Anak-anak adalah amanah di samping anugerah Allah yang sangat besar. Firman Allah SWT dalam Surah At-Tahriim ayat 6 :
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ قُوٓا۟ أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًۭا وَقُودُهَا ٱلنَّاسُ وَٱلْحِجَارَةُ عَلَيْهَا مَلَـٰٓئِكَةٌ غِلَاظٌۭ شِدَادٌۭ لَّا يَعْصُونَ ٱللَّهَ مَآ أَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ ٦
"Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan"
Ayat ini memerintahkan orang beriman untuk melindungi diri dan keluarganya dari seksa api neraka dengan cara melakukan ketaatan kepada Allah, menjauhi maksiat dan mengajarkan nilai-nilai agama kepada keluarga serta mengingatkan tentang pentingnya tanggungjawab setiap individu dalam menjaga keluarga.
Anak-anak adalah amanah yang Allah letakkan di atas bahu setiap ibu bapa. Mereka ibarat kain putih, bersih tanpa noda. Sama ada anak itu membesar menjadi soleh atau sebaliknya, ia sangat bergantung kepada cara kita mendidik dan membimbing mereka.
Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda :
"Setiap anak dilahirkan di atas fitrah. Maka ibu bapalah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi"
(Riwayat Bukhari & Muslim)
Jelaslah bahawa ibu bapa mempunyai pengaruh yang sangat besar dalam mencorak kehidupan anak-anak. Jika didikan ke arah kebaikan yang diberi, maka anak akan membesar dengan akhlak mulia dan iman yang teguh. Jika dibiarkan tanpa bimbingan, mereka akan hanyut dalam arus dunia yang menyesatkan. Menanam akidah yang benar sejak anak masih kecil adalah tunjang membentuk anak-anak. Perkenalkan mereka kepada Allah, ajarkan mereka siapa Pencipta mereka dan tanamkan rasa cinta kepada-Nya.
Setiap Muslim wajiblah mengutamakan ketaatan kepada Allah dalam kehidupan dan menjauhi segala bentuk maksiat yang boleh merosakkan iman dan akhlak. Jika tanggungjawab ini ditunaikan, ia bukan sahaja menyelamatkan diri ibu bapa daripada azab, tetapi juga menjadi sebab anak-anak membesar sebagai hamba Allah yang taat dan menjadi saham pahala berpanjangan.
Kita kini berdepan dengan pelbagai cabaran besar dalam mendidik anak-anak. Antaranya ialah :
- Pengaruh gajet dan media sosial – Anak-anak lebih banyak menghabiskan masa dengan telefon pintar berbanding membaca al-Quran.
- Budaya hiburan melampau – Program televisyen, muzik dan filem yang tidak mendidik jiwa menjadi santapan harian.
- Pergaulan bebas – Anak-anak mudah terdedah dengan gaya hidup hedonisme dan pergaulan yang merosakkan akhlak.
- Kelemahan institusi keluarga – Ibu bapa terlalu sibuk bekerja sehingga mengabaikan pedidikan agama anak-anak.
Jika tidak ditangani dengan bijaksana, cabaran ini boleh menghalang anak-anak daripada mendapat kejayaan di dunia dan akhirat. Dalam al-Quran, Allah SWT merakamkan beberapa kisah yang boleh menjadi panduan dalam mendidik anak. Antaranya ialah nasihat Luqman al-Hakim kepada anaknya yang bermaksud :
"Wahai anakku! Janganlah engkau mempersekutukan Allah. Sesungguhnya syirik itu satu kezaliman yang besar"
(Surah Luqman: 13)
Kemudian Luqman menasihati anaknya tentang solat, amar makruf nahi mungkar, sabar, tawaduk dan menjaga akhlak. Ini menunjukkan pendidikan anak mesti bermula dengan akidah, kemudian ibadah dan akhlak.
Masalah yang dihadapi bukan untuk dirunsingkan tetapi perlu diurus dengan ilmu dan cara yang betul. Sehubungan itu, suka khatib mencadangkan beberapa pendekatan yang boleh diambil dalam mendidik anak menuju syurga :
Pertama : Akidah yang benar
Akidah adalah asas kepada segala amal. Tanpa akidah yang kukuh, ibadah dan akhlak seseorang mudah tergugat. Sejak kecil, anak-anak perlu mengenal Allah sebagai Pencipta, Pemilik, dan Pentadbir alam semesta. Mereka juga perlu diajar mengenal sifat-sifat Allah yang utama seperti Maha Pemurah, Maha Mengetahui, Maha Adil supaya hati mereka sentiasa terpaut kepada-Nya.
