Firman Allah SWT dalam Surah al-An'am ayat 153 :
وَأَنَّ هَـٰذَا صِرَٰطِى مُسْتَقِيمًۭا فَٱتَّبِعُوهُ ۖ وَلَا تَتَّبِعُوا۟ ٱلسُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمْ عَن سَبِيلِهِۦ
"Dan bahawa sesungguhnya inilah jalanKu yang lurus, maka hendaklah kamu menurutinya; dan janganlah kamu menurut jalan-jalan lain yang akan mencerai-beraikan kamu daripada jalanNya".
Ajaran sesat bukanlah perkara baharu. Ia telah wujud sejak zaman para sahabat lagi apabila muncul golongan yang menyeleweng daripada jalan Islam yang sebenar. Namun di zaman moden ini, ajaran sesat hadir dalam bentuk yang lebih licik dan tersusun, berselindung di sebalik nama pendidikan, kebajikan, perubatan alternatif dan media sosial. Ianya berjaya mengelirukan orang awam yang tidak mempunyai pegangan akidah yang kuat lalu menyebabkan mereka mudah terpengaruh.
Pihak berkuasa agama dan keselamatan telah mengenal pasti beberapa ajaran sesat yang masih aktif dan memberi ancaman kepada akidah umat Islam. Antaranya ialah ajaran Syiah, Ajaran Azhar Wahab atau Raja Sakti, ajaran Suhaini Si Hulk, Millah Abraham, ajaran The Ahmadi Religion Of Peace and Light (TAROPAL), Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT) dan GISBH.
Ajaran-ajaran ini ada yang memperlekeh hukum Islam, ada yang mendakwa menerima wahyu, ada yang menyelewengkan makna al-Quran, malah ada yang mengaku sebagai Nabi atau Imam Mahdi. Lebih membimbangkan, ada yang berani menolak kewajipan solat, menukar arah kiblat ke Petra di Jordan atau menggantikan puasa Ramadan ke bulan Disember. Semua ini jelas bertentangan dengan ajaran Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
"Umatku akan berpecah kepada tujuh puluh tiga golongan, semuanya di dalam neraka kecuali satu". Para sahabat bertanya, "Siapakah golongan itu wahai Rasulullah?" Baginda menjawab : "Mereka yang berpegang dengan ajaranku dan ajaran sahabat-sahabatku"
(Riwayat Abu Daud)
Laporan risikan menunjukkan bahawa kumpulan ajaran sesat kini bergerak secara halus melalui media sosial seperti Telegram, TikTok dan YouTube. Mereka menganjurkan kelas agama tertutup tanpa tauliah dan menggunakan pusat rawatan untuk menarik pengikut. Golongan ibu tunggal, remaja dan pesakit kronik sering dijadikan sasaran dengan janji penyembuhan dan "jalan ke syurga".
Lebih berbahaya lagi, mereka menanam sifat taksub kepada pemimpin, sehingga ada yang sanggup meninggalkan keluarga, menyerahkan harta dan mengasingkan diri daripada masyarakat. Inilah bibit kerosakan akidah yang membawa kepada kehancuran hidup dunia dan akhirat.
Kita perlu sedar bahawa sesat bukan bermula dengan kebodohan, tetapi dengan kelalaian dan keangkuhan. Apabila seseorang merasakan dirinya lebih tahu daripada ulama, menolak pandangan fuqaha dan menafsir agama mengikut logik akal semata-mata, maka ketika itulah pintu kesesatan terbuka.
Marilah kita kembali kepada sumber Islam yang benar, iaitu al-Quran dan as-Sunnah, serta bimbingan para ulama yang bertauliah.
Sesungguhnya akidah yang benar adalah benteng utama umat Islam. Apabila akidah tergugat seluruh kehidupan akan pincang. Ajaran sesat bukan sahaja menyesatkan diri pengikutnya malah turut merosakkan institusi keluarga dan masyarakat.
Maka marilah kita semua :
- Mendalami ilmu agama daripada guru dan institusi yang diiktiraf;
- Menjauhi sebarang bentuk pengajaran tanpa tauliah;
- Memeriksa latar belakang pusat rawatan Islam dan guru agama;
- Melaporkan segera kepada pihak berkuasa sekiranya mengesan aktiviti ajaran mencurigakan; dan
- Memupuk kasih sayang dan bimbingan dalam keluarga agar anak-anak tidak mencari "guru baharu" di media sosial.
Firman Allah SWT dalam Surah an-Nahl ayat 125 :
ٱدْعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِٱلْحِكْمَةِ وَٱلْمَوْعِظَةِ ٱلْحَسَنَةِ
"Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan nasihat yang baik"
Kita juga perlu menyedari bahawa musuh Islam sedang berusaha memecah-belahkan umat melalui penyebaran fahaman songsang dan pluralisme agama. Mereka mahu umat Islam keliru antara benar dan batil. Oleh itu, marilah kita memperbaharui iman, memperkukuh pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dan sentiasa berdoa agar hati kita tidak berpaling daripada kebenaran.
