recent
Terkini | تركيني

Kejahilan Musuh Diri Sendiri

Laman utama

Isu ini amat penting dan semakin meruncing dalam kehidupan Muslim di zaman ini, satu penyakit yang sangat merbahaya dalam diri manusia, namun ramai yang tidak menyedarinya.

Penyakit itu adalah kejahilan satu musuh dalam diri yang boleh menghancurkan kehidupan insan sama ada di dunia mahupun di akhirat. Kejahilan ini bukan sahaja bermaksud tidak tahu, bahkan lebih berbahaya apabila seseorang merasa dirinya sudah cukup tahu, lalu menolak kebenaran dan menentang ilmu.

Apa Itu kejahilan? Kejahilan berasal daripada perkataan Arab ("جهل" jahala) yang bermaksud : "Tidak tahu", "tidak kenal perkara dengan sebenar" atau "bertindak tanpa ilmu dan panduan". Manakala dalam Al-Quran perkataan jahala disebut sebanyak 24 kali dalam pelbagai bentuk seperti al jahilin, al jahiliyyah, yajhalun, jahil, tajhalun, najhal, jahalah dan bijahalah. Bagi golongan yang bersikap jahil (yajhalun) disebut sebanyak 5 kali.

Misalnya dalam surah al An'am ayat 111 :

 وَلَوْ أَنَّنَا نَزَّلْنَآ إِلَيْهِمُ ٱلْمَلَـٰٓئِكَةَ وَكَلَّمَهُمُ ٱلْمَوْتَىٰ وَحَشَرْنَا عَلَيْهِمْ كُلَّ شَىْءٍۢ قُبُلًۭا مَّا كَانُوا۟ لِيُؤْمِنُوٓا۟ إِلَّآ أَن يَشَآءَ ٱللَّهُ وَلَـٰكِنَّ أَكْثَرَهُمْ يَجْهَلُونَ ١١١

"Dan sekalipun Kami benar-benar menurunkan malaikat kepada mereka, dan orang yang telah mati berbicara dengan mereka dan Kami kumpulkan (pula) di hadapan mereka segala sesuatu (yang mereka inginkan), mereka tidak juga akan beriman, kecuali jika Allah menghendaki. Tapi kebanyakan mereka tidak mengetahui (arti kebenaran)"

Dalam Islam, kejahilan bukan hanya soal tidak tahu, tetapi juga satu kegelapan hati dan minda yang menyebabkan manusia jauh daripada kebenaran. Ia adalah musuh dalaman yang paling halus tetapi amat berbahaya kerana ia boleh membawa kerosakkan serta kebinasaan dalam kehidupan dan akal fikiran, kerana ia boleh menyelinap masuk dalam diri tanpa disedari.

Ulama muktabar seperti Al-Ghazali, Al-Amidi, Al-Taftazani dan Wahbah al-Zuhaili membahagikan kejahilan kepada dua bentuk utama :

  1. Jahil Basit ( جهل بسيط ) - Seseorang tidak tahu dan dia mengakui bahawa dia tidak tahu. Jahil Basit ini adalah bentuk kejahilan yang boleh diperbaiki dengan belajar dan bertanya. Contohnya: "Saya tak tahu cara mengurus jenazah".
  2. Jahil Murakkab ( جهل مركب ) - Seseorang tidak tahu, tetapi menyangka dia tahu. Inilah bentuk kejahilan yang paling bahaya kerana seseorang itu menolak kebenaran dalam keadaan dia merasa benar. Contohnya: Mengeluarkan hukum halal haram tanpa ilmu, atau mentafsir agama dengan logik sendiri.

Hasilnya, dengan bentuk kejahilan ini pasti mendatangkan kesan yang buruk pada seseorang. Bahkan, merosakkan akhlak, mencacatkan pemikiran dan meruntuhkan sistem.

Marilah kita merenung sejenak akan punca dan kesan kejahilan ini. Sekiranya seseorang jahil tentang agama, kesannya menyebabkan ajaran sesat berleluasa, syariat Allah dipermainkan, Islam disalah faham. Sekiranya jahil tentang akhlak, seseorang itu akan beranggapan sifat marah itu berani, angkuh itu tegas dan akhirnya lahir masyarakat yang keras dan gelap hati. Jika seseorang itu jahil tentang diri, dia tidak kenal kelemahan diri, gagal urus emosi, hidup dalam dosa tanpa sedar.

