recent
Terkini | تركيني

Jangan Rebah Ditimpa Musibah

Laman utama

Musibah merupakan ujian Allah untuk menguji kesabaran hamba. Barang siapa bersabar, redha dan kembali kepada Allah, maka Allah akan mengangkat darjatnya, menghapuskan dosa-dosanya dan menggantikan kesusahannya dengan kebaikan. Namun barang siapa berputus asa dan tidak menerima ketentuan Allah, maka dia akan menambah kesedihan dan kerugian pada dirinya sendiri.

Dalam dunia ini tiada tempat yang tidak ditimpa musibah, termasuklah negara yang kita cintai Malaysia. Kita boleh lihat pada tahun ini negara kita diuji oleh Allah SWT dengan beberapa ujian atau musibah antaranya kejadian tanah runtuh yang berlaku di Pantai Barat Sabah serta banjir dan ribut Tropika yang berlaku pada bulan November yang lalu. Ini adalah rentetan daripada peralihan monsun daripada Monsun Barat Daya kepada Monsun Timur Laut yang bermula pada bulan November dan dijangka berakhir pada bulan Mac menurut Jabatan Meteorologi Malaysia.

Dari perspektif agama pula, setiap musibah yang berlaku bukanlah suatu kebetulan atau hanya suatu fenomena alam, tetapi merupakan suratan yang sudah tertulis. Ianya merupakan ketentuan daripada Allah SWT. Namun, dalam fikiran setiap daripada kita pastinya pernah terlintas kenapakah bencana atau musibah ini berlaku? Adakah ianya disebabkan kemurkaan daripada Allah SWT? Adakah insan-insan yang terkena musibah ini sedang dihukum atau dimurkai oleh Allah?

Dalam membicarakan persoalan ini, agama Islam telah meletakkan asas dan dasar dalam memahami punca, kesan dan akibat daripada sesuatu perkara yang berlaku. Musibah, bencana, malapetaka atau apa sahaja istilah yang digunakan bagi menggambarkan situasi sukar ini semuanya adalah merupakan sunnatullah dalam alam ini. Ianya didatangkan kepada hamba-hamba Allah atas beberapa sebab. Kadangkala, datang sebagai tanda kemurkaan daripada Allah atas keingkaran hambaNya.

Firman Allah SWT dalam ayat 42, Surah al-An'aam :

وَلَقَدْ أَرْسَلْنَآ إِلَىٰٓ أُمَمٍۢ مِّن قَبْلِكَ فَأَخَذْنَـٰهُم بِٱلْبَأْسَآءِ وَٱلضَّرَّآءِ لَعَلَّهُمْ يَتَضَرَّعُونَ ٤٢

"Dan demi sesungguhnya Kami telah utuskan Rasul-rasul kepada umat-umat yang dahulu daripadamu (lalu mereka mendustakannya), maka Kami seksakan mereka dengan kebuluran dan penyakit, supaya mereka berdoa (kepada Kami) dangan merendah diri (serta insaf dan bertaubat)"

Musibah kadangkala datang sebagai teguran daripada Allah agar hambaNya sedar dari kelalaian dan kembali ke pangkal jalan.

Diriwayatkan daripada Saidina Anas bin Malik RA, beliau berkata : Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda :

"Apabila Allah menghendaki kebaikan bagi seseorang hamba, Dia akan menyegerakan hukuman (teguran atau balasan) baginya di dunia dan apabila Allah menghendaki keburukan bagi seseorang hamba, Dia menahan (hukuman) daripadanya kerana dosanya, sehingga Dia membalasnya secara penuh pada hari kiamat"

(Hadis Riwayat at-Tirmizi)

Kadangkala musibah juga datang sebagai tanda kasih Allah kepada hambaNya.

