recent
Terkini | تركيني

Ya Rasulullah, Kami Mempertahankanmu

Laman utama

Allah berfirman dalam surah al-Jumu'ah ayat 2 :

هُوَ ٱلَّذِى بَعَثَ فِى ٱلْأُمِّيِّـۧنَ رَسُولًۭا مِّنْهُمْ يَتْلُوا۟ عَلَيْهِمْ ءَايَـٰتِهِۦ وَيُزَكِّيهِمْ وَيُعَلِّمُهُمُ ٱلْكِتَـٰبَ وَٱلْحِكْمَةَ وَإِن كَانُوا۟ مِن قَبْلُ لَفِى ضَلَـٰلٍۢ مُّبِينٍۢ ٢

"Dia lah yang telah mengutuskan dalam kalangan orang-orang (Arab) yang Ummiyyin, seorang Rasul (Nabi Muhammad s.a.w) dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya), dan membersihkan mereka (dari iktiqad yang sesat), serta mengajarkan mereka Kitab Allah (Al-Quran) dan Hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum syarak). Dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata"

Fajar Rabiul Awwal menyinsing kembali. Rabiul Awwal adalah bulan yang mempunyai keistimewaannya yang tersendiri. Bulan berlakunya peristiwa agung, iaitu peristiwa kelahiran junjungan besar pemimpin agung, Nabi Muhammad SAW Rasul terakhir yang diutuskan oleh Allah buat kita semua.

Dalam Bahasa Arab, Bulan Rabiul Awwal membawa erti hujan, iaitu hujan rahmat Allah yang diturunkan demi menghidupkan bumi yang gersang secara fizikalnya, begitu juga rahmat daripada Allah dengan mengutuskan baginda Nabi SAW rahmat kepada sekalian alam ini sebagaimana firman Allah SWT menerusi ayat 107 di dalam surah Al-Anbiya' :

وَمَآ أَرْسَلْنَـٰكَ إِلَّا رَحْمَةًۭ لِّلْعَـٰلَمِينَ ١٠٧

"Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam"

Berdasarkan ayat ini, Allah SWT menjelaskan kepada kita bahawa Nabi SAW diutuskan untuk dicontohi akhlak dan keperibadian baginda yang unggul.

Kesempurnaan serta ketinggian martabat seseorang manusia diberikan oleh Allah SWT atas dua dasar utama :

Pertama : Perkara yang menjadi kemestian atau dikenali sebagai (dhururi/ (ضروري)) iaitu berkaitan langsung dengan keperluan dunia dan keperluan hayat seperti fizikal badan, kekuatan akal fikiran, kecergasan dan termasuk juga seperti perkara makan minum, tempat tinggal dan sebagainya.

Kedua : Pencapaian prasarana akhirat dan seluruh makhluk seperti adab beragama, ilmu pengetahuan, kesabaran, kezuhudan dan sebagainya yang mempunyai kaitan dengan istilah (elok perangai / husnul khuluk)

Sesungguhnya kedua-dua dasar tadi telah dianugerahkan oleh Allah SWT kepada baginda kita Nabi Muhammad SAW, dengan cukup sempurna sehingga tiada lagi ruang yang boleh dicela atau dikritik oleh pemikir dan cendiakawan di atas muka bumi ini, melainkan mereka yang hati nuraninya telah dicabut cahaya hidayah oleh Allah SWT.

Sesungguhnya Nabi Muhammad SAW telah lama meninggalkan kita secara fizikalnya. Adalah menjadi kewajipan bagi kita semua mempertahankan baginda Nabi Muhammad SAW. Antaranya :

Pertama : Mempertahankan baginda Nabi Muhammad SAW dengan cara mengikuti sunnah baginda dalam kehidupan. Tidak menjadikan insan lain sebagai idola mahupun ikutan. Ketahuilah bahawa baginda Nabi adalah sebaik-baik ikutan.

Allah SWT berfirman dalam surah Al-Azhab ayat ke 21 :

لَّقَدْ كَانَ لَكُمْ فِى رَسُولِ ٱللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌۭ لِّمَن كَانَ يَرْجُوا۟ ٱللَّهَ وَٱلْيَوْمَ ٱلْـَٔاخِرَ وَذَكَرَ ٱللَّهَ كَثِيرًۭا ٢١

"Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)"

Kedua : Beriman serta meyakini bahawa Nabi Muhammad itu merupakan pesuruh Allah yang sebenar. Tiada lagi rasul atau utusan Allah selepas kewafatan baginda Nabi Muhammad SAW.

