Negara kita adalah sebuah negara demokrasi berparlimen dan Raja Berperlembagaan. Dalam tempoh lima tahun sekali, satu pilihanraya umum (PRU) mesti diadakan untuk memilih wakil-wakil rakyat bagi membentuk kerajaan baru. Semua rakyat diberi hak dan kebebasan untuk memilih dan menentukan wakil rakyat yang terbaik untuk menduduki kerusi Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri.
Menurut perangkaan yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), jumlah pengundi berdaftar pada PRU15 ialah 21.1 juta pemilih. Pertambahan hampir 30% berbanding PRU sebelumnya. Sehubungan dengan itu, tunaikanlah tanggungjawab kita sebagai pemilih pada kali ini.
Berpolitik merupakan sebahagian daripada tanggungjawab kepada umat Islam. Oleh itu, sebagai muslim kita hendaklah mengambil bahagian atau sekurang-kurangnya menjadi pemilih untuk membentuk kerajaan. Penglibatan umat Islam dalam bidang politik amat perlu dalam memilih pemimpin yang benar-benar layak dan bertanggungjawab terhadap kepimpinannya.
Hadis daripada Ibnu Umar RA bahawa Rasulullah SAW bersabda :
أَل كُلُّكُمْ رَاعٍ وَ كُلُّكُمْ مَسْؤلٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ
"Bahawa sesungguhnya setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan dipersoalkan tentang kepimpinan"
(Riwayat Bukhari dan Muslim)
Ini bermakna kepentingan melantik pemimpin adalah untuk menjaga kebajikan rakyat dan menguruskan negara serta melaksanakan kemaslahatannya. Atas sebab inilah Islam begitu memandang berat soal memilih pemimpin dalam semua peringkat kehidupan.
Kita perlu sedar dalam keghairahan berkempen sama ada secara fizikal atau alam maya, kadangkala akan melonggarkan perpaduan di kalangan kita. Perkara ini berlaku adalah kerana kelalaian kita yang terlalu asyik berkempen hingga terpesong ke dalam kancah kutuk mengutuk, hina menghina, aib mengaib dan lebih dahsyat lagi fitnah memfitnah. Sedangkan semua ini dilarang oleh Allah SWT sebagaimana ditegaskan-Nya melalui firman-Nya dalam surah al-Hujuraat ayat 12 :
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱجْتَنِبُوا۟ كَثِيرًۭا مِّنَ ٱلظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ ٱلظَّنِّ إِثْمٌۭ ۖ وَلَا تَجَسَّسُوا۟ وَلَا يَغْتَب بَّعْضُكُم بَعْضًا ۚ أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَن يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًۭا فَكَرِهْتُمُوهُ ۚ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ تَوَّابٌۭ رَّحِيمٌۭ ١٢
"Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa, dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang, dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah. Sesungguhnya Allah penerima taubat, lagi Maha Mengasihani"
Apa yang diharapkan agar semua pihak hendaklah menyampaikan berita yang benar dan bertanggungjawab bagi setiap fakta yang disampaikan. Manakala bagi sesiapa sahaja yang mendengarnya hendaklah sentiasa tabayyun atau memastikan kebenarannya sebelum menerima dan menyebarkannya. Ingatlah firman Allah SWT dalam surah al-Hujuraat ayat 6 :
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ إِن جَآءَكُمْ فَاسِقٌۢ بِنَبَإٍۢ فَتَبَيَّنُوٓا۟ أَن تُصِيبُوا۟ قَوْمًۢا بِجَهَـٰلَةٍۢ فَتُصْبِحُوا۟ عَلَىٰ مَا فَعَلْتُمْ نَـٰدِمِينَ ٦
"Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya), sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan"
Jagalah tingkahlaku dan percakapan kita termasuk bahasa yang kita gunakan terutama dalam media sosial kerana Islam mendidik umatnya berbahasa lunak dalam apa keadaan sekalipun. Tidak salah menyuarakan pendapat, cadangan dan idea, namun biarlah mengikut etika dan saling menghormati antara satu sama lain. Di negara kita, sensitiviti dan hormat menghormati antara kaum perlu diberi perhatian.
Biarlah selepas PRU15 ini, kita semua menjadi seperti kata pepatah "Biduk berlalu kiambang bertaut". Marilah kita kembali menjalin mahabbah, mengikat semula ikatan ukhuwwah, menyulam kembali hati yang retak dan resah kerana amarah, menyiram kasih sayang kerana cinta kepada Islam dan ummah. Jangan kerana seketika berlainan fikrah kita meracuni kasih sayang yang telah sekian lama kita bina. Kepada para pemimpin yang telah dipilih, laksanakanlah tanggungjawab dengan penuh amanah dan dedikasi, cubalah sedaya mungkin memenuhi janji-janji yang telah dibuat dan teruskanlah segala usaha murni yang telah dilaksanakan oleh pemimpin sebelum ini agar sentiasa memberi manfaat dan kebaikkan kepada masyarakat dan negara.
Justeru itu, marilah kita sama-sama berdoa agar proses pilihanraya kali ini berjalan dengan lancar tanpa sebarang rusuhan, kekacauan dan pergaduhan. Oleh itu, peliharalah keamanan dan kesejahteraan Negara kerana ini adalah tanggungjawab kita bersama.
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ لَا تَتَّخِذُوا۟ ٱلَّذِينَ ٱتَّخَذُوا۟ دِينَكُمْ هُزُوًۭا وَلَعِبًۭا مِّنَ ٱلَّذِينَ أُوتُوا۟ ٱلْكِتَـٰبَ مِن قَبْلِكُمْ وَٱلْكُفَّارَ أَوْلِيَآءَ ۚ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ إِن كُنتُم مُّؤْمِنِينَ ٥٧
"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang yang menjadikan agama kamu sebagai ejekan-ejekan dan permainan di kalangan orang yang telah diberikan Kitab sebelum kamu dan orang kafir musyrik itu sebagai pemimpin dan bertaqwalah kepada Allah, jika kamu benar-benar orang yang beriman"