Islam adalah agama yang menyeru umatnya kepada persamaan taraf antara manusia tanpa membezakan warna kulit, bangsa, etnik dan keturunan. Islam mengiktiraf semua manusia adalah sama kecuali yang membezakannya adalah takwa. Firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat ayat 13:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَـٰكُم مِّن ذَكَرٍۢ وَأُنثَىٰ وَجَعَلْنَـٰكُمْ شُعُوبًۭا وَقَبَآئِلَ لِتَعَارَفُوٓا۟ ۚ إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ ٱللَّهِ أَتْقَىٰكُمْ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌۭ ١٣
"Wahai umat manusia! Sesungguhnya, Kami telah menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu pelbagai bangsa dan puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah adalah orang yang paling bertakwa antara kamu (bukan kerana keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya, Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu)"
Islam melarang umatnya berbangga dengan keturunan dan bangsa sebagaimana yang dilakukan oleh golongan Yahudi dengan menganggap bahawa keturunan bani Israel sahajalah yang mulia. Manakala bangsa selain Yahudi adalah golongan kelas kedua seperti haiwan dan boleh diperlakukan dengan apa sahaja sehingga dihalalkan membunuh.
Islam amat melarang umatnya melakukan penghinaan disebabkan perbezaan keturunan atau warna kulit. Sebagaimana teguran Rasulullah SAW kepada Abu Zar al Ghifari ketika Abu Zar bertengkar dengan seorang hamba yang berkulit hitam serta merendah-rendahkan keturunannya. Tatkala Rasulullah SAW mendengar kata-kata Abu Zar tersebut maka Rasulullah SAW menegurnya yang bermaksud:
"Wahai Abu Dzar apakah kamu menghina ibunya? Sesungguhnya kamu masih memiliki (sifat) jahiliyyah. Saudara-saudara kamu adalah tanggungan kamu, Allah telah menjadikan mereka di bawah tangan kamu. Maka siapa yang saudaranya berada di bawah tangannya (tanggungannya) maka jika dia makan berilah makanan seperti yang dia makan, bila dia berpakaian berilah seperti yang dia pakai, janganlah kamu membebani mereka sesuatu yang di luar batas kemampuan mereka. Jika kamu membebani mereka, maka bantulah mereka".
Allah SWT lebih-lebih lagi sesama Islam sebagaimana firman-Nya dalam surah al-Hujurat ayat 11:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ لَا يَسْخَرْ قَوْمٌۭ مِّن قَوْمٍ عَسَىٰٓ أَن يَكُونُوا۟ خَيْرًۭا مِّنْهُمْ وَلَا نِسَآءٌۭ مِّن نِّسَآءٍ عَسَىٰٓ أَن يَكُنَّ خَيْرًۭا مِّنْهُنَّ ۖ وَلَا تَلْمِزُوٓا۟ أَنفُسَكُمْ وَلَا تَنَابَزُوا۟ بِٱلْأَلْقَـٰبِ ۖ بِئْسَ ٱلِٱسْمُ ٱلْفُسُوقُ بَعْدَ ٱلْإِيمَـٰنِ ۚ وَمَن لَّمْ يَتُبْ فَأُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلظَّـٰلِمُونَ ١١
"Wahai orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang yang zalim."
Oleh itu, syariat Islam melarang umatnya memburuk-burukkan atau menyebarkan keaiban saudara seislam bagi tujuan menghina dan menjatuhkan maruah mereka. Janganlah kita menjadi golongan terlibat dan menyokong perbuatan yang dilarang oleh Allah SWT, dengan menyebarkan fitnah dan keaiban saudara seislam melalui media sosial, sebagaimana yang berleluasa pada masa sekarang. Ingatlah! perbuatan tersebut termasuk salah satu kezaliman terhadap saudara seislam kita.
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱجْتَنِبُوا۟ كَثِيرًۭا مِّنَ ٱلظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ ٱلظَّنِّ إِثْمٌۭ ۖ وَلَا تَجَسَّسُوا۟ وَلَا يَغْتَب بَّعْضُكُم بَعْضًا ۚ أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَن يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًۭا فَكَرِهْتُمُوهُ ۚ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ تَوَّابٌۭ رَّحِيمٌۭ ١٢
"Wahai orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani"