Pernikahan atau perkahwinan adalah salah satu ibadah yang disyariatkan oleh Allah SWT sesuai dengan kehendak fitrah manusia. Ianya juga menjadi salah satu sunnah Nabi Muhammad SAW yang sangat digalakkan oleh agama Islam. Allah SWT menciptakan makhluk-Nya khususnya manusia berpasang-pasangan lelaki mahupun perempuan yang mencari ketenangan dan kedamaian dengan kehidupan bersuami isteri dan seterusnya berkeluarga yang pada dasarnya melahirkan sifat ketakwaan, berkasih sayang, rahmat, berkat, tenteram dan teratur berbanding hidup berseorangan atau menyendiri.
Firman Allah SWT di dalam surah An Nisa’ ayat 1,
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ ٱتَّقُوا۟ رَبَّكُمُ ٱلَّذِى خَلَقَكُم مِّن نَّفْسٍۢ وَٰحِدَةٍۢ وَخَلَقَ مِنْهَا زَوْجَهَا وَبَثَّ مِنْهُمَا رِجَالًۭا كَثِيرًۭا وَنِسَآءًۭ ۚ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ ٱلَّذِى تَسَآءَلُونَ بِهِۦ وَٱلْأَرْحَامَ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ عَلَيْكُمْ رَقِيبًۭا ١
"Wahai sekalian manusia! Bertakwalah kepada tuhan kamu yang telah menjadikan kamu bermula daripada diri yang satu yakni Adam dan yang menjadikan daripada Adam itu pasangannya yakni isterinya Hawa, dan juga yang membiakkan daripada kedua-duanya zuriat keturunan lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertakwalah kepada Allah yang selalu kamu meminta-minta dengan menyebut-nyebut namaNya, dan peliharalah hubungan silaturrahim kaum kerabat, kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati dan mengawasi kamu"
Perlu diingatkan bahawa pernikahan atau perkahwinan merupakan satu ikatan melalui akad nikah yang sah demi menghalalkan hubungan antara lelaki dengan perempuan hidup bersama sebagai suami isteri dan melaksanakan hak dan tanggungjawab masing-masing sebagai suatu usaha menyambung silaturrahim serta kesinambungan keturunan manusia di samping membina keluarga yang bahagia di dunia dan akhirat.
Oleh yang demikian, syariat Islam telah menetapkan setiap pernikahan yang dijalankan wajib memenuhi rukun dan mematuhi syarat-syaratnya agar matlamat utamanya iaitu memelihara nasab atau keturunan dapat dicapai. Justeru, pernikahan yang akan dilaksanakan perlulah mengikut lunas undang-undang, peraturan serta garis panduan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa agama bagi memastikan setiap akad nikah menepati hukum syarak demi kebaikan semua pihak.
Walau bagaimanapun, di akhir-akhir ini kita sering mendengar semakin ramai umat Islam di Malaysia melangsungkan pernikahan di luar negara seperti di Thailand, Indonesia, Pakistan, Bangladesh dan lain-lain negara. Ada pernikahan di luar negara ini yang dijalankan dengan mendapat kebenaran daripada pihak Jabatan Agama Islam Negeri di Malaysia. Namun begitu banyak juga pernikahan di luar negara yang dijalankan tanpa mendapat kebenaran terlebih dahulu. Sebenarnya pernikahan tanpa kebenaran ini bukan sahaja berlaku di luar negara tetapi berlaku juga dalam negara kita.
Pelbagai faktor telah dikenal pasti menjadi punca berlakunya pernikahan yang dilangsungkan tanpa mendapat kebenaran atau lebih dikenali sebagai "pernikahan sindiket". Di antara faktornya adalah seperti berikut :
- Suami ingin berpoligami tanpa kebenaran dengan alasan ianya lebih mudah tanpa melalui proses di mahkamah dan tanpa pengetahuan isteri-isteri yang sedia ada, sedangkan berpoligami itu disarankan agar dapat membina hubungan kekeluargaan yang lebih meluas dengan sifat kasih sayang dan bertoleransi sesama ahli keluarga.
- Pasangan mendakwa wali nasab yang sedia ada tidak bersetuju atau enggan memberi keizinan, sedangkan hal ini boleh diselesaikan dengan permohonan wali hakim atau wali raja di Mahkamah Rendah Syariah.
- Pasangan yang telah terlanjur hinggakan ada yang telah hamil. Oleh sebab itu mereka menganggap bernikah di luar negara dapat menutup aib mereka, sedangkan hakikatnya setiap perbuatan dosa itu tetap wajib bertaubat dan bersedia bertanggungjawab dengan kelahiran anak yang berstatus tidak sah taraf.
