recent
Terkini | تركيني

Dunia : Transit Untuk Beramal

Laman utama

Allah SWT menciptakan segala isi dunia penuh dengan keindahan untuk di diami oleh umat manusia. Dunia hanyalah salah satu persinggahan sementara dari perjalanan akhirat yang panjang. Singkat sekali kehidupan di dunia ini jika nak dibandingkan dengan kehidupan di akhirat, namun kehidupan yang singkat inilah yang akan menentukan untuk kebahagiaan kehidupan yang kekal abadi kelak. Itulah dunia yang penuh dengan tipu daya seperti mana digambarkan dalam Al-Quran, surah al-hadid ayat ke-20 :

ٱعْلَمُوٓا۟ أَنَّمَا ٱلْحَيَوٰةُ ٱلدُّنْيَا لَعِبٌۭ وَلَهْوٌۭ وَزِينَةٌۭ وَتَفَاخُرٌۢ بَيْنَكُمْ وَتَكَاثُرٌۭ فِى ٱلْأَمْوَٰلِ وَٱلْأَوْلَـٰدِ 

"Ketahuilah bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup yang berupa semata-mata) permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurang), juga (bawaan hidup yang bertujuan) bermegah-megah di antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan, dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak; (semuanya itu terhad waktunya)"

Berdasarkan ayat ini, Dr Wahbah Az-Zuhaily ada menafsirkan betapa hinanya dunia jika disia-siakan dan agungnya akhirat yang kekal abadi. Hinanya dunia ini dengan lima sifat iaitu :

  1. Dunia adalah permainan. Ini adalah tipikal bagi anak-anak yang sangat suka bermain sehingga letih dan menghabiskan tenaga mereka akhirnya berakhir tanpa ada sebarang faedah dan tenaga mereka terbuang sia-sia.
  2. Dunia adalah hiburan dan huru-hara belaka. Ini adalah tipikal anak-anak muda, yang biasanya tidak memberikan sebarang faedah akhirnya menyesal.
  3. Dunia adalah perhiasan. Ini adalah tipikal kaum perempuan, yang tujuan utamanya sebolehnya adalah menutupi kekurangan.
  4. Saling berbangga terhadap sifat-sifat yang fana' (tidak abadi) dan pasti hilang, iaitu boleh jadi berbangga-bangga dengan nasab, kekuasaan, kekuatan, yang semuanya itu pasti akan lenyap.
  5. Berbangga-bangga dengan harta dan anak, iaitu masing-masing menginginkan dia lebih banyak dari yang lainnya dalam hal harta dan anak. Semua ini hanya terjadi pada diri pencinta dunia dan yang merasa damai dengan dunia.

Sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Al-Anfal ayat 28 :

وَٱعْلَمُوٓا۟ أَنَّمَآ أَمْوَٰلُكُمْ وَأَوْلَـٰدُكُمْ فِتْنَةٌۭ وَأَنَّ ٱللَّهَ عِندَهُۥٓ أَجْرٌ عَظِيمٌۭ ٢٨

"Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian, dan sesungguhnya di sisi Allah jualah pahala yang besar"

Pernah satu ketika seorang sahabat yang bernama Abdullah bin Mas'ud yang juga merupakan murid setia Rasulullah SAW. 

Suatu hari Abdullah bin Mas'ud melihat Rasulullah SAW sedang berbaring, apabila baginda bangun dari tempat pembaringannya, beliau terlihat ada kesan jalur-jalur tikar di belakang baginda akibat dari tikar alas tidur Baginda yang diperbuat daripada daun kurma yang kasar. Lalu berkata Ibnu Mas'ud, "Ya Rasulullah, sekiranya engkau perintahkan aku untuk mencari sebidang hamparan yang lembut untukmu, nescaya aku akan berusaha untuk mendapatkannya". Sabda baginda SAW yang bermaksud : "Tidaklah aku di dunia ini melainkan hanya ibarat seorang pengembara yang berhenti berteduh sebentar di bawah sepohon pokok dan kemudian meninggalkan pohon tersebut"

(Hadis Riwayat At-Tirmizi)

Hadis ini memberi maksud bahawa kesempatan yang diberikan kepada manusia hidup di dunia perlu dimanfaatkan seperti kata Imam Al-Ghazali Rahimahullah : "Ketahuilah dunia ini adalah tempat singgah untuk sementara waktu, bukan tempat tinggal yang sebenarnya, sedangkan manusia di dalamnya selaku musafir yang sedang berkelana".

Dunia yang penuh dengan cabaran hidup perlulah kita tempuhi dengan sebaiknya. Jadilah kita sebagai orang yang kaya di akhirat bukan seorang yang muflis. Muflis atau bankrap di dunia bererti orang yang tidak berupaya membayar hutang. Orang muflis biasanya tidak memiliki apa-apa harta kerana diambil hartanya bagi melunaskan hutangnya. Manakala muflis di akhirat tentunya jauh lebih menyeksakan daripada muflis di dunia. 

Perbandingan ini disebutkan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Saidina Abu Hurairah RA yang bermaksud :

"Tahukah kamu sekalian, siapakah orang muflis itu?" Sahabat menjawab : "Orang muflis menurut kami ialah orang yang tidak memiliki wang dan harta benda." Rasulullah SAW membalas : "Sesungguhnya orang muflis daripada kalangan umatku ialah orang yang pada Hari Kiamat kelak datang dengan ibadah solat, puasa dan zakat, tetapi ia dahulu selalu mencaci maki orang ini, menfitnah orang itu, memakan harta orang ini, menumpahkan darah orang itu dan memukul orang ini. Maka, diberikan kepada setiap orang tadi daripada pahala kebaikannya. Sekiranya pahala kebaikannya sudah habis sebelum selesai ditunaikan semua tuntutan ke atasnya, akan diambil pula daripada dosa mereka, lalu dilemparkan pula ke atasnya. Kemudian akhirnya, dia akan dihumbankan ke neraka"

(Hadis Riwayat Muslim)

Justeru, ayuhlah bermula saat ini kita hindarkan dari melakukan perkara-perkara yang melalaikan yang boleh menjadikan kita miskin serta muflis di akhirat sana.

Kesimpulannya, marilah kita mengambil beberapa inti pati sebagai panduan kita bersama iaitu :

  1. Carilah pahala negeri akhirat dengan harta kekayaan yang di kurniakan Allah kepada  kita, sebab kehidupan ini hanya sementara dan kehidupan akhirat itu yang kekal abadi.
  2. Janganlah kita melupakan bahagian kita daripada kenikmatan dunia, iaitu harta yang halal. Hiduplah dalam rumah yang baik, pakailah kenderaan yang selesa dan bahagialah dengan isteri yang solehah, mudah-mudahan dengan semua itu, kita akan mendapat kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat juga.
  3. Berbuat baiklah kepada orang lain sebagaimana Allah SWT telah berbuat kepada kita dengan berakhlak yang baik, bertutur kata yang baik, berlapang dada dan berbelas kasihan kepada semua manusia.
  4. Jadilah kita yang kaya dengan akhirat dengan melakukan amal soleh dan pada masa yang sama jauhkanlah dari sifat yang boleh merosakan pahala kita.

google-playkhamsatmostaqltradent