Firman Allah SWT dalam Surah Muhammad ayat 19 yang bermaksud :
"Oleh itu, maka tetapkanlah pengetahuanmu dan keyakinanmu (wahai Muhammad) bahawa sesungguhnya tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah, dan mintalah ampun kepadaNya bagi salah silap yang engkau lakukan, dan bagi dosa-dosa orang-orang yang beriman - lelaki dan perempuan; dan (ingatlah), Allah mengetahui akan keadaan gerak-geri kamu (di dunia) dan keadaan penetapan kamu (di akhirat)"
Akidah yang benar akan membentuk jiwa yang yakin, tidak mudah terpengaruh dengan fahaman songsang dan bersedia menghadapi cabaran hidup dengan kebergantungan penuh kepada Allah.
Kedua : Ibadah sebagai benteng hidup
Ibadah adalah penghubung antara hamba dan Penciptanya. Anak-anak perlu dibiasakan dengan ibadah seawal mungkin, khususnya solat. Rasulullah SAW bersabda :
"Suruhlah anak-anak kamu bersolat ketika mereka berumur tujuh tahun, dan pukullah mereka (dengan pukulan mendidik, bukan menyakitkan) jika mereka meninggalkannya ketika berumur sepuluh tahun dan pisahkan antara mereka di tempat tidur."
(Hadis Riwayat Abu Dawud)
Solat bukan sekadar kewajipan, tetapi menjadi benteng daripada perbuatan keji dan mungkar. Apabila anak-anak dibiasakan dengan ibadah solat, puasa, membaca al-Quran, berdoa dan berzikir, hati mereka akan menjadi lembut, disiplin terdidik dan hidup mereka akan lebih teratur.
Ketiga : Akhlak mulia
Nabi SAW diutuskan untuk menysempurnakan akhlak manusia. Pendidikan akhlak perlu bermula sejak kecil kerana akhlak adalah cermin peribadi seseorang. Anak-anak perlu diajar bersopan santun dalam percakapan dan perbuatan, mengamalkan sifat jujur dan amanah, berkasih sayang, menghormati orang tua dan menjaga lidah daripada kata-kata dusta, umpatan dan maki hamun.
Keempat : Ilmu yang bermanfaat
Ilmu adalah cahaya yang menerangi kehidupan. Anak-anak perlu dibimbing supaya mencintai ilmu dan belajar dengan bersungguh-sungguh. Ilmu yang bermanfaat akan melahirkan generasi berfikiran matang, berakhlak tinggi dan mampu memberi sumbangan kepada masyarakat. Selain ilmu akademik, ibu bapa perlu memastikan anak-anak mempelajari ilmu agama seperti fardu ain, bacaan al-Quran, sirah Nabi SAW dan asas hukum-hakam di dalam Islam.
Marilah kita muhasabah, apakah kita telah mendidik anak-anak kita dengan sebaiknya? Atau kita lalai sehingga mereka terjebak dengan budaya yang merosakkan?
Marilah kita mengambil pengajaran bahawa mendidik anak menuju syurga bukan sekadar tanggungjawab, tetapi amanah besar yang akan dipersoalkan di hadapan Allah SWT. Anak-anak adalah anugerah, namun juga ujian yang akan menentukan sama ada kita berjaya atau gagal di sisi Allah. Ingatlah, keluarga yang beriman dan beramal soleh akan dikumpulkan bersama di syurga.
Oleh yang demikian mimbar ini menyeru agar kita bersama-sama memperkukuhkan akidah anak-anak kita, membiasakan mereka dengan ibadah, memupuk akhlak mulia, membekalkan ilmu yang bermanfaat dan menjadi teladan yang baik di rumah. Jadikan rumah kita sebagai madrasah yang mendekatkan seluruh ahli keluarga kepada Allah SWT.
Mudah-mudahan dengan usaha ini, kita dikurniakan zuriat yang soleh dan solehah yang menjadi penyejuk mata dan hati, serta menjadi asbab kita sekeluarga dikumpulkan di dalam syurga Allah SWT.