recent
Terkini | تركيني

Semarakkan Hijrah : Menuju Reda Allah

Laman utama

Malam ini, kita menyambut detik bermulanya tahun baru dalam kalendar Hijrah. Ia bukan sekadar peralihan tahun, tetapi lebih dari itu, ia mengimbau kembali peristiwa agung Hijrah Rasulullah SAW dari kota Mekah ke bumi Madinah. Peristiwa ini bukan sekadar perpindahan fizikal, tetapi titik tolak kepada perubahan peradaban, asas pembinaan Daulah Islamiyyah pertama dan simbol perjuangan menegakkan kebenaran agama Islam yang suci.

Allah SWT telah mengabadikan keutamaan dan ganjaran besar bagi mereka yang berhijrah di jalan-Nya. Firman Allah SWT, di dalam Surah al-Nahl, ayat 41 :

وَٱلَّذِينَ هَاجَرُوا۟ فِى ٱللَّهِ مِنۢ بَعْدِ مَا ظُلِمُوا۟ لَنُبَوِّئَنَّهُمْ فِى ٱلدُّنْيَا حَسَنَةًۭ ۖ وَلَأَجْرُ ٱلْـَٔاخِرَةِ أَكْبَرُ ۚ لَوْ كَانُوا۟ يَعْلَمُونَ ٤١

"Dan orang-orang yang berhijrah kerana Allah, sesudah mereka dianiaya (ditindas oleh musuh-musuh Islam), Kami akan menempatkan mereka di dunia ini pada tempatnya yang baik; dan sesungguhnya pahala (amal mereka yang baik itu) lebih besar di akhirat kelak, kalaulah mereka mengetahui"

Hijrah Nabi Muhammad SAW dan para sahabat radhiyallahu 'anhum telah mengajar kita beberapa pengajaran agung, antaranya :

Pertama : Pengorbanan Demi Kebenaran

Rasulullah SAW dan para sahabat sanggup meninggalkan tanah air tercinta, harta benda dan kaum kerabat yang disayangi demi mempertahankan akidah dan menegakkan syariat Allah SWT.

Pengorbanan Abu Bakar RA contohnya, kesetiaan Ali RA yang tidur di tempat Rasulullah SAW dan perjalanan berbahaya dan bersembunyi di dalam Gua Tsur, semuanya adalah cerminan kepada ketulusan iman.

Kedua : Kepentingan Perancangan & Tawakal

Hijrah bukanlah satu tindakan terburu-buru. Ia dirancang penuh rapi, hikmah dan strategi. Segala perancangan disertai dengan tawakal dan penyerahan mutlak kepada Allah SWT. Ini kerana, perancangan tanpa tawakal adalah keangkuhan. Dan, tawakal tanpa perancangan adalah kecuaian.

Ketiga : Membangun Ummah Yang Kuat Bersatu

Matlamat utama Hijrah adalah membina masyarakat Islam yang mantap di Madinah. Di sinilah terasasnya Piagam Madinah, asas perundangan di antara hubungan Muslim dan bukan Muslim, ukhuwah di antara Ansar dan Muhajirin, serta seluruh penduduk Madinah al-Munawwarah. Bahkan, persaudaraan ini mengatasi ikatan darah dan bangsa. Inilah kekuatan sebenar bagi umat Islam, sebagaimana sabda Rasulullah SAW :

المُؤْمِنُ لِلْمُؤْمِنِ كَالْبُنْيَانِ يَشُدُّ بَعْضُهُ بَعْضًا

"Seorang mukmin terhadap mukmin yang lain bagaikan satu bangunan, sebahagian menguatkan sebahagian yang lain"

(Hadis Riwayat Bukhari, No Hadis 481 & Muslim, No Hadis 2585)

Keempat : Hijrah Sebagai Proses Penyucian Jiwa (Tazkiyah An-Nafs)

Perjalanan jauh meninggalkan kaum keluarga yang dikasihi, menghadapi cabaran dan kesukaran, semua ini adalah ujian untuk menyucikan jiwa, meningkatkan kesabaran dan mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Imam Ibn Qayyim Al-Jauziyyah berkata : "Hijrah adalah meninggalkan apa yang dibenci oleh Allah menuju apa yang dicintai Allah".

Kelima : Optimis dan Harapan

Walaupun dalam keadaan sukar dan tertekan di Mekah, peristiwa Hijrah membawa visi besar dalam membangun peradaban baru di Madinah. Hijrah mengajar kita untuk tidak berputus asa, sentiasa yakin dengan pertolongan Allah dan melihat masa depan dengan penuh pengharapan.

Firman Allah SWT, di dalam Surah al-Talaq, ayat 2-3 :

وَمَن يَتَّقِ ٱللَّهَ يَجْعَل لَّهُۥ مَخْرَجًۭا ٢ وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ ۚ وَمَن يَتَوَكَّلْ عَلَى ٱللَّهِ فَهُوَ حَسْبُهُۥٓ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ بَـٰلِغُ أَمْرِهِۦ ۚ قَدْ جَعَلَ ٱللَّهُ لِكُلِّ شَىْءٍۢ قَدْرًۭا ٣

"Dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya), Serta (Allah) memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu"

Apakah pengajaran peristiwa Hijrah kepada generasi hari ini? Adakah ia sekadar nostalgia lipatan sejarah semata-mata? Pastilah TIDAK! Hijrah adalah seruan agung untuk perubahan menuju redha Allah SWT yang tidak bertepi.

Marilah kita mengambil pedoman daripada peristiwa Hijrah ini dan melaksanakan ibrah hijrah dalam perkara berikut :

  1. Hijrah Hati. Berhijrah dari cinta dunia yang melampau kepada cinta akhirat. Dari sifat mazmumah iri hati, dengki, sombong, ujub kepada sifat mahmudah, iaitu menyuburkan sifat ikhlas, sabar, syukur dan tawaduk di dalam hati.
  2. Hijrah Akhlak. Berhijrah dari akhlak yang tidak baik kepada akhlak yang mulia sebagaimana akhlak Rasulullah SAW. Dari kata-kata keji dan nista kepada kata-kata yang baik. Dari menzalimi kepada berbuat adil. Dari khianat kepada amanah.
  3. Hijrah Amal. Berhijrah dari maksiat kepada taat. Dari meninggalkan solat kepada istiqamah menunaikannya. Dari enggan berzakat kepada melaksanakan zakat dengan rela. Dari lalai membaca Al-Quran kepada membacanya dengan penuh tadabbur dan penghayatan.
  4. Hijrah Pemikiran. Berhijrah dari pemikiran jahiliyyah, seperti rasis, asabiyah dan materialistik kepada pemikiran Islam yang sebenar. Menjauhi khurafat, tahyul dan ajaran-ajaran sesat. Berpegang teguh kepada Al-Quran dan Sunnah dengan berteraskan kefahaman Islam yang sebenar.
  5. Hijrah Media & Teknologi. Berhijrah dari menggunakan media sosial untuk menyebar fitnah, gosip dan perkara lagha yang sia-sia kepada menggunakan media sosial dan teknologi bagi tujuan dakwah, menyebar kebaikan dan menyambung talian persaudaraan Islam.

google-playkhamsatmostaqltradent