recent
Terkini | تركيني

Kasih Ibu Bapa, Di Mana Kan Ku Cari Ganti

Laman utama

Ibu bapa adalah insan mulia yang menjadi asbab permulaan kehidupan kita di dunia ini. Tanpa ibu bapa, kita tidak akan melihat dunia ini. Allah SWT meletakkan tanggungjawab yang besar ke atas anak-anak agar mentaati dan mengasihi ibu bapa, sehingga perintah mentaati kedua-duanya disusuli selepas perintah mentauhidkan Allah.

Firman Allah SWT dalam Surah Al-Isra', ayat 23 :

وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوٓا۟ إِلَّآ إِيَّاهُ وَبِٱلْوَٰلِدَيْنِ إِحْسَـٰنًا ۚ إِمَّا يَبْلُغَنَّ عِندَكَ ٱلْكِبَرَ أَحَدُهُمَآ أَوْ كِلَاهُمَا فَلَا تَقُل لَّهُمَآ أُفٍّۢ وَلَا تَنْهَرْهُمَا وَقُل لَّهُمَا قَوْلًۭا كَرِيمًۭا ٢٣

"(Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Uh", dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun)"

Ayat ini menjadi dalil betapa pentingnya berbakti kepada ibu bapa. Pengorbanan mereka terlalu besar buat kita sebagai anak.

Cuba kita renungkan bagaimana pengorbanan seorang ibu. Dari kehamilan, melahirkan hingga menyusukan kita, semua itu dilakukan dengan penuh cinta walaupun terpaksa menanggung sakit tanpa mengharap balasan kita. Begitu juga seorang bapa yang bekerja keras siang dan malam, mencari nafkah tanpa menghiraukan penat lelah agar anak-anaknya dapat hidup dengan baik dan mendapat pendidikan terbaik. Mereka menjaga kita bagai menatang minyak yang penuh. Seekor nyamuk pun tak dibenarkan hinggap ke atas kulit kita. Mereka sanggup berjaga malam semasa kita menangis atau tidak selesa untuk tidur. Bahkan, kesakitan yang mereka alami tidak dihiraukan kerana kasih dan sayang mereka kepada kita. Pengorbanan mereka tidak akan terbalas walau apa cara sekalipun.

Kita begitu kesal dengan khabar-khabar yang sampai ke telinga kita, berkenaan isu anak-anak yang tidak bersyukur dengan kewujudan ibu bapa mereka. Pada zaman teknologi dan moden kini, masih terdapat berita tentang cacian, makian, celaan, herdikan bahkan sanggup memukul ibu bapa. Sedangkan Allah SWT melarang kita daripada berkata “Uh” kepada ibu bapa, inikan pula perbuatan-perbuatan lain yang dapat memudaratkan mereka.

Firman Allah SWT dalam Surah Al-Isra’ di atas, ayat tersebut menerangkan tentang larangan untuk mengasari dan menderhakai ibu bapa walau apa cara dan keadaan sekalipun. Ingatlah jasa mereka kepada kita tidak terkira banyaknya.

Lupakah kita tentang letaknya redha Allah pada redha ibu dan ayah?

Daripada Abdullah bin Umar RA, Rasulullah SAW bersabda :

"Keredhaan Allah terletak pada keredhaan dua ibu bapa dan kemurkaan Allah terletak pada kemurkaan kedua-duanya"

(Hadith riwayat at-Tirmizi)

Berbaktilah kepada ibu bapa kita dengan sebaiknya, kerana peluang yang dihidangkan oleh Allah hanya sekali seumur hidup. Amat rugi bagi yang mensia- siakan peluang yang ada ini, kerana ibu bapa adalah jalan untuk kita menuju syurgaNya meskipun kita penat mencari rezeki pasti akan terubat apabila melihat senyuman mereka. Betapa bahagianya mereka jika anak-anak memberi tumpuan dan meluangkan masa bersama.

Di samping itu, jiwa dan perasaan orang tua perlu disantuni dengan baik kerana ketika ini jiwa mereka sangat sensitif dan mudah tersinggung. Justeru, bagi yang masih mempunyai ibu bapa, carilah peluang dan ruang untuk menjaga mereka dengan cara paling baik. Penuhilah segala keperluan hidup mereka dengan cara yang terbaik. Semoga kita juga akan disantuni dengan baik oleh anak-anak kita apabila kita tua kelak.

Berbagai cara boleh kita berbakti kepada ibu bapa kita, antaranya adalah seperti berikut:

Pertama : Bagi yang tinggal berjauhan, keraplah berhubung untuk bertanya khabar dan mengambil tahu tentang keadaan diri mereka. Jika ada rezeki lebih, hulurkanlah sejumlah wang kepada mereka setiap bulan sebagai tanda ingatan kita kepada mereka.

Daripada Abu Hurairah RA Nabi Muhammad SAW pernah berpesan kepada kita:

"Celakalah, celakalah, celakalah! Ditanya kepada baginda: ‘Siapa, wahai Rasulullah?’ Baginda menjawab: ‘Sesiapa yang mendapati kedua ibu bapanya yang sudah tua, salah seorang atau kedua-duanya, tetapi dia tidak masuk syurga (kerana gagal berbakti kepada mereka)"

(Riwayat Muslim)

Kedua: Bagi yang masih berada di alam persekolahan atau pengajian, belajarlah bersungguh-sungguh. Hapuskanlah penat lelah mereka dengan kejayaan anda dari sudut pencapaian ilmu dan berakhlak mulia.

Ketiga: Bagi individu yang pernah melalui layanan kurang baik daripada kedua ibu bapanya, ia bukan alasan untuk mengabaikan atau membalas dendam terhadap ibu bapa. Amat dibimbangi, kelak anda pula diperlakukan dan dilayan sedemikian oleh cahaya mata sendiri. Tamatkanlah ia dengan kemaafan.

Keempat: Bagi individu yang ibu bapanya telah meninggalkan dunia yang sementara ini, berbaktilah kepada mereka dengan sentiasa mendoakan mereka. Ini bertepatan dengan satu hadis daripada Abu Hurairah RA sabda Nabi Muhammad SAW:

"Apabila mati anak Adam, maka terputuslah segala amalannya melainkan tiga perkara: Sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang sentiasa mendoakannya"

(Hadis Riwayat Muslim)

Moga-moga itu semua menjadi asbab, Allah SWT membuka luas pintu rezeki dan membentangkan hamparan barakah, serta redha-Nya kepada mereka yang memuliakan kedua-dua ibubapa. Rebutlah peluang yang terhidang di hadapan mata kita yang datang sekali seumur hidup.

Kembang melati ditepi telaga,
Petik sekuntum ke dalam raga,
Kasih ayah membawa bahagia,
Kasih ibu membawa ke syurga.

google-playkhamsatmostaqltradent