recent
Terkini | تركيني

Subahat Maksiat

Laman utama

Islam memerintahkan supaya kita melaksanakan amar ma’ruf dan nahi mungkar seperti dinyatakan oleh Allah SWT melalui Surah ali Imraan ayat 104 :

وَلْتَكُن مِّنكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى ٱلْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِٱلْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ ٱلْمُنكَرِ ۚ وَأُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلْمُفْلِحُونَ

Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.


Seiring dengan kepesatan dan kecanggihan teknologi, peningkatan kadar jenayah yang melibatkan kesalahan jenayah Syariah seperti arak, judi, pergaulan bebas, penghinaan terhadap agama, serta aktiviti tidak bermoral dalam kalangan umat Islam merupakan cabaran yang harus ditangani secara bersama.

Apabila kita melihat sesuatu perkara yang bertentangan dengan agama dan undang-undang, maka ia perlulah ditegah agar dapat memelihara umat Islam daripada terjerumus ke dalam kerosakan dan kebinasaan. Oleh itu, tanggungjawab mencegah kemungkaran merupakan suatu tuntutan, sebagaimana sabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Abi Said al-Khudri RA yang bermaksud :

“Sesiapa dalam kalangan kamu yang melihat akan kemungkaran maka hendaklah dia mengubah (menghalang) dengan tangannya, sekiranya dia tidak mampu maka ubahlah dengan lidahnya (perkataan), sekiranya dia masih tidak mampu maka ubahlah dengan hatinya. Dan itulah selemah-lemah iman”.

Daripada hadis ini jelas menunjukkan bahawa sesuatu kejahatan itu perlu ditegah dari terus berlaku. Tegahan dengan tangan boleh dimaksudkan sebagai kuasa yang telah diberikan tugas dan tanggungjawab ke atas pemerintah melalui peruntukan undang-undang. Dalam konteks undang-undang kesalahan jenayah Syariah, Pegawai Penguat Kuasa Agama di negeri-negeri berperanan memelihara kesucian agama Islam daripada dicemari dan sentiasa bersedia serta komited menggalas tanggungjawab sepertimana yang telah diamanahkan dengan penuh kejujuran agar kemungkaran dan kemaksiatan dapat dibendung.

Namun begitu, bagi orang awam yang tidak mempunyai autoriti mencegah sesuatu kemungkaran, maka Rasulullah صلى الله عليه وسلم menyuruh untuk mengubah kemungkaran itu dengan lisan iaitu dengan cara memberi nasihat atau teguran yang berhikmah supaya kejahatan itu boleh dihalang serta tidak memberi kesan buruk kepada si pelaku dan juga masyarakat umum. Teguran yang diberikan itu perlulah baik dan berhikmah sepertimana yang telah dituntut dalam Islam. Firman Allah SWT dalam Surah al-Nahl ayat 125 :

ٱدْعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِٱلْحِكْمَةِ وَٱلْمَوْعِظَةِ ٱلْحَسَنَةِ ۖ وَجَـٰدِلْهُم بِٱلَّتِى هِىَ أَحْسَنُ ۚ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَن ضَلَّ عَن سَبِيلِهِۦ ۖ وَهُوَ أَعْلَمُ بِٱلْمُهْتَدِينَ

Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.


Ungkapan “tidak mahu menjaga tepi kain orang” mungkin tidak sesuai untuk hal yang melibatkan kemungkaran dan kemaksiatan. Kaedah mengubah kemungkaran melalui lisan ialah kita tidak bersubahat mahupun berdiam diri dengan menyembunyikan kejahatan yang berlaku di sekeliling kita sehingga mampu mendatangkan kerosakan dan menggugat keharmonian masyarakat. Sifat seperti ini merupakan suatu dosa besar yang ditegah sama sekali oleh agama. Perkara ini telah dinyatakan oleh Rasulullah صلى الله عليه وسلم yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Ali bin Abi Talib RA yang bermaksud :

“Allah melaknat sesiapa yang menyembelih untuk selain Allah SWT, Allah melaknat sesiapa yang mencuri (merampas) sempadan tanah (orang lain), Allah melaknat sesiapa yang melaknat ibu bapanya dan Allah melaknat sesiapa yang melindungi orang yang melakukan kejahatan”.

