dan sebagainya. Namun, cinta yang paling agung dan paling utama untuk diserahkan sepenuhnya ialah cinta kepada Allah 'Azza wa Jalla. Tapi bagaimana kita membuktikan cinta itu? Iaitu tentu sekali dengan cara pengabdian yang tulus dan khusyuk dalam solat kita setiap hari, kerana solat adalah manifestasi cinta yang paling utama.

Buktinya ialah solat sebagai simbol perhubungan antara hamba dan Pencipta. Solat bukan hanya gerakan fizikal, bahkan solat adalah pertemuan hati dengan Rabbnya. Ia adalah komunikasi istimewa antara insan yang hina dengan Tuhan Yang Maha Agung. Nabi SAW bersabda :

الصَّلاَةُ نُورُ الْمُؤْمِنِ

"Solat itu adalah cahaya bagi orang yang beriman"

(HR Ibn Majah, No 4210)

Solat adalah cahaya hati, solat menerangi hidup kita, menuntun langkah kita dari kegelapan maksiat kepada cahaya ketaatan.

Solat adalah jalan untuk menjaga maruah. Ia menundukkan nafsu meredakan amarah dan membersihkan hati dan sifat yang mazmumah. Tetapi syaratnya : solat itu mestilah dilaksanakan dengan penuh sedar, faham, khusyuk dan toma'ninah (طمأنينة).

Lihatlah contoh para sahabat. Saidina Ali RA apabila ditanya, "Apakah saat paling manis dalam hidupmu?" Beliau menjawab, "Saat aku berdiri di hadapan Allah dalam solat malamku."

Bilal bin Rabah RA pula, bila waktu solat masuk, Nabi akan berkata kepadanya :

يَا بِلاَلُ أَقِمِ الصَّلاَةَ أَرِحْنَا بِهَا

"Wahai Bilal! Dirikan solat, tenangkan kami dengan solat"

(HR Abu Daud, No 4985)

Solat adalah tempat mereka berehat dari beban dunia. Bagaimana dengan kita hari ini? Adakah kita rasa ringan dan tenang bila masuk waktu solat? Atau kita rasa terpaksa, beban atau tergesa-gesa menghabiskannya?

Diriwayatkan dalam satu peperangan, para sahabat tetap mendirikan solat berjemaah walaupun musuh berada sangat dekat. Mereka solat dalam keadaan bergilir menjaga belakang. Ini dinamakan solat al-khawf (solat ketika dalam ketakutan atau peperangan). 

Apa yang kita belajar? Solat bukan boleh ditinggalkan walau dalam perang. Tapi hari ini, dalam suasana aman dan selesa, kita tinggalkan solat hanya kerana urusan dunia; mesyuarat, perniagaan, pekerjaan, bahkan hanya kerana sibuk menonton sukan atau media sosial. Ini bukan cinta, tapi pengkhianatan.

Sabda Rasulullah SAW :

إِنَّ أَوَّلَ مَا يُحَاسَبُ بِهِ الْعَبْدُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مِنْ عَمَلِهِ صَلاَتُهُ فَإِنْ صَلُحَتْ فَقَدْ أَفْلَحَ وَأَنْجَحَ وَإِنْ فَسَدَتْ فَقَدْ خَابَ وَخَسِرَ

"Sesungguhnya amalan seorang hamba yang pertama kali akan dihisab pada hari kiamat ialah solatnya. Jika solatnya baik, maka dia akan beroleh kejayaan dan keselamatan. Jika rosak solatnya, maka rugi dan binasalah dia"

(Riwayat al-Tirmizi, No 413)

Bayangkan, jika kita gagal dalam solat, semua amalan lain akan tertolak.

Peristiwa Isra' dan Mi'raj adalah bukti terbesar bahawa solat adalah hadiah cinta dari Allah kepada Rasulullah SAW dan umatnya. Ketika Nabi SAW mengalami kesedihan yang mendalam – kehilangan Saidatina Khadijah RA dan Abu Talib RA, serta menerima penghinaan di Taif, Allah SWT "menjemput" Nabi SAW ke langit. Dan apa yang Allah hadiahkan dalam pertemuan agung itu? Bukan senjata, bukan bala tentera, tetapi solat.