- Rakyat Malaysia yang ingin berkahwin dengan warga asing memilih untuk berkahwin di luar negara. Mereka beranggapan ianya mudah kerana tidak perlu mendapatkan kebenaran dari pihak bertanggungjawab bagi warga asing tersebut, sedangkan proses pendaftaran tanpa kebenaran akan mengambil masa yang lama dan biasanya akan menyebabkan kesukaran mendapatkan visa untuk terus tinggal di negara ini.
- Rakyat Malaysia yang tinggal di luar negara kerana belajar atau bekerja di luar negara sering menganggap tidak perlu mendapatkan kebenaran daripada pihak berwajib sedangkan pelbagai kemudahan telah ada bagi mendapatkan kebenaran untuk berkahwin.
Sebagai makluman, terlalu banyak masalah yang akan timbul akibat daripada pernikahan tanpa kebenaran atau secara sindiket ini. Di antaranya adalah :
- Proses pendaftaran semula pernikahan tersebut di negara ini akan mengambil masa yang panjang kerana melibatkan proses dokumentasi dan membabitkan pengesahan daripada mahkamah. Ianya akan bertambah rumit sekiranya dokumen yang dikemukakan tidak mencukupi atau palsu.
- Jika tidak didaftarkan, maka Surat Perakuan Nikah yang sah tidak akan diperolehi dan perlu diingatkan Surat Perakuan Nikah sangat penting dalam kehidupan suami isteri. Tanpanya pendaftaran kelahiran anak akan menjadi sulit kerana memerlukan pengesahan taraf nasab dan kewarganegaraan. Anak tersebut akan berdepan dengan kesukaran dalam urusan perubatan, pendidikan dan perkahwinannya pada masa akan datang.
- Menghadapi masalah dalam urusan penyambungan visa untuk terus berada dalam negara ini bagi pasangan yang berkahwin dengan warga asing.
- Menghadapi kesulitan dalam urusan ibadah seperti menunaikan ibadah haji dan umrah.
- Menghadapi kesukaran dalam pengurusan harta pusaka setelah pasangan meninggal dunia kerana kegagalan pihak yang berkaitan mengemukakan dokumen pernikahan yang diiktiraf.
- Sekiranya berlaku penceraian, pelbagai urusan di mahkamah seperti tuntutan perceraian, pengesahtarafan anak, tuntutan nafkah, tuntutan hak penjagaan anak, tuntutan keadilan berpoligami antara isteri, tuntutan harta sepencarian dan sebagainya tidak dapat diuruskan juga disebabkan gagalnya mengemukakan Surat Perakuan Nikah yang diiktiraf.
- Perlu diberi perhatian, mudhorat yang paling memeritkan adalah apabila mahkamah mendapati pernikahan yang dilaksanakan sama ada di luar atau dalam negara secara sindiket itu adalah tidak sah kerana tidak menepati Hukum Syarak. Akibatnya, pernikahan itu terpaksa difaraqkan atau dibubarkan.
- Pasangan yang melangsungkan pernikahan tanpa kebenaran atau secara sindiket ini boleh dikenakan tindakan undang-undang. Antara kesalahan-kesalahan lain yang akan dikenakan hukuman seperti yang disebutkan juga adalah kesalahan poligami tanpa kebenaran, akad nikah tanpa kebenaran, lewat mendaftar perkahwinan dan bersubahat melakukan pernikahan.
Adalah diingatkan bahawa perkahwinan adalah kemuliaan. Oleh yang demikian, kita tidak sepatutnya merosakkan amalan ini dengan pernikahan tanpa kebenaran atau sindiket. Seeloknya, fikirlah dengan semasak-masaknya akibat daripada pernikahan sindiket ini dari pelbagai aspek.
Kita tidak mahu ada isteri yang dizalimi selepas penceraian, anak yang terbiar tanpa pendaftaran atau perkahwinan yang terpaksa dibubarkan kerana kegagalan pasangan mematuhi undang-undang syarak. Ingatlah, perkahwinan yang sah menatijahkan keluarga muslim yang bahagia serta mengukuhkan pembinaan masyarakat yang sejahtera.
Menyedari hakikat bahawa banyak mudhorat pernikahan tanpa kebenaran atau pernikahan sindiket ini, maka umat Islam wajib mengambil pengajaran dan iktibar seperti berikut :
- Pernikahan yang hendak dilaksanakan mestilah mengikut hukum hakam syarak dan menurut peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak berwajib demi sebuah kehidupan keluarga yang sakinah, mawaddah, wa rahmah dan sentiasa mendapat keredaan Allah SWT.
- Pernikahan yang dilaksanakan dengan tidak mengikut peraturan akan membawa pelbagai masalah dan akan merugikan banyak pihak terutamanya suami isteri kerana tidak mempunyai Surat Perakuan Nikah yang diiktiraf.
- Undang-undang yang dibuat bukanlah untuk menyusahkan mana-mana pihak, bahkan tujuan utama ianya dikuatkuasakan bagi menjaga kebajikan isteri dan anak-anak pada masa akan datang.