recent
Terkini | تركيني

Jiran Entah Di Mana

Laman utama

Kehidupan normal di dalam ruang lingkup kemasyarakatan tidak boleh terlepas dari hidup berjiran. Jiran di definasikan oleh kamus dewan sebagai orang yang tinggal berhampiran dengan rumah kita, sama ada dia seorang Islam atau bukan Islam, saudara atau orang asing. Hak jiran bertambah mengikut kedekatan dan pertalian persaudaraan.

Seperti mana sabda Nabi Muhammad SAW yang diriwayatkan oleh Sayyidatuna Aisyah RA berkata yang bermaksud :

"Aku bertanya : Ya Rasulullah, sesungguhnya berdekatan denganku ini terdapat 2 jiran, maka kepada siapa yang aku lebih berhak untuk memberi pemberian kepadanya? Maka bersabda Rasulullah SAW : Jiran yang paling layak mendapat pemberianmu adalah yang paling dekat dengan rumahmu"

(HR Imam Al Bukhari)

Jiran itu terbahagi kepada 3 bahagian :

  1. Jiran Muslim yang berdekatan dengan kediaman kita. Pada mereka ini terdapat padanya hak sebagai sesama Islam, hak kejiranan yang berdekatan dan juga hak sebagai jiran.
  2. Jiran Muslim yang lebih jauh jaraknya dengan kediaman kita. Pada mereka ini hanya ada 2 hak yang perlu dipenuhi iaitu Hak sebagai sesama Islam dan hak sebagai jiran.
  3. Jiran Yang Bukan Islam. Pada mereka ini hanya terdapat 1 hak yang mesti dipenuhi iaitu hak sebagai jiran.

Di zaman ini, kita bukannya kekurangan manusia yang berilmu dan bukan pula kekurangan teknologi yang hebat. Akan tetapi ada dari kalangan kita ketandusan adab dan akhlak untuk menjadikan ilmu dan teknologi itu sebagai wasilah kepada kebahagiaan dunia dan akhirat. Walaupun teknologi hebat tersebut mendekatkan hubungan antara yang jauh beribu batu, akan tetapi kini jiran yang bersebelahan rumah saja tidak ditegur sapa dan bertanya khabar berita. Realitinya, jiran kini hanyalah sekadar insan yang mendiami rumah-rumah berhampiran dengan rumah kita sama ada dibeli atau disewa. Sakit penat mereka tidak dijengah, kenyang lapar mereka tidak diendah, susah senang mereka tidak dikisah. Semuanya hidup dengan alam dan kehidupan masing-masing seolah-olah dunia ini tidak memerlukan kepada insan lain.

Lebih parah lagi, apabila jiran-jiran yang berdekatan ini dikenal sebagai 'Jiran Hantu' di dalam kejiranan mereka sendiri. Ada antara jiran-jiran ini yang menyusahkan bahkan menyakiti jiran mereka dengan sikap dan perangai jelik mereka sendiri. Terdapat orang yang sengaja meletakkan kenderaan di hadapan pagar jirannya sehingga menyusahkan jirannya untuk keluar masuk di rumah sendiri, ada yang sengaja membuang sampah di hadapan rumah jirannya kerana perasaan hasad dan dengki. Hal ini semua berlaku sehinggakan timbulnya pergaduhan yang tidak henti-henti sehingga dibawa kemuka pengadilan di hadapan para hakim dan mufti-mufti.

Ketahuilah sesungguhnya mempunya jiran yang baik itu antara sebaik-baik nikmat di bawah percaturan Allah SWT. Jiran yang baik itu adalah salah satu tandanya kebahagiaan seorang hamba Allah dan jika berlaku sebaliknya adalah tanda penderitaannya. Telah sabit dari sabda Nabi Muhammad SAW yang telah diriwayatkan oleh Sayyiduna Saad Bin Abi Waqas RA yang bermaksud :

"Terdapat 4 tanda menunjukkan kebahagiaan seseorang adalah : Isteri yang solehah, rumah yang menyenangkan, jiran yang baik serta kenderaan yang selesa. Dan 4 tanda yang menunjukkan kecelakaan seseorang adalah : Jiran yang buruk, Isteri yang derhaka, rumah yang sempit dan kenderaan yang menyusahkan"

