recent
Terkini | تركيني

Tiada Maaf Bagimu

Laman utama

Hidup ini adalah ujian. Ada susah dan ada senang, ada sihat dan sakit, ada miskin dan kaya dan sebagainya. Ujian akan mematangkan diri seseorang dalam menghadapi kehidupan. Islam sangat mengambil berat soal hubungan setiap insan dalam kehidupan. Hubungan sesama manusia sangat penting dalam membentuk masyarakat yang harmoni.

Sifat manusia sangat unik dan berbagai-bagai. Persengketaan dan permusuhan timbulnya dari sifat amarah, ego serta lahirlah dendam. Malah ada yang sampai memutuskan tali ikatan silaturrahim kerana tidak puas hati. Benci dan dendam antara adik beradik, sanak saudara, jiran tetangga dan rakan taulan. Sifat ini pula bertambah parah dengan dorongan syaitan yang tidak pernah putus asa dalam merosakkan hubungan sesama manusia. Bahkan berusaha untuk merosakkan amal ibadah manusia demi membalas dendam turun temurun kepada bapa segala manusia iaitu Nabi Allah Adam AS.

Dendam ialah rasa ketidakpuasan hati terhadap sesuatu perkara yang terjadi. Ia selalunya membawa kepada kerosakan dan keganasan yang berpanjangan jika tidak dileraikan. Sifat amarah dendam adalah bermula daripada iblis dan syaitan. Berpunca dari dendam yang dipendam dalam hati akhirnya meletus dengan tindakan agresif melampaui akal yang waras. Jadi tidak hairanlan saban hari kita mendengar kisah-kisah tragis berlegar dalam masyarakat. Masalah semakin dahsyat apabila ada pihak-pihak menyebelahi dan mendokong pihak-pihak yang bertelagah.

Bahkan ada yang sampai beberapa keturunan saling berdendam dan bermusuh. Maka berpanjanganlah persengketaan dan permusuhan antara manusia. Lihatlah bagaimana pada zaman jahiliyyah disebabkan perkara yang kecil telah menyebabkan permusuhan puak-puak yang bersengketa sehingga masing-masing sanggup menumpah darah bertahun lamanya sehinggalah kedatangan Baginda Rasul SAW.

Kebanyakan dendam atau tidak puas hati disebabkan salah paham, enggan memaafkan kesilapan atau perebutan harta. Perkara ini selalu mengundang perbalahan sehingga terjadinya pergaduhan, keganasan bahkan berlakunya kematian. Akhirnya penyesalan yang berpanjangan di sebalik tirai besi. Sebagai contoh ada dilaporkan pada tahun 2019 terdapat dua beradik telah ditahan kerana membunuh bapa mereka berpunca dari perebutan harta.

Islam bermaksud selamat dan sejahtera. Ia membawa mesej yang jelas tentang kerukunan, keharmonian dan kebahagiaan dalam bermasyarakat. Perhatikanlah bagaimana Allah SWT juga memulakan ayatnya dengan sifat Ar-Rahman diikuti Ar-Rahim (pengasih lagi penyayang). Ini menunjukkan agama yang dibawa oleh para Rasul sesuai dengan fitrah ciptaan Ilahi. Fitrah manusia inginkan ketenangan, kedamaian dan kebahagiaan.

Islam menganjurkan umatnya tidak berdendam dan saling memaafkan. Balasan kepada pesalah diharuskan dalam Islam dengan cara qisas (balas perbuatan yang sama) atau takzir (budi bicara). Sebab itulah adanya undang-undang dan hakim untuk menguruskan hal-hal tersebut. Seandainya tiada undang-undang nescaya lagi porak peranda masyarakat. Kita tidak boleh membalas ikut suka hati atau perasaan kerana itu akan menjadi lebih parah dan boleh berlaku zalim pula.

Dikatakan bahawa Solahuddin Al-Ayyubi pernah bersumpah akan membunuh semua orang kristian ketika mana beliau berusaha untuk membuka kota Baitul Maqdis kali kedua angkara kekejaman dan kezaliman yang pernah dilakukan oleh golongan Kristian terhadap orang Islam. Namun apabila beliau bersama anggota tenteranya berjaya membuka kota Baitul Maqdis beliau memaafkan perbuatan orang-orang kristian semuanya dan tidak membalasnya.