Begitu juga halnya, jika seseorang jahil dalam pentadbiran dan pengurusan organisasi, maka ia akan gagal mentadbir dengan beretika, membiarkan rasuah berleluasa, mengkhianati amanah dan akhirnya masyarakat menjadi mangsa. Akhirnya akan berhadapan dengan tadbir urus yang lemah, integriti yang rapuh, pengurusan tidak cekap dan perkhidmatan yang gagal memenuhi keperluan rakyat.

Berikut adalah beberapa statistik dan kes dilaporkan di Malaysia yang menunjukkan bagaimana kejahilan terutama dalam konteks agama dan sosial boleh membawa kesan negatif kepada individu dan masyarakat :

Pertama : Menurut laporan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), sebanyak 47 kes ajaran sesat telah dilaporkan di Malaysia antara Januari 2020 hingga September 2021 :

  • 33kes pada tahun 2020
  • 14 kes hingga September 2021 sahaja

Ajaran sesat sering kali muncul kerana orang ramai tidak cukup ilmu agama, lalu mudah tertipu oleh individu tertentu yang mengambil kesempatan terhadap kejahilan orang lain.

Kedua : Berhubung dengan jenayah & kekejaman sebab emosi hilang kawalan menurut data PDRM (hingga Jun 2024), terdapat 860 kes pembunuhan dicatatkan dari 2021 hingga pertengahan 2024 dengan kadar purata 5 kes seminggu. Apabila diselidiki punca utama berlakunya kes pembunuhan ini adalah;

  • Pertengkaran dan perselisihan (302 kes)
  • Cemburu (56 kes)
  • Mabuk / khayal (51 kes)
  • Balas dendam & samun (451 kes)

Oleh itu, dapatlah difahami bahawa kurangnya pengawalan emosi, nilai moral dan kesedaran rohani boleh menjurus kepada tindakan ekstrem dan membuta tuli. Keadaan ini menunjukkan betapa bahayanya apabila akal dan adab sudah tiada pada diri. Peringatan dari Baginda Nabi SAW yang menyatakan bahawa akhir zaman dicirikan oleh "al-Harj" (pembunuhan akibat kejahilan). Inilah puncanya kenapa kejahilan dianggap musuh diri sendiri. Kejahilan adalah musuh yang senyap tapi merosakkan. Ia membunuh keimanan, mencetuskan perpecahan, menindas kebenaran dan menjauhkan manusia dari tergolong dalam ketakwaan. Oleh itu, memerangi kejahilan dengan ilmu adalah jihad teragung.

Sebagai kesimpulan, marilah kita berusaha untuk melaksanakan beberapa tuntutan berikut;

Pertama : Menanam kesedaran bahawa jahil itu bahaya. Langkah pertama ialah mengakui kelemahan diri dan sedar bahawa kejahilan bukan lah satu kecacatan, tetapi bahaya besar jika dibiarkan tanpa usaha memperbaikinya.

Kedua : Menghidupkan budaya menuntut ilmu sepanjang hayat. Menjadikan ilmu sebagai gaya hidup, bukan sekadar keperluan waktu belajar. Hadir kuliah agama, majlis ilmu, baca buku, tonton bahan bermanfaat, dan bertanya kepada ahlinya.

 فَسْـَٔلُوٓا۟ أَهْلَ ٱلذِّكْرِ إِن كُنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

"Maka bertanyalah kepada orang yang berilmu jika kamu tidak mengetahui"

(Surah An-Nahl : 43)

Ketiga : Merendah diri untuk belajar dan ditegur. Orang yang berilmu akan terus tunduk dan terbuka kepada teguran – inilah sifat mukmin sebenar.

Keempat : Berdoa agar diselamatkan dari jahil Nabi SAW sendiri berlindung dari kejahilan, maka kita juga mesti begitu.

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الجَهْلِ، وَالغَفْلَةِ، وَالعَجْزِ، وَالكَسَلِ

"Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada kejahilan, kelalaian, kelemahan dan kemalasan"

Justeru itu, kejahilan ialah musuh dalam diri. Ilmu ialah senjata yang membunuhnya. Jangan biarkan musuh itu hidup dan berkembang dalam hati dan masyarakat. Sebaliknya, hidupkan ilmu, amal dan akhlak agar kita termasuk dalam golongan yang mendapat petunjuk dan kejayaan dunia akhirat.

google-playkhamsatmostaqltradent