recent
Terkini | تركيني

Tanggungjawab Mengimarahkan Masjid

Laman utama


Masjid dari segi bahasa bermaksud tempat sujud bagi manusia. Masjid juga boleh diertikan sebagai rumah ibadah dan bangunan khas tempat umat Islam melakukan ibadah solat fardhu, solat jumaat dan ibadah-ibadah lain. Masjid bukan sekadar lambang dan syiar dalam kehidupan masyarakat Islam bahkan sejarah Islam telah menunjukkan bahawa masjid merupakan pusat pendidikan, pusat pentadbiran, pusat penyatuan umat yang meliputi akidah, ibadah dan akhlak.

Kehebatan sesebuah masjid bukanlah bergantung kepada senibina semata-mata akan tetapu kepada tahap pengimarahannya yang berasaskan kepada kekuatan hubungan dengan Allah dan hubungan sesama manusia yang merupakan asas kepada kebahagiaan hidup. Firman Allah SWT dalam surah At-Taubah ayat 18 :

إِنَّمَا يَعْمُرُ مَسَـٰجِدَ ٱللَّهِ مَنْ ءَامَنَ بِٱللَّهِ وَٱلْيَوْمِ ٱلْـَٔاخِرِ وَأَقَامَ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَى ٱلزَّكَوٰةَ وَلَمْ يَخْشَ إِلَّا ٱللَّهَ ۖ فَعَسَىٰٓ أُو۟لَـٰٓئِكَ أَن يَكُونُوا۟ مِنَ ٱلْمُهْتَدِينَ ١٨

"Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk."

Sebagai umat Islam kita perlu melibatkan diri memperuntukkan waktu dan mengorbankan tenaga untuk sama-sama mengimarahkan masjid dengan pelbagai pengisian amalan dan kegiatan yang membawa kepada kebaikan. Antara amalan pengimarahan yang perlu dilakukan ialah dengan memperkasakan solat berjemaah di masjid. Hal ini kerana solat berjemaah merupakan amalan yang tidak pernah ditinggalkanoleh baginda Rasulullah SAW sepanjang kehidupan baginda sehinggalah baginda wafat.

Amalan solat berjemaah ini merupakan kekuatan kepada umat Islam untuk memperkukuh keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT, di samping mempunyai pahala yang sangat besar. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari daripada Ibnu Umar RAnhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

"Sembahyang berjemaah adalah lebih utama (baik) daripada sembahyang bersendirian dengan 27 darjat"

Selain itu, solat berjemaah juga mempunyai pelbagai hikmah dan keistimewaan. Antaranya ialah solat berjemaah dapat menyatupadukan umat Islam dalam melakukan kebaikan secara bersama. Solat berjemaah juga dapat membentuk umat Islam menjadi umat yang berperaturan dalam mematuhi perintah Allah di samping dapat melatih para jemaah agar sentiasa mematuhi imam selaku ketua.

Dalam usaha mengimarahkan rumah Allah juga, umat Islam hendaklah menjadikan masjid sebagai pusat menimba ilmu. Oleh itu, bagi mereka yang kurang pengetahuan ilmu agama, boleh menjadikan masjid tempat untuk memperlajari ajaran Islam. Manakala mereka yang berilmu perlu menjadikan masjid sebagai medan untuk menyampaikan ilmu agama kepada ahli masyarakat. 

Umat Islam juga perlu mengelakkan perbuatan menjadikan masjid sebagai tempat mencari pengaruh, kuasa, hasut menghasut, merebut jawatan dan sebagainya. Sebaliknya umat Islam hendaklah membudayakan sifat kasih sayang, hormat menghormati, bersangka baik dan saling menasihati demi menjaga hubungan sesama manusia. Jadikan masjid sebagai tempat untuk kita membantu saudara-saudara kita yang dalam kesusahan dan kesukaran. Masjid juga perlu dijadikan sebagai tempat untuk kita membentuk kesatuan bagi memperkukuhkan silaturrahim dan kekuatan umat Islam.

Selain itu, kita perlu memastikan masjid sentiasa berada di dalam keadaan bersih, ceria dan kemas. Umat Islam hendaklah bertanggungjawab menjaga kebersihan serta kecantikan masjid. Jangan sesekali kita melakukan kekotoran hingga mencemarkan masjid. Begitu juga mereka yang datang ke masjid perlu memastikan anggota badan dalam keadaan bersih dan berpakaian yang sesuai dengan perintah agama. Kita juga dianjurkan supaya memakai wangi-wangian yang menyenangkan ketika berada di dalam masjid. Elakkan hadir ke masjid dalam keadaan yang tidak kemas, kotor, berbau hingga boleh mengganggu para jemaah lain yang akan menyebabkan hilangnya kekhusyukkan dalam solat. Firman Allah SWT dalam surah Al-A'raf ayat 31 :

يَـٰبَنِىٓ ءَادَمَ خُذُوا۟ زِينَتَكُمْ عِندَ كُلِّ مَسْجِدٍۢ وَكُلُوا۟ وَٱشْرَبُوا۟ وَلَا تُسْرِفُوٓا۟ ۚ إِنَّهُۥ لَا يُحِبُّ ٱلْمُسْرِفِينَ ٣١

"Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang), dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas."

Kesimpulannya, marilah sama-sama kita memperkasakan peranan masjid dengan berusaha untuk megimarahkan dan memakmurkan masjid. Marilah kita mengembalikan peranan masjid menjadi sebuah pusat umat Islam yang unggul dalam masyarakat dan menjadi pusat utama bagi meninggikan syiar Islam. Semoga dengan usaha yang kita lakukan akan dapat meningkatkan keimanan dan menjadikan kita tergolong dalam golongan yang hatinya sentiasa terikat dengan masjid. 

فِى بُيُوتٍ أَذِنَ ٱللَّهُ أَن تُرْفَعَ وَيُذْكَرَ فِيهَا ٱسْمُهُۥ يُسَبِّحُ لَهُۥ فِيهَا بِٱلْغُدُوِّ وَٱلْـَٔاصَالِ ٣٦

رِجَالٌۭ لَّا تُلْهِيهِمْ تِجَـٰرَةٌۭ وَلَا بَيْعٌ عَن ذِكْرِ ٱللَّهِ وَإِقَامِ ٱلصَّلَوٰةِ وَإِيتَآءِ ٱلزَّكَوٰةِ ۙ يَخَافُونَ يَوْمًۭا تَتَقَلَّبُ فِيهِ ٱلْقُلُوبُ وَٱلْأَبْصَـٰرُ ٣٧

"(Nur hidayah petunjuk Allah itu bersinar dengan nyatanya terutama sekali) di rumah-rumah ibadat yang diperintahkan oleh Allah supaya dimuliakan keadaannya dan disebut serta diperingat nama Allah padanya; di situ juga dikerjakan ibadat mensuci dan memuji Allah pada waktu pagi dan petang.

(Ibadat itu dikerjakan oleh) orang-orang yang kuat imannya yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual-beli daripada menyebut serta mengingati Allah, dan mendirikan sembahyang serta memberi zakat; mereka takutkan hari (kiamat) yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan"

google-playkhamsatmostaqltradent