recent
Terkini | تركيني

Budayakan Sunnah Dengan Mengucapkan Salam

Laman utama

Ucapan salam merupakan antara ucapan yang paling awal dianjurkan oleh Rasulullah SAW ketika baginda tiba di Kota Madinah dalam peristiwa hijrah. Baginda SAW juga merupakan orang yang paling mengutamakan ucapan salam sehinggakan tiada sesiapa yang bertembung dengan baginda di jalanan melainkan baginda yang terlebih dahulu mengucapkan salam. Rasulullah SAW sangat mengambil berat tentang ucapan salam di mana baginda sentiasa mempraktiknya dan sentiasa menyeru umatnya untuk selalu mengucapkan salam kerana ucapan salam merupakan salah satu syiar yang agung dalam Islam.

Ucapan salam merupakan doa untuk kesejahteraan kepada seseorang serta mengandungi makna yang begitu sempurna merangkumi sejahtera pada akidah, syariah dan akhlak, sejahtera daripada musibah, sejahtera dalam pekerjaan, sejahtera kepada diri, keluarga, harta dan segala perkara yang berhubung kait dengan seseorang itu sama ada urusan berkaitan dunia mahu pun akhirat.

Atas kesedaran inilah para sahabat sangat mengambil berat dalam mengucapkan salam. Di dalam sebuah hadis Saidina Anas bin Malik ada menyebutkan :

Diriwayatkan daripada Saidina Anas bin Malik RA bahawa beliau berkata kami ketika mana berjalan bersama Rasulullah SAW kemudian kami terpisah kerana melintasi sebatang pokok, kami saling memberi salam semula antara satu sama lain (setelah bertemu semula selepas melintasi pokok tersebut).

(HR Tabroni)

Ucapan salam mempunyai kelebihan yang sangat istimewa dalam Islam. Antaranya ucapan salam merupakan salah satu prasyarat untuk membolehkan seseorang masuk syurga.

Diriwayatkan daripada Saidina Abdullah bin Salam RA bahawa beliau berkata : Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda : Wahai sekalian manusia, sebarkanlah salam, sambunglah silaturrahim, berilah makan, solatlah (malam) sedang manusia lain sedang tidur, nescaya kamu akan masuk syurga dengan penuh sejahtera

(HR Tirmizi)

Selain itu, ucapan salam juga mempunyai kedudukan yang tinggi kerana ianya merupakan ucapan yang diambil daripada nama Allah iaitu As-Salam yang bermaksud Yang Maha Selamat Sejahtera Dari Segala Kekurangan. Pada hari akhirat pula Allah SWT memuliakan hamba-hambaNya yang beriman dengan ucapan salam ketika mereka bertemu dengan Allah. Firman Allah SWT dalam surah AI-Ahzab ayat 44

تَحِيَّتُهُمْ يَوْمَ يَلْقَوْنَهُۥ سَلَـٰمٌۭ ۚ وَأَعَدَّ لَهُمْ أَجْرًۭا كَرِيمًۭا ٤٤

"Sambutan penghormatan yang akan diberi Tuhan kepada mereka semasa menemuiNya ialah ucapan "Salam" (selamat sejahtera); dan Dia telah menyediakan untuk mereka pahala balasan yang mulia"

Allah SWT juga menurunkan namaNya ini ke dunia untuk menjadi ucapan penghormatan sesama hambaNya serta bagi memuliakan mereka di sisiNya. Ucapan salam juga merupakan ucapan penghormatan ahli syurga sesama mereka. 

Ucapan salam perlu menjadi keutamaan dalam ucapan seharian kita kerana ucapan salam merupakan sebab untuk memperoleh keberkatan daripada Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda : 

Diriwayatkan daripada Saidina Anas bin Malik RA bahawa beliau berkata : Rasulullah SAW bersabda kepadaku: "Wahai anak muda kesayanganku, apabila kamu masuk kepada ahli keluargamu (masuk ke dalam rumah), maka ucapkanlah salam. Yang demikian itu akan mengundang keberkatan ke atasmu dan ahli keluargamu".

(HR Tirmizi)

Jika kita lihat di negara-negara Arab terutamanya, sunnah memberi salam ini sudah menjadi budaya dalam kehidupan mereka. Mereka akan mengucapkan salam kepada sesiapa sahaja saudara seagama yang mereka temui tidak kira di mana sahaja. Mereka tidak merasa canggung berbuat demikian kerana penghayatan falsafah sunnah ini meresap dalam jiwa mereka. Hal ini berbeza dengan masyarakat kita yang masih segan silu dan janggal untuk mengucapkan salam terutamanya kepada orang yang tidak dikenali. Begitu juga orang yang diucapkan salam kepadanya kadangkala merasa hairan dan terpinga-pinga memikirkan kenapa orang yang tidak dikenali mengucapkan salam kepadanya. 

Sebagai seorang muslim, agak malang sekiranya kita gagal menghayati dan membudayakan sunnah mengucapkan salam ini sedangkan ianya merupakan anugerah yang amat berharga daripada Allah kepada umat Nabi Muhammad SAW. Anugerah ini sebenarnya yang sangat dicemburui oleh kaum Yahudi. Rasulullah SAW ada menyebutkan : 

Diriwayatkan daripada Saidatina Aisyah RA daripada Nabi SAW bahawa baginda bersabda : "Tiadalah Yahudi itu merasa dengki terhadap kamu dalam sesuatu perkara melebihi dengki mereka terhadap kamu dalam ucapan salam dan amin".

(HR lbnu Majah)

Sesungguhnya suatu kerugian bagi kita sekiranya kita tidak merasai ketinggian nilai ucapan salam dan yang tidak pula gemar untuk mengucapkan salam kerana Nabi SAW menggambarkan di dalam sabda baginda bahawa orang yang paling kedekut ialah orang yang kedekut untuk mengucapkan salam. 

Oleh itu, bermula saat ini marilah kita tanamkan keazaman untuk membudayakan sunnah mengucapkan salam dalam kehidupan kita. 

Marilah sama-sama kita praktikkan salam dengan adab seperti berikut : 

  1. Beri salam dengan nada suara yang sederhana
  2. Orang yang menaiki kenderaan mengucapkan salam kepada orang yang berjalan kaki manakala orang berjalan kaki memberi salam kepada orang yang duduk
  3. Kelompok yang sedikit memberi salam kepada kelompok yang lebih ramai
  4. Golongan muda memberi salam kepada golongan yang lebih berusia
  5. Orang dewasa memberi salam kepada kanak-kanak sebagai tanda kasih sayang dan tawadhu
  6. Beri salam ketika memulakan dan mengakhiri majlis
  7. Bermanis muka ketika mengucapkan salam
  8. Ucapkan salam kepada sesiapa sahaja dalam kalangan muslim sama ada dikenali mahu pun tidak
  9. Menjawab salam dengan ucapan yang lebih baik (lebih panjang) atau sekurang-kurangnya menyamai ucapan orang yang memulakan ucapan salam

وَإِذَا حُيِّيتُم بِتَحِيَّةٍۢ فَحَيُّوا۟ بِأَحْسَنَ مِنْهَآ أَوْ رُدُّوهَآ ۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ عَلَىٰ كُلِّ شَىْءٍ حَسِيبًا ٨٦

"Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat (seperti memberi salam), maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu"

(Surah An-Nisa : 86)

google-playkhamsatmostaqltradent