Daripada hadis ini dapat difahami bahawa perbuatan menutup atau menyembunyikan kejahatan yang boleh memudharatkan kesejahteraan adalah haram hukumnya. Kita berasa amat bimbang, terdapat segelintir individu yang sanggup bersekongkol dalam menyembunyikan kejahatan malah menjadi pelindung kepada pelaku jenayah. Oleh itu atas dasar tanggungjawab, umat Islam hendaklah sama-sama mengubah kemungkaran yang berlaku di hadapan mata kita dengan melaporkan kepada pihak berkuasa.

Jika seseorang itu tidak mampu mengubah dengan tangan atau lisannya maka sewajarnya ada perasaan benci terhadap maksiat dan kejahatan yang berlaku di hadapan matanya. Inilah yang disebut sebagai selemah-lemah iman. Jika kita tidak berasa apa-apa dengan sebarang kemungkaran yang berlaku, kita bimbang termasuk dalam kalangan orang yang tidak memiliki iman seperti yang disebut dalam hadis. Ketika itu, seorang sahabat bertanya kepada Rasulullah :صلى الله عليه وسلم

“Wahai Rasulullah! Apakah yang dimaksudkan dengan iman? Rasulullah صلى الله عليه وسلم menjawab : Sekiranya engkau berasa tenang dengan amal solehmu dan engkau tidak selesa (sensitif) dengan kemungkaran yang kamu lakukan, maka sesungguhnya kamu adalah orang yang beriman”.

(Hadis riwayat Imam Ahmad dan al-Nasai’e)


Sebagai kesimpulannya, 

Pertama: Kita hendaklah berkerjasama sebagai pemantau sukarela yang berperanan menjadi mata dan telinga pihak berkuasa agama dengan cara menyalurkan maklumat terhadap sesuatu salah laku yang melibatkan kesalahan jenayah syariah.

Kedua: Menanamkan rasa tanggungjawab, keinsafan dan kesedaran untuk sama-sama menjamin keselamatan dan ketenteraman demi keamanan dan keharmonian hidup.

Ketiga: Setiap individu dan masyarakat hendaklah bekerjasama dengan pihak berkuasa agama dalam membanteras jenayah syariah.

Marilah kita merenungi firman Allah SWT dalam Surah al-Maaidah ayat 2:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ لَا تُحِلُّوا۟ شَعَـٰٓئِرَ ٱللَّهِ وَلَا ٱلشَّهْرَ ٱلْحَرَامَ وَلَا ٱلْهَدْىَ وَلَا ٱلْقَلَـٰٓئِدَ وَلَآ ءَآمِّينَ ٱلْبَيْتَ ٱلْحَرَامَ يَبْتَغُونَ فَضْلًا مِّن رَّبِّهِمْ وَرِضْوَٰنًا ۚ وَإِذَا حَلَلْتُمْ فَٱصْطَادُوا۟ ۚ وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَـَٔانُ قَوْمٍ أَن صَدُّوكُمْ عَنِ ٱلْمَسْجِدِ ٱلْحَرَامِ أَن تَعْتَدُوا۟ ۘ وَتَعَاوَنُوا۟ عَلَى ٱلْبِرِّ وَٱلتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا۟ عَلَى ٱلْإِثْمِ وَٱلْعُدْوَٰنِ ۚ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ ۖ إِنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلْعِقَابِ

Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu ingat halal membuat sesuka hati mengenai syiar-syiar ugama Allah, dan mengenai bulan-bulan yang dihormati, dan mengenai binatang-binatang yang dihadiahkan (ke Makkah untuk korban), dan mengenai kalong-kalong binatang hadiah itu, dan mengenai orang-orang yang menuju ke Baitullah Al-Haraam, yang bertujuan mencari limpah kurnia dari Tuhan mereka (dengan jalan perniagaan) dan mencari keredaanNya (dengan mengerjakan ibadat Haji di Tanah Suci); dan apabila kamu telah selesai dari ihram maka bolehlah kamu berburu. Dan jangan sekali-kali kebencian kamu kepada suatu kaum kerana mereka pernah menghalangi kamu dari masjid Al-Haraam itu - mendorong kamu menceroboh. Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya).

google-playkhamsatmostaqltradent