Tanah air bukan hanya sekadar hamparan yang dipijak dan bentangan bumi yang didiami serta tanah tumpah darah kita sehingga kini. Bahkan lebih dari itu tanah air adalah amanah dan kurniaan Allah SWT yang wajib kita syukuri dan pertahankan. Dalam al-Quran, Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Baqarah ayat 126 :
وَإِذْ قَالَ إِبْرَٰهِـۧمُ رَبِّ ٱجْعَلْ هَـٰذَا بَلَدًا ءَامِنًۭا وَٱرْزُقْ أَهْلَهُۥ مِنَ ٱلثَّمَرَٰتِ مَنْ ءَامَنَ مِنْهُم بِٱللَّهِ وَٱلْيَوْمِ ٱلْـَٔاخِرِ
"Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhanku! Jadikanlah (negeri Makkah) ini, negeri yang aman sentosa, dan berikanlah rezeki dari berbagai jenis buah-buahan kepada penduduknya, iaitu orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat di antara mereka"
Doa Nabi Ibrahim AS ini menjadi asas kepada kecintaan dan keprihatinan terhadap tanah air. Tanah air adalah tempat kita membesar, tempat tumpahnya darah, tempat kita membina kehidupan, membina keluarga, menegakkan agama dan menyebarkan dakwah Islamiah. Islam mengajar umatnya agar menghargai dan mencintai tanah air.
Contoh terbaik sosok agung Baginda Rasulullah صلى الله عليه وسلم sendiri amat mencintai tanah airnya, Makkah al-Mukarramah. Ketika detik permulaan peristiwa Hijrah menuju ke Madinah, baginda berbicara dengan bumi kelahiran Baginda (Makkah) seraya bersabda :
وَاللَّهِ إِنَّكِ لَخَيْرُ أَرْضِ اللَّهِ، وَأَحَبُّ أَرْضِ اللَّهِ إِلَى اللَّهِ، وَلَوْلَا أَنِّي أُخْرِجْتُ مِنْكِ مَا خَرَجْتُ
"Demi Allah, sesungguhnya engkau (wahai Makkah) adalah sebaik-baik bumi Allah dan bumi Allah yang paling aku cintai. Kalaulah aku tidak diusir darimu, nescaya aku tidak akan keluar"
(Hadis Riwayat al-Tirmizi, 3925)
Hadis ini jelas menunjukkan bahawa mencintai tanah air adalah fitrah dan Islam tidak menolak bahkan mengiktiraf kecintaan terhadap tanah air. Mencintai tanah air bukan sekadar dengan kata-kata, bahkan perlu diterjemahkan dengan menjaga keamanan, mempertahankan kedaulatan, memakmurkan pembangunan, menunaikan tanggungjawab sebagai pemimpin dan juga rakyat, serta menjauhi perbuatan yang boleh merosakkan dan menjejaskan negara.
Firman Allah SWT dalam Surah ar-Rum, ayat 41 :
ظَهَرَ ٱلْفَسَادُ فِى ٱلْبَرِّ وَٱلْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِى ٱلنَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعْضَ ٱلَّذِى عَمِلُوا۟ لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ ٤١
"Telah zahir (nampak nyata) kerosakan di darat dan di laut disebabkan oleh perbuatan tangan manusia sendiri; (Allah menghendaki) supaya mereka merasai sebahagian daripada akibat perbuatan mereka itu, agar mereka kembali (bertaubat dan memperbaiki diri)"
Dunia hari ini menyaksikan bumi Gaza terus di dalam konflik dan krisis, walaupun genjatan senjata telah diumumkan sementara waktu. Namun hati nurani sebagai manusia pasti terasa dengan realiti yang berlaku di depan mata kita. Rumah musnah, hospital hancur, anak-anak kehilangan keluarga, tahanan yang dibebaskan penuh kesan derita. Namun Rakyat Gaza di Palestin tetap teguh mempertahankan tanah air mereka dengan penuh keimanan dan keberanian.
Mereka diuji dengan kehilangan dan penderitaan, namun keimanan dan kesabaran menjadi nadi perjuangan di jalan Allah. Kerosakan di darat dan laut telah nyata — bangunan musnah, tanah watan dicemari dan kehidupan rakyat tidak lagi aman. Semua ini berpunca daripada kezaliman manusia yang menolak keadilan dan kemanusiaan, tambahan kerakusan kuasa yang menindas bangsa dan agama lain. Derita yang dialami umat Islam di tanah suci Palestin akibat kezaliman yang dilakukan oleh tangan manusia sendiri, sebagaimana maksud ayat tersebut. Bagi kita yang hidup aman di Malaysia mestilah mengambil iktibar – bahawa keamanan adalah anugerah dan ujian itu datang apabila manusia mula lupa untuk bersyukur kepadaNya.
Firman Allah SWT dalam Surah Ibrahim, ayat 7 :
لَئِن شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُمْ ۖ وَلَئِن كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِى لَشَدِيدٌۭ
"Sesungguhnya jika kamu bersyukur, nescaya Aku akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu kufur, sesungguhnya azab-Ku amat pedih"
Justeru itu, kita perlu memainkan peranan cintakan tanah air kerana ia adalah sebahagian daripada tanggungjawab keimanan dan akhlak yang terpuji.
Orang yang benar-benar mencintai tanah air ialah mereka yang :
Pertama : Berusaha menjaga keamanan, iaitu mereka tidak menjadi punca kepada kekacauan, fitnah atau perpecahan kerana kefasadan yakni kerosakan adalah sesuatu yang dibenci oleh Allah.
Kedua : Berusaha memakmurkan negara, kerana cinta kita terhadap tanah air bukan hanya dengan kata-kata tetapi dibuktikan dengan kerja keras membangunkan bumi dan segala yang mendiaminya.
Ketiga : Bersatu dalam kebenaran, umat yang cintakan tanah air pasti akan menjaga perpaduan kerana mereka sedar bahawa perpecahan natijahnya kehancuran. Di samping bersikap menghormati perbezaan dan menolak fahaman ekstrem, liberal atau kebencian kaum yang boleh memecah belahkan masyarakat.
Keempat : Prihatin terhadap umat Islam lain, kerana cinta tanah air tidak menafikan kasih kita terhadap saudara seagama. Mereka yang benar-benar beriman pasti merasa sedih pedih dan hiba apabila saudara seagama kita ditindas dizalimi sebegitu rupa. Sepertimana sabda Baginda Rasulullah SAW.
مَثَلُ الْمُؤْمِنِينَ فِي تَوَادِّهِمْ، وَتَرَاحُمِهِمْ، وَتَعَاطُفِهِمْ، مَثَلُ الْجَسَدِ، إِذَا اشْتَكَى مِنْهُ عُضْوٌ، تَدَاعَى لَهُ سَائِرُ الْجَسَدِ بِالسَّهَرِ وَالْحُمَّى
"Perumpamaan golongan yang beriman pada sifat berkasih sayang, saling merahmati dan saling membantu adalah seperti satu badan. Apabila ada anggota badan yang sakit, ia menyebabkan keseluruhan tubuh badan tidak dapat tidur dan juga menjadi demam"
(Hadis riwayat Imam al-Bukhari, 6011 & Muslim, 2586)
Kelima : Mencintai tanah air adalah dengan sentiasa mensyukuri nikmat kedamaian yang selama ini kita kecapi dan rasai.
.jpg)