Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 188 :
وَلَا تَأْكُلُوٓا۟ أَمْوَٰلَكُم بَيْنَكُم بِٱلْبَـٰطِلِ وَتُدْلُوا۟ بِهَآ إِلَى ٱلْحُكَّامِ لِتَأْكُلُوا۟ فَرِيقًۭا مِّنْ أَمْوَٰلِ ٱلنَّاسِ بِٱلْإِثْمِ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ ١٨٨
"Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya)"
Rasuah merupakan satu jenayah yang membimbangkan semua pihak. Apatah lagi, ia telah menular dan menjadi barah dalam kehidupan masyarakat. Ia seumpama anai-anai yang sedang memakan sepohon kayu, yang akhirnya akan merebak dan mematikan kayu tersebut.
Rasuah boleh menghakis sistem keadilan, nilai-nilai murni dan menggugat pemerintahan secara demokratik. Seterusnya, akan lahir anggota masyarakat yang berperibadi buruk lagi hina kerana rela menggadai maruah agama dan diri demi mengejar wang ringgit, pekerjaan, jawatan, pangkat, hadiah dan sebagainya.
Kebiasaannya penglibatan rasuah berlaku dalam politik, sektor perkhidmatan awam, swasta dan orang awam. Rasuah adalah perbuatan memberi, menerima dan meminta suapan, membuat tuntutan palsu serta menyalahguna kedudukan jawatan untuk mendapat sesuatu kepentingan. Rasulullah SAW bersabda dalam hadis yang diriwayatkan oleh al-Tabrani yang bermaksud :
"Pemberi rasuah dan penerima rasuah akan masuk ke dalam api neraka"
Hadis ini menjelaskan bahawa bukan hanya penerima rasuah sahaja yang salah dan didakwa serta dihukum akan tetapi yang lebih utama bersalah dan dihukum adalah mereka yang memberi rasuah.
Amalan rasuah ini berlaku antara lain ianya berpunca daripada mereka yang gagal mengawal nafsu dan keinginan yang melebihi kemampuan. Selain itu mereka yang terlibat dengan rasuah bersifat rakus, ingin memburu kekayaan dengan cepat dengan tidak mempedulikan persoalan halal dan haram serta undang-undang. Di mata mereka hanya wang ringgit dan harta menjadi idaman kehidupan. Sememangnya mereka ini hanya mementingkan kemewahan dalam kehidupan bukannya keredaan Allah SWT. Ingatlah pesanan Rasulullah SAW dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Tirmizi yang bermaksud :
"Daripada Ka’ab bin ’Iyadh RA beliau mendengar Nabi SAW bersabda : Sesungguhnya setiap umat ditimpa fitnah (ujian); dan fitnah bagi umatku ialah harta"
Oleh itu, sebagai seorang yang beriman, maka hendaklah kita menjauhi dari segala perkara yang boleh merosak dan mengaibkan kehidupan.
Renungilah kisah hidup Rasullullah yang sentiasa mementingkan keberkatan dalam kehidupan dan bukannya kemewahan. Walaupun Baginda SAW pernah ditawarkan bukit dan gunung-ganang agar ia dijadikan emas akan tetapi Rasulullah SAW menolaknya dan tetap memilih cara hidup yang sederhana lagi berkat.
Diriwayatkan oleh Abdullah Ibn Mas’ud RA bahawa Rasulullah SAW tidur di atas tikar dan bangun selepas itu dalam keadaan badannya berbekas. Lalu dibawa kepadanya oleh sahabat hamparan yang lembut, Rasulullah SAW bersabda : Apakah kedudukan aku di dunia ini? Tidaklah aku di dunia ini melainkan seumpama seorang musafir yang berteduh di bawah pokok kemudian berlalu meninggalkannya.
Marilah kita bersama-sama meningkatkan integriti dan menunaikan amanah dengan menjadi golongan yang menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran. Teruskan memberi sokongan kepada agensi yang dipertanggungjawabkan untuk membanteras jenayah rasuah di negara kita iaitu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Percayalah perjuangan SPRM tidak membawa apa-apa kesan sekiranya tiada kerjasama dari pelbagai pihak dan masyarakat untuk memastikan rasuah dibanteras. Justeru, kesedaran, sokongan dan peranan semua pihak amat diperlukan bagi menyokong segala aktiviti dan usaha mencapai matlamat. Firman Allah Subhanahu wa-Ta’ala dalam surah Ali Imran ayat 104 :
وَلْتَكُن مِّنكُمْ أُمَّةٌۭ يَدْعُونَ إِلَى ٱلْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِٱلْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ ٱلْمُنكَرِ ۚ وَأُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلْمُفْلِحُونَ ١٠٤
"Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya"