Pecah amanah menurut Kamus Dewan Edisi Keempat bermaksud perbuatan mensia-siakan amanah (kepercayaan) orang dan lain-lain (dgn menipu dan sebagainya).
عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ مَا خَطَبَنَا نَبِيُّ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِلَّا قَالَ لَا إِيمَانَ لِمَنْ لَا أَمَانَةَ لَهُ وَلَا دِينَ لِمَنْ لَا عَهْدَ لَهُ
Daripada Anas bin Malik RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Tidaklah sempurna iman seseorang bagi sesiapa yang tidak beramanah dan tidak sempurnalah agama seseorang bagi sesiapa yang tidak menunaikan janjinya."
(HR Ahmad : 11935)
Pengajaran hadis :
- Menjaga amanah adalah sebahagian daripada iman. Tidak sempurna iman seseorang yang tidak menunaikan amanah.
- Menjadi kewajipan kepada kita menunaikan amanah kepada yang berhak. Firman Allah dalam surah an-Nisa: 58
إِنَّ ٱللَّهَ يَأۡمُرُكُمۡ أَن تُؤَدُّواْ ٱلۡأَمَٰنَٰتِ إِلَىٰٓ أَهۡلِهَا
"Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya)." - Orang yang tidak menyempurnakan amanah seperti amanah kepimpinan, adalah orang yang memiliki sifat munafik.
- Tidak sempurna agama seseorang bagi yang tidak memenuhi janji. Firman Allah (an-Nahl: 91)
وَأَوۡفُواْ بِعَهۡدِ ٱللَّهِ إِذَا عَٰهَدتُّم
"Dan sempurnakanlah janji dan perintah-perintah Allah apabila kamu berjanji" - Menjaga amanah dan menunaikan janji adalah ciri orang beriman yang berjaya, sebagaimana firman Allah dalam surah Al-Mukminun ayat 8:
قَدۡ أَفۡلَحَ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ ١ …… وَٱلَّذِينَ هُمۡ لِأَمَٰنَٰتِهِمۡ وَعَهۡدِهِمۡ رَٰعُونَ ٨
"Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman (iaitu) (1) ….. Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya (8)"