Solat diberikan bukan di bumi seperti syariat yang lain, tetapi di atas langit ketujuh, menandakan betapa mulianya ibadah ini. Asalnya 50 waktu sehari. Namun setelah Nabi SAW berulang-alik memohon pengurangan (atas nasihat Nabi Musa), akhirnya ditetapkan 5 waktu solat, tetapi pahala tetap seperti 50. Betapa Allah SWT kasihkan kita tetapi malangnya kita hari ini, 5 waktu pun kita abaikan dan lengahkan.

Marilah kita bermuhasabah :

  • Bagaimana hubungan kita dengan solat?
  • Adakah kita khusyuk atau hanya melafazkan bacaan tanpa penghayatan? Tepuk dada, tanya iman kita.

Ramai antara kita bangun awal pagi demi kerja dan keperluan diri, tetapi berat untuk bangun Subuh. Kita sanggup menunggu giliran dua jam di hospital, tetapi tidak sabar menanti dua minit untuk solat. Adakah ini bukti cinta kepada Allah?

Ingatlah, cinta menuntut pengorbanan dan komitmen. Jika kita benar-benar cinta kepada Allah SWT, kita akan berusaha menjaga solat seperti kita menjaga orang yang kita kasihi.

Marilah kita laksanakan beberapa perkara penting yang membuktikan kehidupan kita terhadap ibadah solat :-

  1. Jagalah waktu solat. Solat di awal waktu, jangan kita tangguh.
  2. Dirikan solat berjemaah, terutama bagi lelaki.
  3. Fahamkan makna bacaan dalam solat.
  4. Tingkatkan kualiti khusyuk, tinggal seketika urusan dunia.
  5. Ajak keluarga dan anak-anak menjaga solat bersama-sama.

Jadikanlah solat sebagai keutamaan dalam hidup kita. Orang yang menjaga solat, Allah pasti akan menjaga hidupnya. Orang yang menjadikan solat sebagai pelindungnya, Allah akan melindunginya dari segala keburukan.

Firman Allah dalam Surah Al-Baqarah ayat 45 :

وَٱسْتَعِينُوا۟ بِٱلصَّبْرِ وَٱلصَّلَوٰةِ ۚ وَإِنَّهَا لَكَبِيرَةٌ إِلَّا عَلَى ٱلْخَـٰشِعِينَ ٤٥

"Mintalah pertolongan dengan sabar dan solat. Sesungguhnya ia amat berat kecuali bagi orang-orang yang khusyuk"

Ya Allah, kurniakan kami kemanisan solat dan beribadah. Kurniakan kami hati yang rindu kepada solat dan jadikan anak cucu keturunan kami daripada kalangan orang yang mendirikan solat.

Solat juga adalah benteng pertama dan terakhir dalam hidup kita. Ia mencegah zina, rasuah, maksiat dan kegelapan jiwa. Jika solat kita masih belum menjauhkan kita dari kemungkaran, maka muhasabahlah diri: adakah kita benar-benar khusyuk dan memahami makna solat?

Maka, bangunlah kita mendirikan solat bukan sekadar sebagai kewajipan, tetapi sebagai tanda cinta yang tiada padam kepada Allah Yang Maha Kekal; kerana pada setiap rukuk itu ada ketundukan hati, pada setiap sujud itu ada pengakuan cinta dan pada setiap salam itu ada janji abadi bahawa kita kembali hanya kepada-Nya.

Hidupkanlah solatmu, nescaya engkau akan dihidupkan dengan kasih sayang Allah, dan jika mati solatmu, nescaya engkau akan mati dalam kehampaan. Justeru, genggamlah solat ini sebagai nadi iman, benteng kehidupan dan jambatan menuju syurga yang dijanjikan.

google-playkhamsatmostaqltradent