Keamanan ini tidak datang dengan sendirinya, sebaliknya ia terbina hasil dari perjuangan para pejuang yang cintakan keamanan dan kemakmuran. Mereka mengorbankan kepentingan diri dan keluarga dengan sepenuh jiwa raga untuk mempertahankan kedaulatan negara daripada terus diceroboh serta dijajah. Malah ada di antara mereka yang terkorban dan darah mereka tumpah menyirami tanah air yang kita cintai ini.
Tanggal 31 Julai setiap tahun, kita menyambut Hari Pahlawan sebagai tanda ingatan terhadap jasa dan menghargai pengorbanan mereka yang telah berjuang untuk membebaskan negara daripada penjajahan, penindasan dan cengkaman musuh negara.
Pahlawan sejati ialah insan yang berani berkorban demi kebenaran dan kesejahteraan orang lain. Keberanian mereka bukan kerana ingin menempa nama dan kemasyhuran, tetapi kerana rasa tanggungjawab kepada agama, bangsa dan tanah air. Secara simbolik, pahlawan adalah orang yang gagah dan berani iaitu para kesatria yang disanjungi lagi digeruni. Dalam konteks hari ini, pahlawan negara biasanya dikaitkan dengan tentera dan polis yang mewakili pasukan keselamatan dan keamanan negara.
Dalam Islam, pahlawan sering dirujuk sebagai mujahid iaitu orang yang berjihad fi sabilillah (berjuang di jalan Allah).
Ramai tokoh pahlawan tanah air kita datang dari latar belakang yang berbeza, ada yang terdiri keturunan Raja, ulama dan bangsawan, ada petani, guru, wanita, malahan ada juga yang tidak dikenali langsung oleh sejarah rasmi. Walaupun mereka tidak dikenali dan jarang pula dihargai, mereka yang berjuang sebegitu juga adalah termasuk dalam kalangan pahlawan yang kenali sebagai "wira yang tidak didendang". Kesemua mereka mungkin berbeda pendekatan dalam perjuangan, akan tetapi membawa satu matlamat yang sama iaitu untuk membela maruah umat dan tanah air. Kesemuanya mempunyai nilai yang tinggi di sisi Allah SWT.
Firman Allah SWT dalam Surah Muhammad ayat 5 :
سَيَهْدِيهِمْ وَيُصْلِحُ بَالَهُمْ ٥
"Allah akan memimpin mereka yang berjuang (ke jalan mendapat sebaik-baik balasan) dan menjadikan keadaan mereka baik dan berguna (di dunia dan di akhirat)"
Namun, di kala keamanan telah puas dinikmati oleh generasi masa kini, sejauh manakah pula kita benar-benar menghargai pengorbanan nyawa dan darah yang telah ditumpahkan demi mengecapi nikmat kebebasan dan hidup dalam negara yang merdeka? Ingatlah bahawa "kerana darah para satria, kita hari ini menumpang suka dan membina jaya".
Mereka telah menggadai segala-galanya termasuklah keselesaan hidup bersama keluarga, masa muda, harta benda, malah nyawa sendiri demi memastikan keselamatan dan kemakmuran negara dapat dikecapi oleh generasi dan anak cucu mereka sehingga kini.
Dalam Islam, berjuang membela agama dan tanah air adalah satu jihad yang agung. Mereka yang terkorban dalam perjuangan membela agama, mempertahankan diri dan keluarga adalah dikira syahid. Rasulullah SAW bersabda :
مَنْ قُتِلَ دُونَ مَالِهِ فَهُوَ شَهِيدٌ وَمَنْ قُتِلَ دُونَ دِينِهِ فَهُوَ شَهِيدٌ وَمَنْ قُتِلَ دُونَ دَمِهِ فَهُوَ شَهِيدٌ وَمَنْ قُتِلَ دُونَ أَهْلِهِ فَهُوَ شَهِيدٌ
"Sesiapa yang terbunuh kerana hartanya maka dia syahid, dan sesiapa yang terbunuh kerana agamanya, maka dia syahid, dan sesiapa yang terbunuh kerana darahnya (dirinya), maka dia syahid, dan sesiapa yang terbunuh kerana keluarganya, maka dia syahid"
Negara memiliki barisan tokoh-tokoh pahlawan yang telah terkorban mempertahankan negara seperti Leftenan Adnan, Haji Abd Rahman Limbong, Tok Janggut, Mat Kilau dan Datuk Bahaman. Tidak dilupakan juga srikandi seperti Tun Fatimah yang handal dalam ilmu persilatan serta tangkas bermain keris dan tombak.
Sebenarnya ramai nenek moyang kita menjadi pejuang Melayu dan terlibat menentang penjajahan luar. Bahkan seluruh rakyat bangkit menentang dengan beberapa siri pemberontakan dan perlawanan rakyat. Pejuang-pejuang tempatan termasuk para hulubalang, panglima dan rakyat biasa bangkit mempertahankan negeri, walaupun dengan kekuatan yang terhad. Sejarah mereka berjuang adalah inspirasi kepada generasi hari ini untuk bangkit dan berjuang dengan cara tersendiri. Persoalannya kini, apakah kita juga pada hari ini benar-benar mewarisi semangat perjuangan itu? Atau kita lalai, leka dan merosakkan apa yang mereka bina dengan air mata dan darah? Apakah setelah keamanan dikecapi kita hanya berhenti di sini?
Harus diingat bahawa pahlawan bukan semata-mata orang yang mengangkat senjata sahaja, tetapi siapa sahaja yang berjuang menegakkan agama Allah, melindungi maruah dan hak orang lain, menentang kezaliman, kemungkaran dan kebodohan serta bersusah payah mengorbankan diri demi masyarakat, walaupun tidak dikenali juga adalah pahlawan sejati. Dalam erti kata yang lain mereka tetap digelar sebagai Satria di medan yang tersendiri.
Martabat seorang pahlawan amat tinggi dalam Islam. Mereka memikul tugas fardhu kifayah yang amat besar bagi mempertahankan keselamatan dan menjaga keamanan negara. Sewajarnya mereka diiktiraf tanpa mengira pangkat mahupun keanggotaan, sama ada sebagai sukarelawan atau pengawal keselamatan. Semoga para pahlawan yang telah gugur ditempatkan di kalangan mereka yang syahid. Marilah kita merenung dan bermuhasabah.
Kemerdekaan bukan hanya nikmat, tetapi amanah. Jangan kita menjadi generasi yang melupakan jasa, lalu meruntuhkan apa yang telah diperjuangkan. Perjuangan-perjuangan itu sendinya adalah keikhlasan dan keberanian, galang gantinya adalah titisan-titisan darah pejuang..Ya.. "Darah Satria".
Kesimpulannya, marilah kita berdoa agar Allah SWT menempatkan roh para pahlawan Islam dan negara kita dalam kalangan orang-orang yang beriman dan diredhai-Nya. Hanya Allah SWT sebaik-baik pemberi balasan setimpal atas pengorbanan mereka.
Marilah kita mejadi pewaris yang jujur dan menghargai terhadap pengorbanan mereka dan tanamkan dalam diri kita semangat jihad yang bukan hanya di medan perang, tetapi dalam menentang kebatilan, kemungkaran dan kezaliman dalam apa jua bentuk.