recent
Terkini | تركيني

Jadilah Pemimpin Yang Dirindui

Laman utama


Menjadi pemimpin bermaksud seseorang itu telah memikul satu bebanan atau tanggungjawab yang amat berat dan terpaksa berhadapan di mahkamah Rabbul Jalil di akhirat nanti. Dia bukan sahaja bertanggungjawab terhadap dirinya tetapi dia juga turut bertanggungjawab tentang rakyat yang dipimpinnya. Situasi ini sepatutnya menimbulkan rasa takut dan gerun dalam hati setiap mereka yang menyedari betapa besarnya bebanan yang terpaksa mereka tanggung apabila mereka berkuasa.

Namun, bagi sesetengah manusia yang tidak sedarkan diri, kedudukan dan kekuasaan menjadi satu kegilaan bahkan menjadi satu rebutan buat mereka. Sehinggakan kadang-kadang mereka sanggup bercakaran sesama sendiri demi untuk mendapatkan kedudukan dan kekuasaan yang diimpikan. Ada yang melihat jawatan dan kuasa sebagai satu amanah dari Allah, namun tidak kurang pula yang melihat ianya adalah sebagai satu kesempatan dan peluang untuk mereka mencapai kemasyhuran, kedudukan serta mengaut kekayaan sebanyak mungkin sepanjang mereka menjadi pemimpin.

Khalifah Umar bin Abdul Aziz adalah salah seorang pemimpin Islam yang telah berjaya melakarkan sejarahnya yang tersendiri walaupun mengikut catatan sejarahnya beliau hanya sempat memerintah selama dua tahun sahaja. Beliau telah berjaya mengukir namanya dengan penuh keindahan di persada sejarah yang tetap dikenang sehingga ke hari ini. Hubungan jiwanya yang mengharapkan habuan dan balasan yang kekal di sisi Allah pada hari akhirat kelak telah menjadikan kepimpinannya penuh dengan keadilan dan mengundang rahmat dari Allah SWT yang mencurah-curah. Sekalipun pakaiannya hanyalah dari kain murahan, kehidupannya amatlah sederhana walaupun hidupnya dikelilingi dengan segala jenis kemewahan tetapi keadilannya tidak dapat dibeli dengan apa-apa harga sekali pun.

Sejarah tidak pernah mengagung-agungkan kemewahan harga pakaian atau kediaman seseorang pemimpin dengan kenangan yang indah. Bahkan dalam sejarah, sikap suka bermewah-mewah di kalangan para pemimpin telah banyak menghasilkan sejarah hitam buat mereka. Ini kerana, sejarah hanya akan mengingati keadilan dan kejujuran seseorang pemimpin.

Khalifah Umar bin Abd Aziz ketika mana beliau dilantik menjadi khalifah, jelas kelihatan pada wajahnya perasaan sedih dan hiba, walaupun pada tanggapan orang lain dia sepatutnya bergembira dengan pangkat dan kedudukan yang telah diberikan kepadanya.

Ketika para pembesar negeri menanti-nanti kemunculannya di khalayak ramai setelah beliau baru dilantik menjadi khalifah, mereka bertanya kepada anaknya, "Kenapa ayahmu belum keluar untuk bertemu dengan kami?". 

Lalu jawab anaknya : "Sejak ayahku dilantik menjadi khalifah, beliau terus bersendirian bersolat dan menangis. Apabila ibuku masuk kepadanya, airmatanya bercucuran hingga ke janggutnya, dan apabila ibuku bertanya kepadanya dia berkata : "Wahai Fatimah! Aku telah dikalungkan dengan urusan umat Muhammad ini yang berbagai bangsa. Maka aku sedang memikirkan tentang nasib rakyatku yang fakir, mereka yang kelaparan, mereka yang sakit lagi menderita, orang-orang kampung yang susah, mereka yang dizalimi dan dipaksa, tawanan perang, orang tua yang uzur, mereka yang mempunyai ahli keluarga yang ramai sedangkan wangnya sedikit, dan seumpama mereka yang berada di segala tempat dan penjuru negara. Aku sedar bahawa Tuhanku akan bertanya kepadaku mengenai mereka semua pada hari kiamat kelak, tetapi aku bimbang alasanku tidak cukup kukuh untuk menjawab setiap soalan itu, lalu aku pun menangis kerana mengenangkan nasibku di akhirat nanti".

Umat manusia amat merindui dan menanti-nanti untuk kita memiliki pemimpin yang penuh dengan keikhlasan dan kejujuran seperti ini.

Alangkah indahnya negeri dan negara ini jika kita dikurniakan pemimpin yang takutkan Allah serta sanggup meletakkan keadilan mengatasi segala-galanya walaupun melibatkan kepentingan diri mereka sendiri.

