recent
Terkini | تركيني

Pelampau Agama

Laman utama

Islam adalah agama yang mudah, sederhana dan praktikal. Posisinya antara dua yang ekstrem, iaitu antara melampau dan meringan-ringankan. Keindahan agama Islam dengan segala ajarannya disifatkan sebagai rahmat buat sekalian alam. Bahkan, pengutusan Rasul-Nya iaitu Nabi Muhammad SAW yang datang bersamanya al-Quran disifatkan sebagai rahmat, petunjuk, penawar, keterangan dan khabar gembira. Umat Islam disifatkan sebagai "Ummatan Wasatan" iaitu umat yang sederhana, adil dan berimbang dalam seluruh aspek kehidupannya. Ajaran Islam membuahkan kesejahteraan buat seluruh umat manusia.

Fahaman ekstremis, radikal atau pelampau wujud dalam setiap kelompok manusia tanpa mengira agama dan bangsa. Sikap ekstrem yang berpunca daripada individu atau kumpulan tertentu tidak seharusnya dipalitkan secara umum kepada keseluruhan kelompoknya kecuali secara jelas ianya menjadi dasar, teras atau ajaran kepada kelompok tersebut. Ekstremis umumnya ialah orang-orang yang melampaui batas dalam sesuatu kaedah, sistem atau undang-undang. Agama secara umumnya adalah tatacara, tataetika atau tatakelola dalam kehidupan dengan membawa nilai-nilai murni dan bersifat fitrah, maka sudah pasti tidak mengajarkan perkara-perkara yang bersifat ekstrem atau pelampau. Apatah lagi Islam itu sendiri membawa maksud kesejahteraan, keselamatan serta keamanan.

Sabda baginda SAW yang bermaksud :

"Jauhilah kamu bersikap melampau dalam beragama, kerana telah binasa mereka yang sebelum kamu disebabkan melampaunya mereka di dalam beragama"

(Riwayat al-Nasai & Ibn Majah)

Ekstrem dalam kepercayaan atau pegangan berlaku apabila taksub serta fanatik buta terhadap sesuatu. Sikap ini membawa keyakinan bahawa mereka sahaja yang benar sebaliknya yang lain adalah salah, sesat, batil atau kufur. Lantaran muncul dakwaan seperti "kami sahaja Islam", "kami sahaja pendukung Sunnah" atau "kami sahaja masuk syurga" dan pelbagai lagi. Ingatlah sabda baginda SAW yang bermaksud :

"Musnahlah golongan pelampau. Musnahlah golongan pelampau. Musnahlah golongan pelampau"

(Riwayat Muslim)

Hadis ini menerangkan bahawa golongan pelampau ini boleh mencetuskan sikap yang negatif antaranya ialah jahil dengan autoriti dalam penentuan hukum-hakam syarak, tidak berpegang dengan sumber-sumber yang sahih, menafsirkan nas-nas syarak dengan kaedah yang tidak muktabar, berkepentingan tertentu dan menurut hawa nafsu. Akibatnya, saudara se-Islam dicemuh, dijatuhkan, dizalimi, jenazahnya tidak disolatkan dan lebih parah lagi darah seorang Muslim halal ditumpahkan.

Islam menolak keras segala gerakan yang boleh menggugat keamanan dalam apa jua bentuk termasuklah yang dibawa oleh pelampau agama. Soal ancaman gerakan pelampau agama ini perlu diambil perhatian serius oleh semua pihak kerana ia membabitkan masalah keselamatan rakyat. Sekiranya perkara ini berterusan, pasti akan jatuh sesebuah bangsa dan huru-haralah sesebuah negara. Sebagai negara demokrasi, kita perlu mengamalkan cara hidup menghormati kepada pelbagai pandangan agama, budaya, kaum, politik dan ideologi. Pada masa sama, rakyat tidak berhak untuk menjadi pelampau dalam pegangan mereka hingga mendorong kepada tindakan ganas bagi memaksa orang lain menerimanya.

Hakikatnya, Islam adalah agama yang mengeluarkan manusia daripada kegelapan, kesempitan dan kezaliman. Rib'ie bin Amir RA ketika ditanya oleh Rustam iaitu ketua tentera Parsi : "Apakah tujuan kamu datang?" Jawabnya : "Kami adalah kaum yang diutuskan Allah SWT untuk mengeluarkan sesiapa yang berkehendak dari menjadi penyembahan hamba kepada menyembah Tuhan Yang Esa, dan mengeluarkan manusia daripada merasai kesempitan dunia kepada keluasan dunia sampai akhirat dan mengeluarkan mereka dari kezaliman agama-agama kepada keadilan Islam"

(Riwayat Ahmad)

Keselamatan dan keharmonian nasional merupakan dua aspek asas yang menunjangi kestabilan negara. Oleh yang demikian kerajaan telah membangunkan Pelan Tindakan Malaysia bagi Mencegah dan Menangani Fahaman Pelampau Keganasan (MyPCVE).

MyPCVE merupakan garis panduan utama dalam menyelaras peranan, strategi dan inisiatif tindakan oleh pelbagai sektor kerajaan, swasta, media massa, pendidikan mahupun pelbagai kategori kumpulan masyarakat. lanya menyasarkan untuk menangani ancaman fahaman pelampau keganasan bersandarkan kepada empat (4) teras iaitu Pencegahan, Penguatkuasaan, Pemulihan dan Pengukuhan.

Pelan ini akan menjadikan usaha pencegahan fahaman pelampau keganasan dilaksanakan secara sistematik dan berstruktur di kalangan semua agensi kerajaan dengan penglibatan komuniti. Moga-moga dengan perancangan yang dilaksanakan ini menjadikan negara ini khususnya bebas daripada ancaman fahaman pelampau ini.

Kesimpulannya, marilah kita sama-sama menghayati dan mengambil pengajaran seperti berikut :

  1. Umat Islam hendaklah mengetahui bahawa Islam adalah agama yang mudah, sederhana dan praktikal sesuai dengan fitrah kejadian manusia yang dapat dipraktikkan dalam semua situasi, masa dan tempat.
  2. Umat Islam hendaklah menyedari sikap ekstrem dan radikal hanya akan menjadi penyebab munculnya fitnah, kemudaratan dan kehancuran negara. Jauhi sikap prejudis, tidak boleh bertolak-ansur, memaksa orang lain dengan satu pandangan, berlebih-lebihan dan bersikap kasar antara satu sama lain.
  3. Umat Islam hendaklah menginsafi bahawa ilmu pengetahuan adalah kunci dalam menyelami keindahan serta kesempurnaan beragama bahkan memperoleh kejayaan di dunia serta akhirat.
  4. MyPCVE mampu mencapai kejayaan melalui komitmen dan penglibatan pelbagai pihak yang merangkumi agensi-agensi Kerajaan Persekutuan dan Negeri, warga pendidik bagi pelbagai peringkat pendidikan dan pertubuhan masyarakat sivil yang mewakili segenap kategori serta lapisan masyarakat di Malaysia.

google-playkhamsatmostaqltradent