Diriwayatkan daripada Saidina Anas bin Malik RA, Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda :

"Apabila Allah mencintai sesuatu kaum, Dia akan menguji mereka. Justeru, sesiapa yang reda, maka baginya keredaan (Allah); dan sesiapa yang marah (tidak reda), maka baginya kemurkaan (Allah) jua"

Maka jelaslah bahawa musibah yang menimpa itu tentu sekali terselindung di sebaliknya mesej kepada kita selaku hamba Allah. Oleh itu, jika kita diuji dengan apa-apa musibah, ambillah masa sejenak untuk berfikir, menilai dan menginsafi diri. Sentiasalah bermuhasabah diri. Mengadu kepadaNya. Panjatkan doa, minta pertolongan, mohon keampunan, pinta kekuatan dariNya.

Usahlah lemah walau susah, jangan rebah walau lelah, jangan mengalah namun berdoalah juga berserah. Meski terbeban ditimpa musibah usah mengalah teruslah tabah. Jangan sekali pertikai ketentuan Allah. Jangan marah jangan mengalah kerana berulang ditimpa musibah. Tetapi banyakkan muhasabah, ambillah ibrah.

Ketahuilah bahawa sesungguhnya setiap dugaan itu ada ganjarannya jika kita hadapinya dengan baik. Ingatlah bahawa selagi mana kita beriman, setiap ketentuan Allah untuk kita adalah merupakan suatu kebaikan untuk kita selama mana kita berinteraksi dengan baik terhadap ketentuan itu meskipun ada kala kebaikan tersebut tidak kelihatan pada zahirnya.

Diriwayatkan daripada Saidina Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda : 

"Ajaib urusan seorang mukmin; sesungguhnya bagi seorang mukmin setiap urusannya adalah kebaikan. Hal ini tidak berlaku bagi sesiapa pun selain seorang mukmin. Jika menimpanya kesenangan, ia bersyukur — maka itu adalah kebaikan baginya. Dan jika menimpanya kesusahan, ia bersabar — maka itu pun adalah kebaikan baginya"

(Hadis Riwayat Muslim)

Dalam masa yang sama, bagi mereka yang tidak diuji dengan bencana yang berlaku ini, janganlah menjadikan ujian yang melanda ini sebagai alasan untuk menuding kesalahan kepada mana-mana pihak, menjadikan ianya sebagai bahan olokan dan sendaan kepada orang yang ditimpa musibah atau mencela mereka.

Ujian sebegini sudah tentu meninggalkan kesan emosi dan trauma kepada mereka yang menanggungnya kerana melibatkan kerugian sehingga ribuan ringgit. Tidak usahlah menambah lagi derita yang dipikul.

Sebaliknya sebagai umat Islam yang benar-benar berpegang pada ajaran Islam yang sebenar, sebaiknya kita menghulurkan bantuan sedaya yang mampu kerana musibah ini sudah pasti mengakibatkan kesan yang pelbagai seperti kerosakan harta benda, kehilangan orang tersayang, wabak dan penyakit, terputus bekalan makanan dan sumber kewangan dan sebagainya.

Hulurkanlah bantuan sama ada dalam bentuk kewangan, tenaga mahu pun buah fikiran. Namun jika tidak dapat membantu demikian, bantulah dengan iringan doa keselamatan, kesejahteraan, kesihatan dan ketenteraman kepada mereka yang ditimpa dengan musibah ini kerana kita sentiasa digalakkan untuk mendoakan kebaikan bagi orang lain. Setidak-tidaknya, kita menunjukkan sifat prihatin dan belas kepada sesama insan.

Diriwayatkan daripada Abi Darda’ RA, Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda :

"Tidak ada seorang Muslim yang mendoakan saudaranya dengan kebaikan di sebalik pengetahuannya melainkan malaikat akan berkata: dan untukmu juga seperti itu."

(Hadis Riwayat Muslim)

Kesimpulannya, ketahuilah bahawa dalam menghadapi pelbagai kesukaran dan cabaran dalam kehidupan ini, kita dituntut untuk sentiasa bersangka baik kepada Allah SWT.

google-playkhamsatmostaqltradent