Kisah yang lain bagaimana Baginda Rasulullah bersumpah untuk membalas dendam atas kematian bapa saudaranya Hamzah yang syahid di dalam peperangan Uhud. Bukan sahaja syahid tetapi jasad bapa saudaranya itu dicincang dan dikeluarkan hatinya.

Maka Rasulullah bersabda : Sesungguhnya jika Allah memberikan kemenangan kepadaku atas mereka, sesungguhnya aku akan balas mencincang tiga puluh orang lelaki dari kalangan mereka (sebagai pembalasan atas kematian Hamzah).

Namun Rasulullah tidak melakukannya kerana Allah melarangnya melakukan demikian.

Ketika kaum muslimin mendengar hal tersebut, mereka berkata : "Demi Allah, seandainya Allah memenangkan kita atas mereka, sungguh kita akan mencincang mereka dengan cincangan yang belum pernah dilakukan oleh seorang pun dari kalangan orang-orang Arab". Maka turunlah Surah An-Nahl ayat 126 sehingga habis Surah An-Nahl.

وَإِنْ عَاقَبْتُمْ فَعَاقِبُوا۟ بِمِثْلِ مَا عُوقِبْتُم بِهِۦ ۖ وَلَئِن صَبَرْتُمْ لَهُوَ خَيْرٌۭ لِّلصَّـٰبِرِينَ ١٢٦

"Dan jika kamu membalas kejahatan (pihak lawan), maka hendaklah kamu membalas dengan kejahatan yang sama seperti yang telah ditimpakan kepada kamu, dan jika kamu bersabar, (maka) sesungguhnya yang demikian itu adalah lebih baik bagi orang-orang yang sabar"

Begitulah Allah mengajarkan kita tentang nilai kehidupan. Sesungguhnya dia lebih mengetahui dan melihat apa yang terjadi dan dialah sebaik-baik penghukum. Orang yang berdendam selalunya hidup tidak akan tenteram sehinga dibalas perbuatan tersebut.

Ini adalah ciri-ciri orang yang pendendam :

  1. Emosional dan sensitif
  2. Susah diajak berbincang dengan baik
  3. Suka mengancam terhadap orang yang menyebabkan kecewa atau disakiti
  4. Tidak mudah memberikan kemaafan dan mengaku salah
  5. Sukar menerima nasihat atau teguran

Begitulah Allah mengajarkan kita tentang nilai kehidupan. Sesungguhnya dia lebih mengetahui dan melihat apa yang terjadi dan dialah sebaik-baik penghukum. Orang yang berdendam selalunya hidup tidak akan tenteram sehinga dibalas perbuatan tersebut.

Justeru agama Islam datang membawa penyelesaian dengan mengambil langkah-langkah yang perlu untuk mengawal emosi dan perasaan. Sifat maaf dapat menjernihkan suasana dan memberikan ketenangan kepada diri dan masyarakat. Bak kata pepatah "buang yang keruh ambil yang jernih".

Allah SWT berfirman dalam Surah Ali 'Imran ayat 134 :

وَٱلْعَافِينَ عَنِ ٱلنَّاسِ ۗ وَٱللَّهُ يُحِبُّ ٱلْمُحْسِنِينَ

"... Dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik"

Allah dan rasul sangat suka dengan orang yang pemaaf kerana itu dijanjikan syurga sebagai ganjaran. Sabda Nabi SAW yang bermaksud :

"Barangsiapa yang didatangi saudaranya yang hendak meminta maaf, hendaklah memaafkannya, apakah ia berada di pihak yang benar atau yang salah, apabila tidak melakukan hal itu (memaafkan), nescaya tidak akan mendatangi telagaku (di akhirat)"

(Hadis Riwayat al-Hakim)

Ada pepatah orang bijaksana : "Permohonan maaf oleh orang yang bersalah adalah sifat yang mulia namun memaafkan orang yang salah adalah lebih mulia".

Kesimpulannya, sifat pemaaf sangat dititik beratkan bahkan adalah sebahagian tanda-tanda orang beriman dan berhati mulia. Manusia tidak terlepas dari melakukan salah dan silap. Manusia bukanlah malaikat yang tiada salah dan dosa. Namun yang terbaik ialah kita sentiasa bertaubat, memohon ampun dan berlapang dada. Ingatlah bahawa dunia tempat ujian dan akhirat tempat balasan. Agama juga mengajarkan kita sentiasa bermuhasabah, berdoa dan munajat kepada-nya. Semoga ia dapat membentuk hati dan perasaan kita menjadi yang terbaik di sisi Allah.

google-playkhamsatmostaqltradent