Sejarah telah merakamkan bagaimana sikap Khalifah Umar al-Khattab RA ketika beliau berkuasa sebagai khalifah. Pernah berlaku pertikaian antara beliau dengan seorang yahudi yang merupakan rakyat di bawah pemerintahannya. Petikaian berlaku apabila yahudi berkenaan hendak menjualkan kudanya, lalu Kahlifah Umar yang nampaknya berminat dengan kuda tersebut meminta untuk mencubanya terlebih dahulu. Namun setelah dicubanya, cacat kaki kuda yahudi itu disebabkan tercedera.

Lalu Kalifah Umar berkata kepada yahudi itu, "Carilah seseorang yang dapat menghakimi kes ini".

Yahudi itu berkata, "Aku redha dengan Shuraih al-Iraqi sebagai Hakim".

Shuraih al-Iraqi adalah seorang sahabat yang bertakwa lagi bijaksana dalam penghakiman, dan apabila diangkat kes ini kepada Shuraih lalu dia berkata kepada Umar yang merupakan khalifah yang berkuasa pada waktu itu,

"Wahai Khalifah, engkau telah mengambil kuda itu dalam keadaan yang elok dan tidak cacat, maka engkau bertanggungjawap ke atasnya dan hendaklah engkau pulangkan kuda itu dalam keadaan yang elok dan tidak cacat kepada tuannya".

Di atas ketegasan Shuraih menegakkan keadilan sekalipun melibatkan peribadi Khalifah, maka Shuraih telah dilantik menjadi hakim besar pada ketika itu.

Umat ini amat merindui dan mencintai suasana pemerintahan yang adil sepertimana khalifah-khalifah Islam yang terdahulu terutamanya Khalifah Umar al-Khattab RA.

Beliau juga pernah berkata kepada Abu Musa al-Asyari sewaktu Abu Musa dilantik menjadi Gabenor, "Wahai Abu Musa! Sesungguhnya engkau hanyalah salah seorang daripada orang ramai, melainkan Allah SWT menjadikan engkau yang paling berat menanggung beban di antara mereka".

Justeru itulah, keadilan dan kesaksamaan adalah teras utama kepada pemerintahan dalam Islam. Disebabkan keadilan yang pernah ditunjukkan oleh para khalifah terdahulu, maka ribuan manusia menganut Islam, atau paling tidak pun mereka ingin berlindung di bawah pemerintahan Islam.

Namun, apabila pemimpin-pemimpin Islam gagal untuk mempamerkan sistem dan perlaksanaan pemerintahan yang adil lagi saksama, maka bukan umat Islam sahaja yang tidak mahu menerima Islam, bahkan mereka yang bukan Islam pun tidak akan memandang hormat kepada Islam.

Jika ada pemimpin yang menangis di dunia ini kerana mengenangkan nasib rakyat dan nasib mereka di akhirat nanti, maka rakyat akan tersenyum gembira dan bahagia disebabkan keadilan dan kasih sayang yang mereka nikmati daripada pemimpin-pemimpin seumpama ini, dan pemimpin-pemimpin seumpama ini tidak akan menangis lagi di akhirat nanti.

Namun, jika ada pemimpin yang asyik ketawa dan bergembira di dunia ini sedangkan rakyatnya menangis menderita, maka pemimpin-pemimpin ini dibimbangi akan menangis besar di akhirat nanti. Jadilah pemimpin yang dirindui.

وَلَا تَحْسَبَنَّ ٱللَّهَ غَـٰفِلًا عَمَّا يَعْمَلُ ٱلظَّـٰلِمُونَ ۚ إِنَّمَا يُؤَخِّرُهُمْ لِيَوْمٍۢ تَشْخَصُ فِيهِ ٱلْأَبْصَـٰرُ ٤٢

مُهْطِعِينَ مُقْنِعِى رُءُوسِهِمْ لَا يَرْتَدُّ إِلَيْهِمْ طَرْفُهُمْ ۖ وَأَفْـِٔدَتُهُمْ هَوَآءٌۭ ٤٣

"Dan janganlah engkau (Wahai Muhammad) menyangka Allah itu lalai terhadap apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim, Sesungguhnya Allah hanya melambatkan balasan buat mereka hingga ke suatu hari yang padanya terbeliak kaku pemandangan mereka, (kerana gerun dan gementar melihat keadaan yang berlaku). (dalam pada itu) mereka terburu-buru (menyahut panggilan ke padang Mahsyar) sambil mendongakkan kepala mereka dengan mata tidak berkelip, dan hati mereka tidak bersemangat (kerana bingung dan cemas)"

(Surah Ibrahim : 42-43)

google-playkhamsatmostaqltradent