(HR Ibn Hibban)

Di antara adab-adab yang mendekatkan dan mengeratkan lagi hubungan antara sesama jiran ada seperti berikut :

Pertama : Saling membantu dengan perkara kebaikan sesama jiran tetangga. Hal ini bertepatan dengan firman Allah SWT di dalam Surah Al-Maidah ayat yang ke 2 :

 وَتَعَاوَنُوا۟ عَلَى ٱلْبِرِّ وَٱلتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا۟ عَلَى ٱلْإِثْمِ وَٱلْعُدْوَٰنِ ۚ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ ۖ إِنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلْعِقَابِ ٢

"Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya)"

Kedua : Menjaga pandangan dari melihat aurat dan keaiban jiran. Kini, sifat malu yang berkurangan telah menjadikan masyarakat kita tidak lagi merasa malu dengan manusia sekeliling. Tanpa segan silu keluar rumah tanpa menutup aurat dengan sempurna, masuk kerumah jiran tanpa izinnya dengan alasan itu sudah menjadi kebiasaan sehinggakan ternampak aurat ahli-ahli rumah yang tidak bersedia diziarahi.

Ketiga : Jangan menyakiti jiran tetangga di sekeliling kita dengan sikap buruk dan perangai yang jelik. Hormatilah jiran kerana merekalah yang akan membantu kita di saat duka dan musibah lebih awal dari adik beradik kandung kita yang berjauhan. Hormati jiwa dan perasaan mereka, peliharanya lidah dan tangan kita dari menyakiti mereka sebagai jiran. Mempunyai akhlak yang baik lebih baik dari melakukan ibadah yang banyak tapi mempunyai lidah dan hati yang kotor.

Mafhum sabda Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Sayyiduna Abu Hurairah RA :

"Telah bertanya seorang lelaki kepada Rasulullah SAW : Ya Rasulallah, sesunguhnya ada seorang wanita yang dia dikenali sebagai seorang yang solehah dengan banyaknya melakukan solat, puasa, sedekah akan tetapi wanita tersebut selalu menyakiti jiran dengan kasar lidahnya. Sabda Nabi SAW : Adalah wanita tersebut penghuni neraka"

(HR Imam Ahmad)

Jangan menyakiti jiran seperti merasa hasad dengan nikmat yang dimiliki jiran dan berharap nikmat itu akan hilang darinya, menyebarkan rahsia-rahsia yang berkaitan rumahtangga dan kehidupan jiran, berbohong dengannya, memasang hiburan dengan kuat yang melampau sehingga mengganggu jiran yang tua atau mempunyai anak kecil atau yang sedang sakit dan berehat.

Keempat : Membalas kebaikan dengan kebaikan.Marilah kita kembalikan adat seperti suasana perkampungan kita dahulu.Mereka saling menghargai, tolong menolong dalam kenduri kendara, saling bertukar juadah ketika berpuasa dan hari raya dan bergotong royong dalam melakukan segala perkara. Benarlah Sabda Nabi SAW yang bermaksud :

"Saling memberi hadiahlah maka ianya akan membuahkan kasih sayang"

Selain daripada itu amalkan sikap ihsan sesama jiran. Antaranya adalah dengan menunjukkan akhlak yang tinggi dan adab yang baik, menggunakan perkataan yang sesuai mengikut keadaan, menunaikan hajat jiran, tetap bersama dengan jiran ketika mereka susah dan senang, menasihati jiran dengan penuh kelembutan dan kasih sayang serta bermanis muka, menziarahi ketika mereka sihat dan sakit, saling bermaafan ketika berlaku perselisihan dan sebagainya.

Semoga apa yang dilakukan ini Allah SWT akan melimpahkan kasih sayang dan petunjuknya buat kita dalam melaksanakan hak-hak kepada jiran dan semoga jiran-jiran ini menjadi antara sebab kepada kebahagian kita di dunia dan terpilihnya kita mendapat nikmat syurga.

google-playkhamsatmostaqltradent