Ketiga : Mempertahankan serta beriman terhadap apa yang disampaikan oleh baginda Nabi SAW berkaitan peristiwa atau perkara yang telah lalu, hal semasa dan perkara yang akan berlaku di masa hadapan.

Keempat : Melakukan perkara yang disuruh oleh baginda dan pada masa yang sama menjauhi perkara yang di larang baginda Nabi Muhammad SAW sebagaimana firman Allah dalam surah Al-Hasr, ayat ke 7 :

 وَمَآ ءَاتَىٰكُمُ ٱلرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَىٰكُمْ عَنْهُ فَٱنتَهُوا۟ ۚ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ ۖ إِنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلْعِقَابِ

"Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (s.a.w) kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarangNya kamu melakukannya maka patuhilah laranganNya. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksaNya (bagi orang-orang yang melanggar perintahNya)"

Kelima : Mempertahankan syariat yang dibawa oleh baginda Nabi Muhammad SAW, dengan memahami dan mentaati apa yang dibawa oleh baginda Nabi adalah sepertimana yang diturunkan oleh Allah SWT kepadanya.

Keenam : Mempertahankan baginda dengan memperakui dan meyakini baginda dalam apa jua perbuatan serta tikah laku, termasuk juga dalam menegakkan serta menghidupkan sunnah baginda Nabi SAW sesudah kewafatan baginda.

Dalam menempuhi kehidupan di zaman yang penuh cabaran dan pancaroba ini, marilah kita berazam untuk terus mengikuti setiap ajaran Rasulullah SAW sebagai bukti betapa tingginya kecintaan kita kepada Baginda SAW. Laksanakanlah tuntutan syariat dengan mematuhi setiap hukum hakam agama supaya kita dapat melakukan ibadah wajib mahu pun sunat dengan sempurna. Jadilah seorang muslim yang berakhlak mulia dengan mencontohi akhlak Rasulullah SAW di samping memelihara perhubungan baik sesama manusia.

Didiklah isteri dan anak-anak supaya mencintai Rasulullah SAW sepenuh hati dan mengamalkan cara hidup muslim. Bukankah mengasihi Baginda SAW melebihi segala-galanya adalah tanda keimanan yang sempurna? 

Renungkan hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari, daripada Anas bin Malik RA, bahawa Nabi SAW telah bersabda yang bermaksud : 

"Tidak (sempurna) iman salah seorang daripada kamu sehinggalah aku lebih dikasihinya berbanding bapanya, anaknya dan orang- orang lain keseluruhannya"

Persoalannya sejauh manakah kecintaan kita terhadap Baginda Rasulullah SAW?

Apabila kita mendengar nama baginda diseru, adakah ringan bibir kita untuk melantunkan kembali selawat terhadap baginda?

Tatkala kita mendengar hadis-hadis baginda disyarahkan di masjid-masjid, adakah berat bagi kaki kita untuk melangkah bersama menyertai majlis-majlis ilmu?

Kita merasa bangga apabila anak-anak kita mencapai kejayaan dalam peperiksaan ditempat pengajian mereka, adakah kita pernah merasa bimbang andai anak-anak kita buta akan sejarah baginda Nabi Muhammad SAW? 

Adakah kita merasa bangga anak kita mampu menyanyi pelbagai lagu-lagu pilihan sedangkan anak-anak harapan kita tidak mampu mengenal huruf Al-Quran apatah lagi membaca Al-Quran? 

Kenapakah segelintir manusia pada hari ini sanggup meninggalkan jalan cahaya yang dibawa oleh baginda Nabi Muhammad SAW memilih jalan kegelapan yang membawa kepada kesengsaraan?

Renungkanlah, andai Rasulullah SAW masih lagi ada pada ketika ini. Nescaya baginda akan merasa sedih melihat kehidupan umat baginda pada hari ini. Maksiat di sana sini, penzinaan sudah dianggap perkara biasa, anak muda mudi bergaul bebas tanpa batasan, fesyen pakaian dan rambut pelbagai warna tanpa segan silu dipertontonkan. Aurat dibuka menjadi hiasan dankebanggaan tanpa memikirkan balasan azab sengsara yang akan ditempuhi sesudah mati nanti.

Marilah bersama-sama kita tingkatkan kembali keimanan diri, suburkan serta semarakan hubbun Nabi (cintakan Nabi) kembali dalam kehidupan ini. Mudah-mudahan saki baki umur ini dalam kebaikan Ilahi.

google-playkhamsatmostaqltradent