Syurga dan neraka adalah dua perkara ghaib yang wajib kita imani. Syurga dan neraka tidak dapat dilihat dengan mata kasar kita. Tiada seorang pun dalam kalangan kita yang telah merasai nikmat syurga mahupun azab neraka Allah SWT. Syurga disediakan oleh Allah SWT untuk hamba-hambaNya yang beriman dan melakukan amal-amal soleh, manakala neraka sebaliknya.
Allah SWT berfirman dalam surah Ali-Imran ayat 131-133 :
وَٱتَّقُوا۟ ٱلنَّارَ ٱلَّتِىٓ أُعِدَّتْ لِلْكَـٰفِرِينَ ١٣١ وَأَطِيعُوا۟ ٱللَّهَ وَٱلرَّسُولَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ ١٣٢ ۞ وَسَارِعُوٓا۟ إِلَىٰ مَغْفِرَةٍۢ مِّن رَّبِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا ٱلسَّمَـٰوَٰتُ وَٱلْأَرْضُ أُعِدَّتْ لِلْمُتَّقِينَ ١٣٣
"Dan peliharalah dirimu daripada api neraka, yang telah disiapkan untuk orang-orang kafir. Dan taatlah kepada Allah dan Rasul iaitu Muhammad agar kamu diberi rahmat. Dan bersegeralah kamu mencari keampunan daripada Tuhan kamu supaya beroleh syurga yang luasnya - seluas langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa"
Neraka disediakan bagi mereka yang mengingkari perintah dan suruhan Allah SWT serta tidak berusaha untuk bertaubat memohon keampunan daripada-Nya. Neraka sering kali dikaitkan dengan seksaan yang amat berat, berbentuk api yang menyala menjulang tinggi kepanasannya tidak terhingga, dilayani dengan makanan dan minuman jijik, hina yang menyeksa para penghuninya. Gambaran neraka yang amat mengerikan ini bertujuan supaya manusia sentiasa berwaspada, takutkan azab seksaan Allah SWT supaya memegang serta menjaga kalimah "La ilaha illallah" sebaik yang mungkin.
Allah SWT menerangkan lagi tentang ngerinya seksaan azab neraka menerusi firmanNya dalam surah An-Nisa’ ayat 56 :
إِنَّ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ بِـَٔايَـٰتِنَا سَوْفَ نُصْلِيهِمْ نَارًۭا كُلَّمَا نَضِجَتْ جُلُودُهُم بَدَّلْنَـٰهُمْ جُلُودًا غَيْرَهَا لِيَذُوقُوا۟ ٱلْعَذَابَ ۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ عَزِيزًا حَكِيمًۭا ٥٦
"Sesungguhnya, orang-orang yang kafir kepada ayat-ayat Kami, kelak akan Kami akan masukkan mereka ke dalam neraka. Setiap kali kulit mereka hangus, Kami ganti dengan kulit yang lain, agar mereka merasakan azab. Sesungguhnya, Allah Maha Perkasa, lagi Maha Bijaksana"
Namun persoalannya di sini ialah siapakah golongan yang akan menghuni dan memenuhi ruang dalam neraka Allah tersebut? Al-Quran telah menyediakan jawapan balas atas persoalan tersebut. Antaranya ialah :
Golongan pertama: golongan kafir, munafik dan mensyirikkan Allah SWT.
Golongan kedua: Orang yang membunuh dengan sengaja.
Golongan ketiga: Penzina sama ada lelaki mahupun perempuan kecuali kembali bertaubat kepada Allah dengan sebenar-benar taubat.
Golongan keempat: Penghuni neraka ialah pemakan riba.
Golongan kelima: Orang yang sengaja memakan harta anak-anak yatim dan mengkhianati amanah demi kepuasaan nafsu keduniaan semata-mata. Harta anak-anak yatim pula diambilnya secara zalim dan paksa. Menerusi surah An-Nisa’ ayat ke-10 merupakan amaran supaya tidak melakukan perbuatan mengambil harta anak-anak yatim dengan sengaja.
إِنَّ ٱلَّذِينَ يَأْكُلُونَ أَمْوَٰلَ ٱلْيَتَـٰمَىٰ ظُلْمًا إِنَّمَا يَأْكُلُونَ فِى بُطُونِهِمْ نَارًۭا ۖ وَسَيَصْلَوْنَ سَعِيرًۭا ١٠
"Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka itu telah menelan api dalam perut mereka dan mereka akan masuk ke dalam api yang menyala-nyala iaitu neraka"
Golongan Keenam: Orang-orang yang malas mendirikan solat.
Solat adalah tiang agama. Ia merupakan penghubung antara hamba dengan Tuhannya. Solat wajib didirikan dan dilaksanakan menurut hukum syarak yang telah ditetapkan. Allah SWT berfirman menerusi surah Al-Muddassir ayat 42 sehingga 43 menerangkan akibat orang yang malas mendirikan solat. FirmanNya :
مَا سَلَكَكُمْ فِى سَقَرَ ٤٢ قَالُوا۟ لَمْ نَكُ مِنَ ٱلْمُصَلِّينَ ٤٣
"Apa yang menyebabkan kamu masuk ke dalam Neraka Saqar ini?. Mereka menjawab, "Dahulu kami tidak termasuk orang-orang yang melaksanakan solat"
Inilah antara golongan yang telah Allah firmankan di dalam al-Quran sebagai penghuni neraka dan mereka mengetahui akan janji seksaan azab Allah SWT ini, akan tetapi mereka melakukan dosa untuk menempah tempat mereka di neraka. Umum mengetahui kita diberi kemuliaan dengan akal fikiran supaya bijak membuat pilihan untuk melakukan kebaikan atau kejahatan. Hakikat manusia kita bersifat lemah mudah lalai, terpengaruh dengan bisikan hawa nafsu dan syaitan. Oleh kerana itu banyak golongan penghuni neraka itu lemah iman dan ketakwaan kepada Allah. Hanya orang yang beriman dan bertakwa akan diberi ganjaran syurga.
Demikianlah sebahagian daripada golongan-golongan yang akan menghuni neraka Allah yang sempat dikongsikan pada pertemuan kali ini. Marilah kita renungi bersama kata-kata Ibnu Qayyim Rahimahullah dalam kitabnya, al-fawaid:
"Masuknya seseorang ke dalam neraka melalui 3 keadaan: Keadaan pertama ialah keraguan yang menyebabkan timbulnya kesangsian terhadap agama Allah SWT. Keadaan kedua ialah nafsu, nafsu didahulukan berbanding keutamaan mentaati dan keredhaan Allah SWT. Keadaan ketiga ialah kemurkaan, mereka yang akan masuk ke dalam neraka adalah sesiapa yang suka menimbulkan kekecohan sehingga menyebabkan permusuhan antara sama-sama manusia"
Marilah kita bermuhasabah kembali, adakah kita sanggup menghadapi seksaan azab neraka Allah yang amat mengerikan itu? Neraka itu pasti, azab seksaan juga adalah pasti!
Oleh itu, segeralah bertaubat. Hanya kepada Allah jualah tempat memohon keampunan dan kepada Allah jualah tempat memohon perlindungan daripada seksaan azab neraka yang mengerikan. Berdoalah selalu agar Allah tempatkan kita di dalam syurgaNya dan dijauhi dari azab nerakaNya di akhirat nanti.