Hari ini 3 Syawal 1445 hijri, kita baru saja menyambut Hari Raya Aidilfitri. Teruskanlah amalan bersilaturrahim dan kunjung mengunjung serta bermaafan di antara kita. Didiklah anak-anak kita sebagai generasi penyambung silaturrahim agar mereka saling mengenali sanak saudara yang terdekat. Di samping itu juga marilah kita teruskan amalan berpuasa enam hari di bulan Syawal. Nabi SAW bersabda yang bermaksud :
"Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadan kemudian diikuti dengan enam hari di bulan Syawal, ianya bersamaan dengan berpuasa sepanjang tahun"
(Hadis Riwayat Muslim)
Sifat kasih sayang ialah fitrah semula jadi yang Allah SWT kurniakan dalam naluri manusia. Naluri berkasih sayang ini diterjemahkan dalam berbagai-bagai ruang kehidupan manusia. Umpamanya dalam hubungan kekeluargaan, suami isteri yang saling berkasih sayang pastinya akan mewujudkan keharmonian dalam rumah tangga. Adik beradik yang saling berkasih sayang menyuburkan keluarga bahagia, manakala berkasih sayang antara saudara mara merapatkan lagi ukhuwah kekeluargaan. Begitu juga dalam hubungan kemasyarakatan, kasih sayang sesama jiran dan sahabat handai pastinya menyemai sifat saling menghormati dan saling membantu antara satu sama lain. Begitu juga halnya jika kita berkasih sayang antara yang muda dan yang tua. Yang muda disayangi dan yang tua dihormati, sudah pasti akan melahirkan satu masyarakat yang harmoni dan bahagia.
Allah SWT berfirman di dalam surah Maryam, ayat ke-96 :
إِنَّ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَعَمِلُوا۟ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ سَيَجْعَلُ لَهُمُ ٱلرَّحْمَـٰنُ وُدًّۭا ٩٦
"Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, Allah SWT yang melimpah-limpah rahmatnya akan menanamkan bagi mereka dalam hati orang ramai perasaan kasih sayang"
Golongan yang tua atau mereka yang lebih berusia adalah merupakan satu golongan terpenting dalam membentuk jalinan ikatan mahabbah dan kasih sayang antara satu sama lain. Golongan tua perlu melayani dan membimbing golongan muda dalam kalangan anak-anak atau remaja dengan penuh keikhlasan. Orang yang tidak mengasihi golongan muda atau anak-anak kecil ini, mereka sebenarnya tidak mengikuti sunnah Rasulullah SAW dan adab seorang Muslim.
Daripada Anas bin Malik RA, dikatakan bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud :
"Bukanlah daripada kalangan kami orang yang tidak menyayangi orang yang lebih muda daripada kami dan menghormati orang yang lebih berusia daripada kami"
(Riwayat al-Tirmizi)
Sifat kasih sayang terhadap golongan muda ini perlu dipupuk dan dibentuk ketika mereka masih muda lagi. Sebaiknya ketika mereka masih kecil lagi. Bak kata pepatah "Melentur buluh biarlah dari rebungnya".
Begitu juga halnya kepada golongan muda, remaja dan anak-anak kecil. Mereka wajib menghormati golongan yang lebih berusia atau lebih tua. Tiada yang tua maka tiadalah yang muda. Kasih sayang yang telah mereka curahkan kepada kita sejak kecil hingga dewasa tiada tolok bandingnya. Tiada alat yang boleh mengukur kasih sayang yang telah mereka berikan kepada kita lebih-lebih lagi kedua ibubapa kita. Kedua ibubapa pastinya telah melakukan sebaik mungkin dan telah memberikan kasih sayang sepenuhnya kepada kita. Jika ibubapa kita tidak mempunyai perasaan kasih sayang, sudah pastinya pada waktu bayi dahulu kita telah dicampakkan di tepi tong-tong sampah, di kaki-kaki lima jalan dan bangunan, di semak samun mahu pun diletakkan di dalam bekas di hadapan masjid atau surau.
Ibubapa merupakan orang tua yang wajib dihormati kerana terlalu banyak jasa dan pengorbanan mereka yang tidak dapat kita balas dengan harta mahu pun kekayaan.
Sudah pasti golongan tua dan golongan muda mempunyai pola pemikiran yang berbeza.
Semua ini terbentuk dengan dipengaruhi oleh persekitaran di masa hidupnya masing-masing. Mereka yang hidup di zaman perang dengan mereka yang hidup di zaman merdeka jelas memiliki pola pemikiran yang berbeza. Mereka yang hidup dalam kesusahan dan sengsara pun membentuk prinsip hidup berbeza dengan mereka yang dibesarkan dalam keadaan serba mencukupi. Maka sangatlah wajar jika perbezaan-perbezaan ini menjadi bibit perselisihan antara yang tua dan yang muda.
Andai kata perselisihan terjadi, dan masing-masing ingin menang sudah pasti malapetaka besar akan terhasil. Seharusnya yang muda mengalah. Mengalah bukan beerti kalah. Tetapi sebenarnya mengelak dari terjadi hal yang tidak diingini. Kadang kala hal ini memerlukan diplomasi, golongan muda harus ingat bahawa kadangkala golongan tua seringkali memiliki sikap kolot dan tidak mahu berkompromi, tidak mahu mengambil tahu dan menerima pakai pendapat golongan muda.
Bagi golonganan tua pula, sedarlah dunia sudah berubah. Teknologi semakin canggih. Dunia di hujung jari sahaja. Sudah tentu cara pemikiran golongan muda tidak sama dengan golongan kita. Terkadang mungkin ada benarnya cara berfikir anak-anak, selidik dan telitilah terlebih dahulu. Jangan ditolak mentah-mentah.
Paling penting adalah sifat tolak ansur dan saling menghargai. Jika dua sifat ini ada pada diri setiap golongan tua dan golongan muda, sudah pasti kehidupan ini menjadi lebih harmoni, ceria dan tiada bersama muka.
Marilah kita berusaha untuk memiliki sifat rahmat dengan menghormati, menyantuni, mendahulukan dan mengutamakan orang yang lebih tua. Kita yang lebih muda ini sewajarnya terlebih dahulu menegur, memberi salam, juga menziarahi orang yang lebih tua daripada kita.
Kesimpulannya,
- Kita hendaklah meyakini bahawa kasih mengasihi sesama manusia adalah perintah daripada Allah s.w.t kepada semua umat manusia.
- Umat Islam hendaklah memupuk sikap saling menghormati antara golongan yang tua dengan golongan yang lebih muda.
- Perlu ada sikap bertolak ansur dan saling menghargai di antara golongan tua dan golongan muda.
- Kasih sayang yang ikhlas dan murni boleh membawa ke syurga.